Bab 23

43 11 1
                                    

Amy kerling Arif yang sugul daripada tadi. Senyum cuba ditahannya. Jemari kanan dan kiri disulam sebelum diletakkan ke belakang kepala. Dada langit dipandangnya dengan hati yang gembira walaupun tiada bintang seperti kebiasaan.

"Menyesal?"

Arif jeling Amy di sebelah sebelum menayangkan riak angkuh seperti tidak terasa langsung dengan ketiadaan Keth. Dia mencebik gara-gara ego Arif yang menggunung.

"Aku dah biasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat seorang diri. Jadi kalau hilang satu dua kawan tu bukan masalah bagi aku." Arif toleh ke sisi. Masih mengikut rentak langkah insan disebelahnya sebelum dia tala pandang ke hadapan semula.

Lampu minyak tanah tergantung di sepanjang jalan menerangi laluan mereka. Ada beberapa geluk kaca yang telah terpadam namun kebanyakannya masih menyala.

"Aku masih tertanya-tanya dan kau belum jawab soalan aku. Apa sebenarnya yang jadi sampai kau disenaraihitamkan dek puak tu? Kau tak rasa maruah kau tercalar ke? Puak tu bukan calang-calang. Mereka selalunya dipandang tinggi," ujar Amy lagi cuba mencucuk 'sarang tebuan.'

"Arif, ada banyak benda dalam dunia ni yang kita perlu tahu dan tak perlu tahu. Rahsia aku yang satu tu, antara benda yang kau tak perlu tahu."

Suara Keth bergema di minda. Arif menghela nafas panjang sebelum menoleh ke arah Amy. "Ada banyak benda dalam dunia ni yang kita perlu tahu dan tak perlu tahu."

Mendengarkan kata-kata Arif, Amy menjongketkan kening selamba sebelum memasukkan tangannya ke dalam poket seluar.

"Okay."

Arah dah tak tahu sewajarnya dihalakan ke mana. Sejujurnya mereka mahu balik ke kenderaan pacuan empat roda milik Amy tapi disebabkan siang telahpun melabuhkan tirai. Maka jalan yang diambil juga terasa serupa dan berlainan pada masa yang sama sehingga akhirnya mereka sekadar melangkah mengikut rasa hati.

Suasana di perkampungan itu lengang persis tidak berpenghuni. Amy menoleh ke kiri dan kanan. Memandang kesan kebakaran yang kelihatan namun tidak terlalu dominan untuk dilihat pada waktu malam.

Dahi dikerutkan. Minda ligat berfikir apa-apa potensi. Amy langsung menumpukan fokus pada segenap pancaindera yang dia miliki. Dia rasa tidak sedap hati. Arif yang seakannya masih tidak sedar akan situasi tersebut hanya dipandang dia seperti biasa. Untuk menipu musuh kadang-kadang kita perlu menipu orang sekeliling kita dahulu, jadi Amy hanya tayang riak selamba.

Dalam selambanya dia tiba-tiba langkahnya mati. Wajah Amy terus pucat lesi. Arif yang sedar akan keadaan tersebut terus menoleh ke sekeliling mencari punca reaksi Amy yang tiba-tiba. Namun, saat dia kembali menjatuhkan pandangan pada figura Amy. Batang hidungnya ditumbuk Amy kuat. Dia yang tidak bersedia dengan serangan mendadak itu hanya memandang Amy dengan riak tidak percaya. Terlalu awal untuk mereka berpaling tadah antara satu sama lain jadi kenapa?

"Kau...," ujar Amy dengan nafas turun naik. "Huargghhh! Kenapa aku tak perasan daripada awal benda ni."

Mundar-mandir Amy bergerak. Tangan kiri dibawa ke pinggang memeluk tubuh manakala telunjuk kanan diangkatnya mengetuk-ngetuk bibir sendiri.

Arif yang terasa bagai mahu pecah hidungnya menekup bahagian tengah wajah. Mulut terlopong luas sedang matanya memandang Amy pegun. Masih tidak percaya akan tindakan insan itu.

Dia dah melangkah mara mahu membalas serangan Amy tetapi belum sempat dia berbuat apa-apa, Amy berdiri tegak di hadapannya. Dengusan dilepaskan sebelum dia memecahkan suasana pelik yang menyelubungi mereka di kala itu.

"Keth salah seorang daripada kita."

Arif tayang reaksi kelam tak faham punca. Lama dia terdiam sebelum rahang bawahnya jatuh. Pandangan membunuhnya tadi terus bertukar tiga ratus enam puluh darjah apabila dia mula dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata Amy sebelum menggeleng tanda tidak percaya.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang