"Terima kasih sebab tolong Iman dengan aku, Keth." Sepasang anak mata redup milik lelaki berambut coklat kehitaman itu memandang ikhlas ke arah kawannya sambil menzahirkan rasa syukur.
Keth hanya mampu tersenyum kelat sebelum memalingkan wajahnya sekilas ke arah Arif yang masih terlantar di atas katil tidak sedarkan diri. Nafas ditarik dalam sebelum dihela. Wajah Iman dan Farid yang berdiri tegak di hadapannya dipandang semula bersilih ganti. Lambat-lambat dia menggeleng.
"Aku tak buat apa pun. Arif yang cari kau, Farid. Kalau berkenaan Iman pula, dia sendiri yang datang ke sini," balasnya jujur.
Bahu Iman dipegang Farid kejap sebelum dia mengangguk memahami. Bibir pucatnya yang merekah menguntum senyum semakin memudar tanpa sedar. Keth yang perasan akan perubahan itu memikir sejenak akan segala persoalan yang berada di dalam minda namun langsung tidak diluahnya.
"Aku minta maaf." Belum pun sempat Keth bermain lebih jauh dengan pertimbangannya sendiri, Farid terlebih dahulu bersuara dengan pandangan tertunduk.
Hujung kening yang tidak terasa gatal digaru janggal.
"Kau curi apa-apa ke daripada puak tu?" soal Keth tanpa berdalih tetapi intonasinya cuba diperlahankan untuk mengelak Iman daripada mendengar perbualan mereka.
Senyuman kelat terhias di bibir sebelum pandangan yang menala ke lantai bumi itu akhirnya diangkat Farid dengan seribu satu maksud tersirat yang tidak terungkap.
Melihatkan pandangan dari abang kandung kepada adik angkat Arif itu Keth akhirnya melepaskan hela berat sebelum dia mengangguk seolah dia memahami tindakan Farid. "Kita semua berjuang untuk hidup, cuma kau kena fikir juga tentang keselamatan Iman. Lepas ni hati-hati. Tak ada jaminan yang aku dengan Arif akan ada selalu dengan kau dan Iman, ingat tu."
Bibir atas dan bawah yang terbuka untuk seketika ditutup Farid kembali apabila jelas kelihatan dia teragak-agak dengan ucapan seterusnya yang ingin diutarakan. Keth yang setia menunggu daripada tadi tidak dapat menangkap apa-apa petunjuk tersirat melalui perbuatan yang terzahir daripada tindak-tanduk lelaki itu.
"Keth, aku dengan Iman minta diri dulu." Terangkat kening Keth. Berat perkataan yang ingin diluahkan itu hanya untuk menyuarakan pamitan?
"Bukan kau nak tunggu Arif bangun ke?"
Hanya gelengan yang diterimanya sebagai jawapan.
"Kirim salam pada Arif. Sampaikan juga ucapan terima kasih dekat dia kalau dia tersedar nanti," ujar Farid tenang.
Keth menyambut dengan anggukan sebelum bersuara, "Ingat pesan aku, cari tempat lain untuk menumpang teduh. Tak ada jaminan juga yang kau akan selamat kalau balik ke tempat tinggal asal."
"In shaa Allah. Minta diri dulu, ya? Assalamualaikum." Farid menjawab dengan nada rendah. Tangan dihulur Keth untuk bersalaman sebelum dia mengangkat tangannya, melambai apabila kedua-dua insan itu memboloskan diri keluar daripada perut bangkai pesawat.
Saat bayang-bayang keduanya hilang daripada pandangan, Keth menapak ke arah pantri dalam keadaan tenang dan perlahan. Cerek besi yang dalamnya masih diisi air sebanyak separuh diangkatnya keluar dari ruang dapur. Derap demi derap diambil sebelum akhirnya dia berhenti betul-betul di sisi insan yang kaku persis puteri beradu.
Kening kiri diangkat Keth tinggi. Pemegang cerek masih dipegangnya di pelipat tangan, ala-ala baba nyonya. Bawah cerek disentuh dengan telapak tangan untuk merasai suhunya. Pinggir bibir kanan tanpa sedar terjongket naik secara spontan.
Nafas ditariknya dalam sebelum dihembus perlahan. "Kau nak bercakap atau nak rasa 'kemurkaan' aku sekarang?"
Diam.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Fiction généraleKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...