Bab 12

45 12 3
                                    

Binokular kembali diletakkan Amy ke tanah. Keluhan berat dilepaskannya.

"Masalah orang berotot ni satu je. Terlebih yakin, jadi strategi memang tak digunakan sebaliknya ambil inisiatif kekerasan dan ikut kepala sendiri. Ada otak tapi tak nak guna. Bila kau nak belajar jadi bijak sikit 78?" omel Amy sendiri kerana geram saat terlihat kelibat 78 yang diheret ke bilik bawah tanah.

"Sekarang siapa yang susah? Aku juga," rungutnya sebelum mencampak kasar binokular ke dalam sarungnya. Dia mendengus kasar sambil mencapai beg. Kaki diluruskan.

"Aku ni tak ubah macam tengah jaga budak-budak. Kalau betul budak-budak tak apa. Ini tua bangka," bebelnya panjang lebar.

Langkah dibawanya laju tanpa bunyi untuk menyelamatkan kawan yang tidak sekufu dengannya itu. Sampai sahaja di kawasan perumahan yang berpagar itu. Dia memandang lama. Meneliti kalau-kalau ada perangkap yang menanti.

Usai memastikan apa-apa yang perlu dia pastikan. Beg sandang dicampaknya ke tanah sebelum dia memanjat laju. Dek badannya yang ringan, ia memudahkan Amy untuk bergerak dengan lincah. Sampai sahaja di palang terakhir, telapak kasut dilunjurkan ke bawah sebelum dia mendarat cantik ke tanah.

Nafas ditarik lega. Tersungging hujung bibir kanannya. Jaket yang dipakai di bahagian luar ditanggalkan sebelum dia membaling ke luar pagar. Lengan baju yang masih tersarung dibawa naik. Kaki kanan dibawa mara untuk melangkah. Baru tiga derap dengan ketenangan. Dia tersentak apabila gema suara seseorang kuat mengetuk gegendang telinganya.

"Jadi kau punca mereka kejar Farid dan Iman?" bergema lantang satu suara. Lipat maut Amy menoleh ke arah rumah tersebut. Jantung berdegup laju dek tiba-tiba disergah begitu.

Kelopak mata terkebil-kebil. Minda ligat memikirkan cara untuk melarikan diri sementara masih sempat.

"Apa benda aksara yang kau pegang tu sebenarnya, Keth? Cakap!"

Telapak tangan kanan automatik naik menepuk dahi. Punyalah cuak dia jadinya apabila disangka gerangan yang disergah itu dia. Geraham diketap kuat. Kali ini langkah diteruskan laju. Tidak lagi peduli akan keselamatan kawasan sekeliling.

Sampai sahaja di hadapan pintu bilik tersembunyi bawah tanah itu, dia terkaku sesaat sebelum merendahkan belakang badan. Pintu yang sedikit tenggelam dari tanah rata disentuhnya perlahan. Selak ditolak ke atas sebelum dia menarik kuat muka pintu itu untuk membukanya.

Cahaya yang menerobos masuk tepat terpancar mengenai wajah-wajah yang terperangkap di dalamnya. Kepala salah seorang anak buah 78 terdongak mahu memandang gerangan yang datang melawat mereka di kala itu.

Jelas terpamer wajah Amy dengan senyuman sinis mengejek apabila terpandangkan kondisi 78 dan anak-anak buahnya yang agak menyedihkan.

Tangan diangkat naik melambai sebelum dia bersuara, "Hai."





"Kau memang dah pasang niat tak nak jawab soalan aku, kan?" Avianna mengerutkan dahinya geram.

Keth lawan pandangan mata gadis itu tanpa rasa.

"Tanyalah soalan yang aku boleh jawab," selamba dia membalas sebelum merehatkan belakang badan ke dinding sambil memeluk tubuh.

Arif yang bungkam diam tidak bersuara daripada tadi mengorak langkah dengan riak mendung. Peristiwa letupan yang hampir meragut nyawa Keth terbias di ruang ingatannya.

"Aku masuk amik harta kesayangan aku sekejap," ujar Keth apabila Arif masih juga tidak memberi sebarang respon.

"Harta ap...," ujaran Arif jadi tergantung apabila dia tersentak teringatkan sesuatu.

Hilang sinar cahaya yang biasa terpancar dari anak mata hitamnya. Keth yang masih lagi berlawan pandang dengan Avianna hakikatnya sedar akan kehadiran Arif dengan aura yang lain dari kebiasaan dan dia dapat mengagak reaksi itu yang bakal diterimanya sekarang atau kemudian.

Sekelip mata kolar bajunya dicekak Arif kuat. Riak Keth masih lagi tenang. Namun, ketenangan itu sedikit tergugat apabila suara Arif naik seoktaf membentaknya tetapi masih riak wajahnya tidak berkocak.

"Jadi kau punca mereka kejar Farid dan Iman?" Keth membisu, memandang kosong ke arah lantai.

Rahang Arif bergerak-gerak. Entah kenapa segenap tubuhnya rasa membahang. Apakah dia dipergunakan selama ini?

"Apa benda aksara yang kau pegang tu sebenarnya, Keth? Cakap!" Makin menyinga Arif dibuatnya tetapi sedikitpun tidak mengubah riak toya Keth.

Dia tarik senyum yang entah memberi makna apa hanya tuan empunya badan tu yang tahu.

"Apa yang kau takutkan sekarang ni, Arif?" ujarnya rendah. Berkerut-kerut dahi pemuda yang berdiri di hadapannya apabila suara dia memecah keheningan.

Tanpa sedar genggaman Arif semakin longgar dari awal-awal tadi.

"Kau takut untuk hadapi hakikat yang kau tersilap menilai aku atau kau takut dikhianati?" Penumbuk Arif diraih Keth, menyokong genggaman tersebut.

Kali ini giliran Arif untuk terpaku dengan bait-bait kata yang keluar daripada bibir Keth. "Aku takkan boleh apa-apakan kau sebab andai kata aku yang terkorban suatu hari nanti. Aksara tu aku akan amanahkan untuk kau."

Genggaman Arif yang ternyata kian lemah terus terungkai. Rasa yang menggelegak tadi ditimpa dengan rasa yang brcampur. Dia jadi pucat.

Tangan Arif ditolaknya sedikit ke tepi tanpa menghiraukan mata-mata yang memandangnya penuh musykil. Farid mendapat perhatiannya kini.

"Semoga Allah merahmatimu, saudara." Keth tersenyum sayu.

Pandangan lantas diangkat memandang yang lain-lain.

"Belum masanya untuk aku dedahkan perihal aksara tapi bilamana keadaan dunia ini, negara ini, negeri ini semakin pulih. Aku akan pastikan ia sampai pada kalian."

Ria yang memapah Hairi memandang babak-babak dihadapannya tidak berkutik. Kelopak matanya membesar, seolah-olah peka dengan lenggok tubuh Keth yang seakan-akan mirip seseorang yang pernah dikenalinya. Bibirnya terkunci.

"Kau nak pergi macam tu je?" soal Hairi.

Keth menoleh ke arah Hairi. Dia mengangguk. "Masa untuk aku tamatkan semua ni."

"Kau nak serah diri?" tanya Avianna pula. Bahu dijongket Keth naik. Senyum segaris dihadiahkannya lagi. Kali ini lebih jelas. Senyuman perpisahan.

"Aku takkan berpaling daripada keluarga aku sendiri." Kali ini matanya tajam memanah ke arah Arif yang masih tertunduk. "Walaupun seteruk mana keluarga aku tu," sambungnya mengusik.

Dia tahu lambat laun dia perlu meneruskan perjuangan yang telah diamanahkan kepadanya. Dia cuba lari daripada realiti. Siapa sangka yang realiti hidup itu, dia takkan dapat sembunyikan diri daripadanya? Buktinya kini, masanya telah tiba.

Masing-masing terdiam. Masih keliru dengan teka-teki yang masih lompong di merata-rata tempat. Saat kepalanya ditundukkan sebelum kepala dikalih ke belakang untuk mengorak langkah. Hilai tawa halus menyambut perhatian mereka.

Berpasang-pasang mata terpaku memandang sesusuk tubuh yang bersandar di bingkai pintu. Jaket kulit tergantung di bahu kanannya penuh lagak.

Hujung jari telunjuk dibawa ke bibir, mengetuk lembut seolah-olah sedang berfikir dalam.

Amy kalih pandang ke arah insan-insan yang masih terpaku memandangnya. Jelas ketidakaluan akan kehadirannya di situ. Seolah-olah tidak memahami dia akhirnya bersuara, "Ahhh... jadi itu jawapan untuk teka-teki yang 10 mahukan?"

Senyum sinis terhias makin melebar di bibirnya. Kaki menapak perlahan tanpa diundang. Dia berdiri bertentangan Hairi dan Ria yang berada paling dekat dengan muka pintu. Pandangan menikam antara satu sama lain.

"Serahkan Arif dan Keth pada aku atau...." pandangan dibawa ke arah Ria penuh makna.

AksaraWhere stories live. Discover now