Bab 20

41 11 2
                                    

Sepi berwarnakan debu-debu hitam yang berterbangan membawa bersama kehangatan api yang menjulang, mengisi kelam panorama perkampungan tersebut. Setiap pintu rumah yang ada di situ ditutup rapat. Sebahagian penghuni yang bimbang akan diseret ke dalam masalah tersebut hanya mampu bersembunyi seolah-olah kewujudan mereka di alam itu langsung tidak dapat dikesan.

Manakala sebahagian lagi bersedia untuk menyelamatkan perkampungan mereka. Di sekeliling kawasan api tersebut berkumpul sejumlah insan yang bertopeng dan bertutup penuh dari bahagian atas hingga ke bawah batang tubuh mereka.

Raungan dan tangisan yang menggegarkan tanah di sekitar itu langsung tidak dapat meraih simpati mereka. Perlahan-lahan jeritan yang berkumandang deras tadinya hilang ibarat asap yang tenggelam apabila naik bersatu dengan udara.

"Ada berapa orang lagi?" tanya seorang lelaki kepada temannya. Pergelangan tangan kiri dan kanan disilangkan selamba di atas batang kayu cangkul yang terpacak di hadapannya.

Teman di sebelah yang bersenjatakan parang memandangnya sebelum bersuara di sebalik topeng, "Ini yang terakhir. Tapi orang kita ada terjumpa beberapa lagi."

"Bagus. Kita perlu habiskan semua hari ni."

Dahi lelaki disebelahnya berkerut seribu tatkala menerima ucapan temannya itu. "Qay, kita boleh sambung esok."

Hujung bibir Qaym tersungging naik. Sinis. "Keputusan aku muktamad. Sama ada kita habiskan mereka hari ni atau masalah ni akan kekal tak berkesudahan."

Nafas dihela lemah. "Kalau dah keras kepala tu, keras kepala juga," omel Shaun hanya mampu didengarinya.

Teman di sebelah dikerling Qay sekilas sebelum dia mengangkat cangkul yang dipegang daripada tadi lantas dikandarkan ke bahu.

"Kita sentiasa ada pilihan dan kita kena pilih. Jangan jadi tamak, Shaun. Pilih salah satu."

Dia menggenggam penumbuk erat di sisi. Ekor matanya hanya mampu memandang sepi pergerakan Qaym yang berlalu pergi menjauh darinya. Bayang-bayang lelaki itu akhirnya hilang di sebalik orang ramai yang berkumpul menyaksikan kejadian tersebut.





"Amy... Arif," panggil Keth menyebabkan langkah masing-masing terbantut. Amy dan Arif yang berada di hadapan menoleh serentak ke arahnya dengan pandangan yang jelas tertanya-tanya.

Keth menundukkan pandangan, melarikan anak matanya daripada ditatap mereka. "Ini bukan urusan kita."

"Huh?" Amy terkebil-kebil memandang Keth sebelum menoleh ke arah Arif. Namun jelas terpamer di riak Arif yang dia juga tidak tahu apa-apa yang cuba dizahirkan Keth kepada mereka.

"Maksud kau?"

Soalan Amy menyebabkan Keth mengemam bibir atas dan bawah sebelum bersuara sekali lagi. "Aku tak terasa ada keperluan untuk kita terlibat dengan semua ni."

Amy menundukkan pandangan, faham akhirnya perkara yang bermain di benak Keth.

Lama mereka berdiam diri sebelum Amy mengangkat semula pandangan. Di saat itu pandangannya seolah-olah hanya ada dia dan Keth di situ.

"Dah berapa lama kau jadi pelarian?"

Keth dan Arif tersentak. Automatik figura Amy dijamah masuk ke dalam ruang visual mereka. Langkah yang dibawa ke hadapan tadi ditarik semula ke belakang, menghala ke arah Keth yang jelas tertinggal beberapa tapak dari tempat dia dan Arif berdiri.

"Sejujurnya aku tak tahu cerita Arif tapi aku tahu kisah tentang kau, Keth."

Derap dihentikan betul-betul di hadapan lelaki itu sebelum dia menyambung lagi bicara.

"Aku nak kau tahu satu benda. Aku pun terikat dengan perkataan tu sama macam kau." Baju di bahagian dada Keth ditarik sebelum digenggam kuat. Jarak antara dia dan Keth hanya tinggal sejengkal. Gigi diketap kuat. "Aku tak peduli sama ada kau dah lali hidup sebagai pelarian ataupun tidak. Aku cuma nak tekankan dekat sini aku tak suka hidup aku dikongkong dan sampai mati aku akan lawan sampai mereka lepaskan aku."

Keth memandang kosong wajah dihadapannya. Arif jelas tidak mengetahui kepala punca hanya mampu mendiamkan diri apabila suasana yang menghimpit mereka di kala itu tiba-tiba tegang tidak bernoktah.

"Aku tak boleh lawan mereka sendiri dan aku percaya kau pun tak boleh lawan mereka sendiri. Berhenti jadi pengecut kalau kau betul-betul nak lindungi orang sekeliling kau. Kau akan kehilangan lebih ramai orang kalau kau terus jadi pasif macam ni," ugut Amy dengan suara rendah.

Baju Keth yang digenggamnya tadi ditolak kasar. Dia mendengus geram sebelum menyepak batu sebesar penumbuk yang kebetulan singgah di ruang matanya, melepaskan rasa yang menggelegak di dalam dada.

"Adoi!"

Suara yang jelas mengaduh dek tertimpa batu yang disepak Amy tadi pantas menoleh ke kiri. Mereka bertiga juga menoleh ke arah empunya suara yang mengaduh. Darah menderu turun dari wajah Amy, jelas itu kesalahannya sendiri.

Arif dan Amy dah bersedia hendak melarikan diri. Hanya Keth yang masih statik dengan riak tenang. Api kemarahan yang disangka mereka akan meletus ternyata berubah menjadi senyuman yang bersinar.

Mereka bertiga menelan liur kelat. Senyuman yang diberikan insan asing itu ternyata lebih menakutkan daripada kata caci maki yang disangka bakal disajikan kepada mereka.

"Saudara! Kamu bertiga perantau, ya? Marilah singgah untuk menjamu selera dulu."

Amy, Arif dan Keth saling bertukar pandang.

"Huh?"

"Apa dia kata, Arif?"

"Keth, aku mimpi ke?"

Ucap mereka serentak sebelum memejamcelikkan kelopak mata. Keliru dengan situasi tersebut.





Menu dilayangkan ke atas meja kayu yang penuh dengan selumbar. Jelas si empunya kedai makan itu bertukang sendiri untuk membina kedai makannya. Keth tersenyum kelat sebelum mengangguk sebagai tanda terima kasih.

"Kalau kamu dah tahu nak makan apa. Nanti datang ke kaunter untuk buat pesanan, ya?" ucap pak cik tua yang tersenyum ramah walaupun pelipisnya jelas dengan benjolan yang makin membiru.

Tiga pasang mata dihalakan ke arah yang sama.

"Aku tak nak makan," balas Keth senada.

Arif mengangguk bersetuju, "Kita tak patut makan."

Amy memandang mereka pelik sebelum menu ditariknya mendekat.

"Kenapa?"

"Kami tak ada duit," jawab mereka serentak.

Hampir tersembur air liur Amy. Terasa lucu dengan kejujuran insan berdua itu. Dia menahan tawa yang giat benar mahu keluar dari kerongkong. Hujung telunjuk diketuk perlahan ke atas muka meja yang dirasakannya selamat. Dia membaca satu persatu pilihan di situ sebelum bangun. Menu yang dipegang ditolak semula ke arah Arif dan Keth sebelum memandang mereka berdua bersilih ganti.

"Pilihlah. Aku belanja."

Terus bersinar anak mata Arif memandang belakang badan Amy yang berlalu pergi ke arah kaunter.

Hujung bibir Keth tersungging naik. Menu ditolak ke arah Arif. "Kau pilihlah mana-mana. Pilih untuk aku sekali. Aku jaga meja."

Arif menundukkan pandangan membaca tetapi jelas mindanya terganggu. Keth memandang sekeliling dengan rasa yang hambar.

"Keth."

Pandangan dihalakan lelaki itu semula ke arah Arif. Kelopak matanya dibesarkan sedikit sebagai tanda mahu menyuruh insan di hadapannya itu untuk menyambung patah kata.

"Apa-apa yang Amy cakap tadi ada kena mengena dengan Aksara?"

Ketenangan Keth sedikit berkocak. Bibirnya meninggalkan kesan segaris. Lambat-lambat dia mengangguk.

"Aksara tu apa benda sebenarnya?"

"Arif, ada banyak benda dalam dunia ni yang kita perlu tahu dan tak perlu tahu. Rahsia aku yang satu tu, antara benda yang kau tak perlu tahu." Paling tidak bukan sekarang. Tajam anak matanya menikam pandangan Arif.

Menu yang ditatap tadi dihempas. Kedua-dua belah tangan Arif diluruskan dengan telapak tangan melekap ke muka meja. Dia memandang Keth garang. Jelas menahan rasa berang yang dicuit apabila soalan sama yang diajukannya, dinafi berulang kali.

"Okay." Pinggir mulut ditarik selebar mungkin sebelum dia melangkah pergi.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang