Helang yang bertenggek di atas bahu Amy, melebarkan sayapnya sebelum terbang ke atas apabila langkah tuannya dibawa ke hadapan. Ael tersenyum lebar, menyerlahkan lesung pipit yang tidak berapa dominan untuk dilihat orang sekeliling.
Larian Amy yang dibawa ke arahnya laju, langsung tidak menggoyahkan ketenangan yang terpasak di riak wajah Ael. Sebaliknya dia hanya berdiri di tempat yang sama menunggu serangan sulung daripada insan yang cukup dikenalinya itu.
Apabila jarak antara dia dan Ael hanya tinggal sedepa, Amy melompat ke atas yang tingginya hanya paras atas pinggang Ael. Kaki dilayangkan ke udara mahu menyerang sisi kepala lelaki itu yang masih berbekas dengan sisa darah.
Seakan dapat menjangka serangan daripada Amy. Lelaki itu dengan bersahaja mengangkat lengannya ke atas, membentuk rising block. Serangan Amy dengan mudah dipatahkannya. Kepala diangkat Ael, membalas pandangan Amy kepadanya walaupun sedikit terhadang dek lengan yang masih statik di udara.
Amy berdecit geram. Lengan ditolak Ael ke hadapan sebelum serangan lain pula dihadiahkan Amy kepadanya. Seakan-akan dapat menjangkakan pergerakan lutut yang hampir singgah di bawah dagu. Ael lebih pantas menarik langkah ke belakang.
Tujahannya yang tersasar menyebabkan Amy membuat pusingan tiga ratus enam puluh darjah di udara, meneutralkan daya kinetik yang ditumpukan pada lutunya tadi sebelum mendarat kembali ke muka bumi.
"Kekuatan kau adalah bila kau lawan dalam jarak dekat. Percaturan yang cantik. Tapi ...." Kaki kiri di bawa Ael ke belakang kaki kanan. Tangan yang dibawa ke belakang badan mencapai perlahan pemegang pisau Fixation bowie sebelum dihunus keluar.
"Kau lupa yang aku mahir gunakan kekuatan jarak dekat aku untuk perlawanan jarak jauh."
Dahi dikerutkan Amy, dia bersedia untuk menerima apa-apa serangan yang bakal diterimanya. Namun, pisau yang dipegang Ael tanpa menunggu lengah terlebih dahulu terbang ke udara. Kelopak mata Amy terbuka luas apabila dengan sekelip mata, bilah tersebut menyapa pandangannya. Belum pun sempat dia berfikir untuk mengelak ke mana, pipi kanannya tersagat halus.
Hampir sahaja detak jantungnya berhenti berdegup tetapi bunyi jatuh yang bergema masuk ke corong telinga menyebabkan dia tersedar semula. Dia tahu betapa tepatnya balingan Ael dan luka di pipinya itu bukanlah kerana lelaki itu tersasar jadi apa yang dia sasarkan sebenarnya? Lipat maut dia berpaling ke belakang, mencari sesuatu. Separuh bilah senjata tersebut terbenam masuk ke dalam rak kayu yang berdekatan.
Dada berombak kencang dek nafas yang makin bercelaru. Figura helangnya yang menggelupur sebelum tersadai lemah di atas lantai tertayang di layar pandangan. "Kau ...."
Ael tersenyum sarkastik sebelum melepaskan tawa kecil. "Itu ...." Telunjuk diacu ke arah yang disasarnya tadi. "Cuma amaran."
Amy mengetap giginya rapat.
"Cuba jadi pandai sikit, Amy. Aku tengah mudahkan keadaan kau. Patuh arahan aku macam selalu dan aku takkan ganggu kehidupan kau buat masa ni."
Melihatkan riak wajah Amy yang sedikit terganggu dengan kata-katanya, Ael tersenyum menang. Spontan anak mata naik mencari kelibat dua orang yang dicarinya.
Langsung luntur senyuman yang tadinya terhias di wajah. Dia berpaling ke sekeliling sebelum tiba-tiba satu tumbukan menerpa ke wajah.
Daya dikenakan menyebabkan dia melayang sedikit ke belakang.
"Cari aku?" Arif sengaja memejamcelikkan kelopak matanya beberapa kali, menayangkan riak comel. Kolar baju dibawa turun daripada menutupi wajah.
Darah yang menitik jatuh dari lubang hidung dan gusi hadapan dikesat Ael dengan belakang tangan. Belum pernah ada sesiapa yang boleh mencederakan dia sebegitu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Ficção GeralKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...