Hampir nak terteleng kepala Rheza jadinya. Sekejap-sekejap memandang ke arah Keth kemudian Urana dan akhir sekali Aida. Entah berapa kali dia ulang lihat insan tiga orang di hadapannya itu namun tiada sebarang petanda untuk sesiapa memulakan bicara.
"Umm... Kalau perlukan privasi aku boleh keluar," suaranya memecah kesunyian.
Kali ini tiga pasang mata terarah kepadanya. Urana senyum sebelum menggeleng memberi tanda tiada keperluan untuk lelaki itu beredar dari tempat duduknya.
Keluhan berat datang daripada Keth menyebabkan Aida dan Rheza automatik berpaling ke arahnya. Keth mengamati Urana tajam sebelum memandang Aida yang berdiri di sisi gadis itu.
"Kondisi Urana makin teruk?"
Jawapan yang ditagih daripada Aida dijawab Urana sendiri dengan anggukan. Dia memegang tangan Aida sebelum menundukkan kepala.
Riak yang cuba dikawal Keth kali ini tidak dapat dibendung lagi. Urana akhirnya hanya mampu tersenyum di balik rambut panjangnya yang mengurai menutupi wajah dengan kelopak mata yang kekal tertutup. Jujur dia takut tapi tiada apa-apa yang dia boleh buat. Itu hakikat yang tiada sesiapapun mampu ubah.
"Lakonan sebagai tuan puteri ni akan berakhir tak lama lagi," sahutnya lemah.
Terkedu Keth dan Aida di saat itu.
"Jadi kau cari aku sebab..."
"Saya cuma nak ucapkan selamat tinggal pada kawan baik saya," tuturnya masih lagi tersenyum.
Rheza yang tidak memahami kepala punca makin lama makin dapat menebak situasi di hadapannya.
"Maksudnya Urana..." ujarannya jadi tergantung tidak mampu meneruskan perkataan seterusnya. Pandangan mata turut jatuh pada figura itu.
Lembut gadis itu mengangguk. "I'm dying."
Serentak dengan itu Keth menumbuk muka meja. "Aku takkan terima."
"Keth, soal hayat hidup dan mati manusia itu bukanlah sesuatu yang boleh kita manipulasi."
Lipat maut dia toleh ke arah Urana.
"Jadi kenapa aku masih hidup sedangkan aku sepatutnya mati dari dulu lagi?"
Urana terdiam, tidak tahu jawapan apa yang wajar diluahkan. Kali ini giliran Keth pula menerima tatapan dua pasang mata di dalam bilik itu. Gigi diketapnya geram. Penumbuk dikepal erat di sisi. "Dari dulu aku tak pernah peduli siapa kau dan kau kena tahu yang aku tak peduli apa yang kau nampak dengan sepasang mata tu. Cuma satu permintaan aku. Kau tak boleh mengalah. Bukan sekarang."
Lirih. Setiap satu perkataan yang diluahkan terasa menyagat hatinya. Di saat itu, perlahan-lahan Urana membuka kelopak matanya. Menyerlahkan sepasang mata yang menjadi perbualan mereka yang tahu tentangnya. Dia pandang Keth tenang.
Cincin yang menjadi simbolik pemerintahannya di tanah itu di tarik keluar dari jari manis sebelum dia menarik tangan di sisinya lembut dan meletakkan objek tersebut ke telapak tangan Aida.
"Tuanku." Aida mahu menegah. tahu akan maksud di sebalik tindakan tersebut tetapi hanya gelengan yang diterimanya.
"Urana. Panggil Urana. Saya serahkan semuanya pada Aida selepas ni. Terima kasih atas peluang dan kepercayaan kepada insan yang tiada berharga ni." Tangan yang dipegang itu ditepuk-tepuknya sebelum dilepaskan perlahan. "Boleh saya minta masa bersendirian dengan Keth sebentar?"
Pandangan mata Rheza dan Aida bertembung. Memberi isyarat untuk akur akan permintaan itu. Dengan langkah yang berat mereka keluar dari bilik tersebut.
Keth langsung tidak berkutik walaupun bunyi daun pintu terkatup mengetuk gegendang telinganya.
"Aksara?"
Perkataan pertama yang meluncur keluar dari bibir gadis itu menyebabkan Keth memandangnya geram tetapi tetap juga dijawab, "Ada dalam tangan aku."
"Keth, ada perkara yang Urana kena bagitahu."
Keluhan dilepaskan Keth meskipun perbualan mereka sudah bertukar tajuk. Dia diam tidak menjawab. Menunggu sahaja gadis itu menghabiskan cerita yang mahu disampaikan.
"Ada yang akan terkorban."
Keth kaku di tempat duduknya. "Maksudnya?"
"Antara A.K.S.A.R.A akan ada yang bakal terkorban dan mereka sedang melalui 'jalan' tersebut." Keth bisu tak tahu jawapan yang wajar diberikan. Seakan-akan putus fius dia jadinya.
"Siapa?" soalnya kedengaran sedikit terdesak. "Antara Arif, Keth, Shah, Amy, Rheza dan Aida. Siapa antara enam orang ni yang akan terkorban?"
Iya. Itu maklumat yang dia sedar sewaktu menggeledah kawasan runtuhan apabila ditangkap Amy suatu ketika dahulu. Aksara sebenarnya terdiri dari nama-nama tersebut. Tetapi kenapa tiba-tiba Urana nampak semua tu? Kenapa sekarang?
Untuk kesekian kalinya, akhirnya gadis itu menunjukkan sisi lemahnya di hadapan Keth. Air mata dah bergenang menodai pipi. "Itu tanggungjawab Keth untuk kenalpasti," ucapnya lemah.
"Jadi sekarang...."
Belum pun sempat Keth menghabiskan kata, Urana terlebih dahulu memotong, "Mereka sedang menuju ke tempat tu."
Automatik terkatup rapat kelopak mata Keth. Kesal.
Dia tahu terlalu banyak dan dia sembunyikan semuanya yang dia tahu terutamanya daripada Arif. Sungguh dia lupa. Lupa akan takdir itu tidak dapat dihalang mahupun dimanipulasi.
Antara enam. Namanya juga termasuk. Terkorban atau tidak mungkin ya mungkin tidak. Sedar akan pantang larang akan kelebihan Urana itu. Dia tidak menyoal lanjut.
"Keth... tolong sampaikan kata maaf saya pada Aida."
Lelaki itu masih lagi terperangkap dalam pemikirannya sendiri. Memandang kosong muka meja. Bait-bait kata Urana itu sempat masuk ke minda sedarnya. Selang beberapa ketika berfikir panjang. Dia panggung kepala. Namun, di saat itu visual yang terlayar di hadapan mata cumalah... jasad yang kaku.
"Urana?"

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Ficción GeneralKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...