Qaym mengeluh perlahan apabila apa yang keluar dari mulut Amy langsung tak menjawab soalannya pada Arif. Keluhan lelaki itu mengundang perhatian Amy dan Arif ke arahnya.
"Boleh kita balik semula ke topik utama?" Pelipis diurut menggunakan jari hantu dan ibu jari dengan mata terpejam.
Mungkin disangkanya Amy cuba lari daripada tajuk asal jadi Amy kembali bersuara untuk mempertahankan diri. "Aku cerita semua benda ni supaya nanti senang untuk faham penerangan aku yang seterusnya."
Tanpa menunggu jawapan balas daripada Qaym ataupun sesiapa bersuara, Amy tetap juga seperti tadi. Bercerita seolah-olah itu perkara biasa.
"Arif terselamat daripada epidemik tu sebab dia salah seorang individu yang diberi vaksin. Macam tu juga dengan budak-budak lain yang kita bakal cari. Di atas tanah gersang ni. Ada enam individu yang dipilih secara rawak selepas kelahiran mereka untuk diuji dengan vaksin yang dicipta oleh orang dari tempat tinggal aku tu. Teknologi canggih diperlukan untuk cipta benda tu dan mustahil benda tu ada dekat kawasan dystopia sebegini kalau kau fikirkan secara logik."
Kelopak mata dibuka. Pergerakan jarinya terhenti. "Maksud kau kalau seseorang tu ada vaksin dalam badan dia, maka individu tu akan terhindar daripada penyakit plag ni?"
"Tak juga. Bergantung pada tahap sistem imuniti dalam badan seseorang itu juga tapi kalau hendak diberikan jawapan untuk situasi Arif. Tentang macam mana dia boleh terselamat. Apa yang kau cakap tadi, itulah satu-satunya penerangan paling baik yang mungkin boleh disimpulkan."
"Enam orang yang hanya bernasib baik," gumam lelaki itu.
Qaym mengangguk tanda memahami. "Jadi budak tu...." Anak mata dialihkan ke arah Shaun.
"Shah? Jadi kalau betul apa yang budak ni cakap... maknanya budak tu takkan jadi pembawa epidemik ni daripada berlanjutan macam yang kita sangka," sambung Shaun, faham apa yang cuba disampaikan Qaym kepadanya.
Amy merenung jauh sebelum mengangguk dengan yakin. Dia mahu menyelamatkan Shah jadi dia perlu yakin dengan kata-katanya sendiri. Lebih kepada satu jaminan sebenarnya.
Bungkam. Lama lelaki berdua itu terdiam, menimbulkan syak di dalam hati Arif.
"Kenapa?"
Qaym tolehkan kepalanya ke sisi untuk memberi perhatian kepada Arif. Namun, Shaun terlebih dahulu menjawab.
"Kami mungkin dah tangkap salah orang. Mengikut laporan ada lagi seorang yang disyaki ada simptom penyakit tersebut yang kami sangka Shah. Tapi kalau budak tu sebenarnya tak dijangkiti, sepatutnya tak ada simptom tersebut pada dia tapi...." Shaun mengerutkan dahi.
"Dia cuba sembunyikan sesuatu daripada kita," pandangan mata Qaym bertukar serius dan dingin. Dia pantas bangun daripada bangku sebelum menapak keluar.
Shaun mengikuti dari belakang, dah dapat mengagak destinasi yang dituju sahabatnya itu.
Arif dan Amy bertukar pandang sebelum memandang ke arah ruang di tengah-tengah bingkai pintu yang ternganga luas dek muka pintu yang tidak ditutup kembali. Di dalam bilik tersebut hanya tinggal dia dan Amy.
"Amy."
Amy kalih ke arah Arif tanpa suara, membiarkan lelaki itu menyusun kata buatnya. Tangan kanan yang bersilang ke bahagian kiri badan digenggam lelaki itu.
"Kenapa aku rasa daripada cerita kau tadi, individu-individu dari 'dunia' kau tu sebenarnya sedang merancang sesuatu yang lebih besar?"
Sungguh dia tak tipu, dia sepatutnya gembira kerana angan kosong yang selalu digembar-gemburkan dia kepada Keth ternyata wujud dalam dunia realiti. Namun, di saat itu dia langsung tak dapat nak mengecap rasa bahagia. Sebaliknya hatinya terasa bimbang. Bimbang dengan sesuatu yang tidak pasti.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Fiksi UmumKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...