Bab 21

46 11 2
                                    

Kening Amy terangkat tinggi. Tangannya dikibas-kibas di udara, mengeringkan titik-titik air yang masih bersisa. Dia menapak tanpa gesa ke arah meja yang diduduki tadi. Pandangan dihalakan ke kiri dan ke kanan mencari kelibat seseorang. Berselisih sahaja dengan bahu Arif yang baru hendak menjamah selera dia bersuara, "Mana Keth?"

"Dah pergi."

Makin tinggi keningnya terjongket naik. "Pergi mana?"

"Kena jual."

Hampir jatuh terduduk ke tanah Amy dibuatnya apabila dia menerima jawapan tersebut saat dia hendak melabuhkan duduk.

"Dia apa?"

Hujung sudu dan garfu diletakkan Arif ke bucu pinggan. Anak mata Amy dipandangnya dengan perasaan beku. "Aku jual Keth."

Terlopong mulut Amy tak terkata apa. Selang sesaat dia kehilangan kata, dia bersuara semula. "Kau main-main, kan?"

Gelengan daripada Arif membuatkan Amy terkesima di tempat dia berdiri. Masa terasa seakan-akan terhenti. Arif menyambung menyudu nasi di dalam pinggannya. Pada masa yang sama layar mindanya masih mengulangi babak yang sama di dalam kepala.

"Apa-apa yang Amy cakap tadi ada kena mengena dengan Aksara?"

Ketenangan Keth sedikit berkocak. Bibirnya meninggalkan kesan segaris. Lambat-lambat dia mengangguk.

"Aksara tu apa benda sebenarnya?"

"Arif, ada banyak benda dalam dunia ni yang kita perlu tahu dan tak perlu tahu. Rahsia aku yang satu tu, antara benda yang kau tak perlu tahu."

Menu yang ditatap tadi dihempas. Kedua-dua belah tangan Arif diluruskan dengan telapak tangan melekap ke muka meja. Dia memandang Keth garang. Jelas menahan rasa berang yang dicuit apabila soalan sama yang diajukannya, dinafi berulang kali.

"Okay." Pinggir mulut ditarik selebar mungkin sebelum dia melangkah pergi.

Saat kaki diarahkan ke arah kaunter untuk memesan makanan. Langkahnya mati. Nafas dihelanya geram. Dia menoleh seketika ke sisi sebelum terlihat seseorang yang jelas mahu menyembunyikan wajahnya dengan kain tebal terlilit di kepala. Lelaki tersebut terkial-kial mengangkut barang.

Selang beberapa minit dia memandang pergerakan lelaki itu, Arif akhirnya mengambil keputusan untuk mendekatinya.

"Assalamualaikum, pak cik."

Lelaki tersebut terbatuk-batuk apabila dipanggil dari arah belakang. Dia menarik tinggi kain tebal di wajahnya hingga ke pangkal hidung sebelum memberikan perhatian kepada Arif.

"Waalaikumussalam. Iya anak muda. Ada apa?" Pandangannya jelas ralat dengan teguran Arif.

Seketika mulut Arif terkunci sebelum dia kembali bersuara.

"Pak cik nak khadam tak? Saya nak jual khadam saya."

Soalan yang tidak tersangka itu menyebabkan pegangan lelaki tersebut hampir terlepas daripada terus memegang barang-barangnya di sisi.

"Khadam?" soal lelaki tersebut terkejut.

Arif mengangguk. "Lelaki yang tengah mengelamun dekat meja bawah pokok mempelam tu." Tunjuk Arif membawa pandangan lelaki tersebut ke arah Keth.

Pandangan lelaki tersebut jelas terkejut. Arif dipandangnya lagi.

"Itu khadam kamu?"

Arif mengangguk. Barisan gigi tertayang disebalik kain tebal yang membalut wajah lelaki itu. Tangan dicekaknya ke pinggang. "Berapa harganya?"

"Saya bagi percuma."

Kedengaran hilai tawa lelaki itu sebelum dia mengangguk dengan wajah ceria.

"Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan." Tangan dihulurkan lelaki itu sebagai tanda perjanjian.

"Pak cik setuju."

Tangan yang dihulurkan ke arahnya disambut tanpa ragu. Baru kaki lelaki asing itu mahu melangkah ke arah 'khadam' yang baru dibelinya. Tiba-tiba lengannya ditarik Arif.

"Untuk mengukuhkan bukti yang pak cik tak terbeli orang yang salah. Biar saya terang awal-awal." Arif bersuara malas sebelum menarik semula tangannya apabila berjaya menahan pergerakan lelaki asing itu.

"Bila pak cik cakap pak cik beli dia sebab dia khadam saya. Dia akan mengaku dia bukan khadam saya. Dia akan cakap nama dia Keth. Dia cuma musafir dekat tanah asing ni." Lelaki itu mendengar dengan tekun. Dia mengangguk tanda memahami. "Oh, ya! Lagi satu pak cik. Dia akan menggumam untuk halau saya dari rumah dia. Bila dia memenuhi kriteria yang saya katakan tadi. Tahniah, dengan rasminya dia khadam pak cik."





Beberapa minit yang lalu,

Bahu Keth dicuit dari arah belakang. Spontan dia menoleh sebelum tersenyum sebagai tanda mesra. Penuh tertib Keth berdiri sebelum bersalaman dengan insan yang menegurnya tanpa suara itu.

"Kamu khadam pak cik sekarang."

Diam.

Keth pandang sekeliling sebelum berhenti di hadapan wajah di hadapannya itu semula.

"Err... pak cik salah orang ke?" tanya Keth ragu-ragu.

"Pak cik beli kamu dari tuan kamu dekat sana."

"Hah?" Anak mata Keth melorot ke arah yang dituding lelaki itu. Berlegar susuk tubuh tersebut di pandangan matanya. Darah automatik menyirap naik hingga ke otak.

Lelaki itu hanya tersenyum melihat riak wajah Keth. Senyuman manisnya berubah kelat.

"Bila pak cik cakap pak cik beli dia sebab dia khadam saya. Dia akan mengaku dia bukan khadam saya..."

Gigi diketap Keth kuat sebelum dia menyusun kata, "Pak cik, saya bukan khadam dia."

Lelaki tua itu mengangguk lagi. Membiarkan hanya Keth yang bersuara.

"Dia akan cakap nama dia Keth."

"Nama saya Keth."

"Dia cuma musafir dekat tanah asing ni."

"Gerangan yang pak cik tunjuk tadi kawan saya. Kami cuma musafir yang datang untuk cari seseorang dekat tanah asing ni," jelas Keth bersungguh tanpa dapat menebak apa-apa yang bermain di benak insan di hadapannya di kala itu.

"Dia akan menggumam untuk halau saya dari rumah dia."

Keth menghela nafas. Membuang segala rasa marah yang bersarang di dalam dadanya. Dia menoleh ke arah Arif semula, menghadiahkan tenungan maut. "Siap kau, Arif. Jangan ingat aku akan bagi kau jejak rumah aku lagi," gumamnya rendah tetapi masih dapat ditangkap lelaki yang berdiri statik di hadapannya itu.

"Tahniah, dengan rasminya dia khadam pak cik."

Insan asing itu tersenyum lebar di balik kain tebal yang menutupi wajahnya. "Betul anak muda, kamulah orangnya. Kamu akan jadi khadam pak cik mulai hari ini."

Keth kelu hilang kata apabila menerima jawapan sedemikian daripada lelaki tersebut. Kalau pandangan itu membahayakan. Pasti berkecai belakang badan Arif dek tenungan Keth terhadapnya.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang