Bab 13

60 11 3
                                    

"Hei, ke mana kau nak bawa aku dengan makhluk ni?" Amy yang berjalan selamba di hadapan terhenti derap langkahnya. Jemari kiri dan kanan dicantumkan sebelum diletakkan ke belakang kepala. Badan dikalihnya menghadap dua orang itu.

Dia tayang muka bosan.

Perasan akan riak Amy yang jelas tidak berpuas hati menyebabkan Keth memandangnya beku.

"Kau dah dapat kami. Apa lagi yang kau tak puas hati?" soal Keth pula meskipun pertanyaan Arif tadi langsung tidak mendapat apa-apa respons daripada insan itu.

"Aku dah kejar kau dengan mamat ni dekat setengah tahun. Campur tolak dengan aku cari maklumat apa semua dan aku cuma perlu minta izin untuk kalian berdua ikut aku? Serius? Bosannya," sungutnya panjang lebar.

Arif menjeling Keth sekilas. Masih tidak berpuas hati kerana persoalannya tentang aksara masih tidak terjawab. Anak mata kembali terpanah ke arah Amy.

"Kau tahu sesuatu tentang Ria yang kami tak tahu," balas Keth masih dengan riak tenang. Kali ini ia disambut dek hilai tawa Amy.

Terpapar di layar memori betapa pucatnya wajah wanita 30-an itu apabila dia menggugut dengan cara halus. Pinggir bibir kanan tersungging naik.

"Bendanya jelas," Wajah dia jelas mencabar supaya Keth dan Arif mencuba untuk menjawab teka-tekinya.

"Apa?" tanya Arif langsung.

Keluhan berat dilepaskan Amy sebelum dia berjeda sebentar untuk menjawab. Pandangan dua pasang mata yang tertumpu ke arahnya ditatap lurus, "Dia mengandung."

"..."

"..."

Arif dan Keth masing-masing terdiam. Kepala mereka terasa seakan-akan baru sahaja dihempap dek lori tanah. Lambat-lambat kepala dibawa bersilang menoleh ke arah satu sama lain.

Bungkam.

Lama hening membalut suasana sebelum mereka cuba mengumpulkan rasional diri kembali. Keth berdehem beberapa kali. Membetulkan kerongkong yang terasa kering lain macam.

Arif menggaru pelipis yang tidak gatal. Langsung tidak menjangka 'serangan' sedemikian yang bakal diterima.

"Aku cakap benda betul," sambung Amy apabila terperasan reaksi kedua-dua insan itu seolah-olah mahu menidakkan.

Batang hidung dipicit Keth dengan mata terpejam. Berdenyut pula terasa kepalanya di saat itu, cuba mencerna satu demi satu serangan mental yang diterima.

"Ketepikan hal yang itu. Aku faham kalau kau cari aku tapi atas keperluan apa sampai kau heret Arif sekali dalam hal ni?"

Pinggir bibir Amy tersungging naik. Tangan kiri dan kanan dibawa bersilang ke dada, mencabar intelek Keth yang suka mempertikai setiap satu tingkahnya.

"Lambat-laun kau akan tahu," ringkas dia membalas apabila pandangan lelaki itu langsung tidak melepaskannya.

Perjalanan diteruskan mereka dalam keadaan diam. Arif masih tegar melayan mindanya akan rahsia yang disembunyikan Keth sedang Keth pula memikirkan keselamatan objek yang telah diamanahkan kepadanya.

'Macam mana aku nak...'

"Peluang untuk larikan diri tu banyak. Kenapa lurus sangat ikut aku?" soal Amy masih lagi mengetuai, memandang lurus ke hadapan sebelum menoleh ke belakang. Langkah masih dihayunnya. Pandangannya kepada dua orang tawanan itu langsung tidak bertahan lebih daripada 5 saat.

Pandangan Arif dan Keth, masing-masing jatuh pada belakang kepala Amy. Terkebil-kebil apabila menerima persoalan sedemikian. Sejujurnya mereka pun tidak tahu kenapa mereka terlalu naif untuk tidak memberontak. Mungkin mahu mengelakkan Amy daripada menyerang insan-insan yang terdekat yang rapat dengan mereka barangkali.

Anak mata digerakkan ke ekor mata kanan. Lama pertanyaannya itu tidak disambut jadi dia dapat menebak yang mereka memang tidak berniat mahu menjawab persoalannya tadi. Akhirnya dia pun menutup mulut.

"Hei, ahli-ahli puak panggil kau dengan panggilan Amy, bukan? Setahu aku, syarat dalam pertubuhan tu... selepas kau sertai puak tu automatik kau akan dapat panggilan berkod untuk mengelakkan musuh cari apa-apa maklumat tentang diri kau. Jadi kenapa..."

"Bukan urusan kau," pintas Amy menyebabkan Arif terasa sedikit jengkel. Nafas ditariknya dalam menahan sabar supaya tidak tersejat dek udara.

Keth memandang mereka berdua bersilih ganti. Senyuman tersungging di pinggir bibir tanpa dia sedar.

"Kalau betul telahan aku. Kau ditugaskan untuk dapatkan Arif sekali disebabkan kes lima belas tahun yang lalu." Amy tersentak mendengar bait-bait kata yang terbit daripada Keth.

Dia tersenyum sinis, 'Mamat ni bahaya untuk organisasi, kenapa 10 berminat sangat nakkan pemilik aksara tu sekali? Dia cuma perlukan aksara bukan pemiliknya. Patut ke aku...'

Kepala digelengkan Amy berulangkali, menidakkan pemikiran bukan-bukan yang datang bertandang mengetuk mindanya. Nafas ditariknya dalam, mengawal riak yang sudah sedikit tegang.

"Bingo! Malangnya bukan aku yang ditugaskan untuk dapatkan kau. Sepatutnya si botak tu. Tapi macam yang kalian lihat. Itulah jadinya bilamana kita berfikir pakai otot. Jadi guna intelektual tu elok-elok," ujarnya panjang lebar cuba mengawal niat yang datang tadinya. Hujung telunjuk diketuk perlahan ke kanan kepala.

Keth menjulingkan mata naik sebelum menoleh ke arah Arif.

Sedar akan pandangan yang dihadiahkan kepadanya, Arif pantas menoleh ke arah bertentangan supaya pandangan mereka tidak bertembung. Perlakuan Arif jelas menunjukkan yang lelaki itu sedang melancarkan 'operasi mogok'. Perkara yang tidak asing yang akan dilakukan Arif setiap kali tidak berpuas hati dengannya. Keth mencebik. 'Macam budak-budak.'

"Kita dah sampai," ujar Amy sambil bercekak pinggang, berdiri lurus memandang harta kesayangannya di hadapan mata.

Serentak yang di belakang pun turut memandang ke arah yang sama.

Senyuman sinis terbit di bibir Keth. Kepala ditelengkan ke sisi memandang Arif. Kali ini dia tidak mengelak sebaliknya mengangguk memahami isyarat 'telepati' yang cuba disampaikan Keth kepadanya.




Diam mengikat segenap penjuru. Hairi masih memandang kosong ke arah pintu. Penumbuknya dikepal kuat sehingga rasa kebas menyedarkan dia kembali ke realiti.

"Tak guna!" bentak Hairi menumbuk dinding.

Bahu Ria ternaik ke atas dek terkejut. Kekuatan cuba dikutipnya daripada segenap saraf di dalam tubuh. Penumbuk yang turutdikepal Ria di sisi tubuhnya dilonggarkan sebelum dia angkat seraya memegang bahu kanan suaminya itu.

Sentuhan di bahu menyedarkan Hairi untuk kembali rasional. Egonya sebagai 88 masih bersisa. Kelopak mata dipejam rapat. Geraham diketap kuat sebelum keluhan berat dilepaskannya

"Ria...."

"Bukan salah Ria. Ini semua bukan salah Ria tapi sebab kelemahan Hairi. Patutnya Hairi mampu lindungi semua orang. Jadi tolong jangan salahkan diri sendiri dalam hal ni, ya?" lembut Hairi memujuk apabila dia sedar akan mimik wajah isterinya yang jelas kelihatan serba-salah. Kedua-dua belah tapak tangan diangkat lelaki itu sebelum dia mengelus pipi Ria.

Avianna menggaru belakang lehernya. Nafas dihela berat dengan kepala yang tertunduk. Lambat-lambat dia memanggungkan kepala. 

"Lemahnya kita bukan berdefinisikan dek berapa ramai yang mampu kita lindungi. Ada masanya kita tak mampu nak lindungi diri sendiri pun. Ini bukan salah sesiapa, pilihan Keth dan Arif untuk pergi. Jadi sekarang bukan masanya untuk menuding. Sebaliknya ini masa untuk mencari solusi."

Rambutnya dikemaskan sebelum dia memandang ke arah Farid dan Iman. Tenang dia bersuara sekali lagi, "Kita perlu cari jawapan untuk semua persoalan ni. Berkenaan Keth, cuma kau boleh bantu kami Farid. Beritahu apa yang kau tahu tentang aksara dan Arif... aku ada andaian tapi aku belum pasti betul atau tidak." Pandangan dihalakan gadis ke itu ke arah sepasang suami isteri yang masih setia mendengar.

"Mungkin ini semua disebabkan kisah silam dia."

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang