Bab 26

34 6 0
                                    

Arif mengeluh kesakitan apabila badannya terasa sengal-sengal dan dingin dek bayu yang menampar kulit badannya yang tidak berbaju. Mendengar bunyi dari arah lelaki itu, pergerakan Qaym yang sedang mengasah kayu panjang terhenti. Dia memalingkan wajah, memandang Arif untuk seketika.

Balutan yang terlilit di bahagian dada bawah hingga ke abdomen menjadi fokus utama Qaym. Mencari kalau-kalau ada bahagian yang tidak kena. Kerutan di dahi mulai terbentuk apabila dia perasan sekujur tubuh Arif sedikit keras. Setiap otot badannya kelihatan tegang. Kemudian secara spontan Qaym memanggungkan kepala dan yang menjadi santapannya hanyalah pandangan menyala daripada lelaki yang masih terlantar di atas katil.

"Dah bangun?" Serentak Qaym bangun, menapak ke arah almari kayu yang sedikit usang sebelum meletakkan benda yang dipegangnya tadi.

"Mana Amy?"

Belakang badannya masih lagi menghadap Arif. Kepala yang ditundukkan menyebabkan rambut sisi yang panjang sedikit daripada dagu menutup raut wajahnya.

Dia memandang kosong ke hadapan. Tidak berkutik seketika, mengambil masa untuk menyusun kata sebelum diutarakan.

"Mereka selamat. Termasuklah budak lelaki terakhir yang kami patut bakar tu." Kedengaran nafas lega dilepaskan Arif. Seluruh badan yang menegang dikendurkan semula.

Kelopak mata dipejam cuba merehatkan diri yang jelas terasa letih. "Kaki kawan kau tu diperbuat daripada keluli ke apa?"

Qaym terasa aneh dengan reaksi yang diberikan Arif, dia kelihatannya terlalu santai walaupun berada berdekatan dengan orang yang tidak dikenali. Tambah pula orang yang tidak dikenali itu hakikat punca dia terlantar di atas katil.

Hujung jemari mengetuk-ngetuk bahagian atas almari tanpa sebab. "Aloi sebenarnya. Kau patut bersyukur tulang rusuk kau tak patah ataupun retak macam yang dia kata lepas waktu dia libas kau semalam."

Lipat maut Arif tolehkan kepala ke arah lelaki yang masih membelakanginya itu. Kelopak matanya membulat. Asalnya dia hanya mahu bercanda tentang kaki Shaun tapi siapa sangka dia meneka benda yang betul sebenarnya.

Air liur ditelan masuk ke dalam kerongkong. Tiada kata yang terasa mahu dizahirkan ketika itu.

Getah rambut yang berada tidak jauh daripada muka hujung jemari kanan dicapai Qaym. Urat-urat rambut dikumpulkan sebelum diikat ke belakang kepala. Kaki kemudiannya bergerak, mengalihkan badan. Panahan anak mata Arif ditentang.

Riak keliru yang terpancar dari wajah lelaki itu menyebabkan Qaym tersenyum kelat. Seolah-olah memahami apa yang tersirat di dalam kepala Arif, dia pantas bersuara, "Kaki yang sepak kau semalam adalah kaki palsu Shaun. Di tambah pula dengan kasut but yang dia pakai, jadi daya yang dikenakan boleh kata dua kali ganda daripada sepakan seorang lelaki biasa."

Arif tidak tahu kata-kata apa yang sesuai untuk diutarakan ketika itu. Akhirnya dia tertunduk. Diam. Memikirkan rasional tempat dan situasi keadaannya.

Lelaki yang tua lebih beberapa tahun daripada Arif itu lantas mengatur langkah ke arahnya. Kerusi kayu berkaki tiga yang tersadai di tepi dinding ditarik lantas diseret bersama sebelum diletakkan di sebelah katil. Dia mengambil duduk dengan wajah serius.

"Dengar, aku akan masuk ke topik yang lebih serius dan aku nak kau jawab dengan jujur. Kata-kata kau selepas ni akan menentukan nasib kau, kawan kau dengan budak lelaki tu."

"Apa yang kau nak?" soal Arif langsung tidak menoleh, memandang Qaym yang sukar untuk diramal tindakannya itu. Walaupun jauh di dalam hati, Arif sendiri sebenarnya dah dapat menjangka soalan apa yang bakal disajikan buat dia.

"Apa yang jadi dekat kampung ni sebenarnya? Aku pernah dengar tentang kes yang sama. Satu persatu penduduk kampung dijangkiti penyakit yang tak dapat dirawat dan berakhir dengan kematian. Kejadian ni tak berkesudahan sebab setiap hari akan ada orang yang sihat dijangkiti."

Kelopak mata dipejam kesal. "Kau bakar hampir separuh penduduk kampung tanpa mengetahui benda yang kau tengah hadap sekarang ni?" Ayat itu ditelan Arif semula, tidak berani dia mengutarakan perkataan-perkataan tersebut dengan nyawa dia dan Amy sebagai taruhan.

Akhirnya dia menjawab secara langsung tanpa berdalih. "Plag," balasnya sebelum melepaskan hela.

"Sejenis penyakit berjangkit yang aku sendiri tak tahu mana datang puncanya," sambung dia.

"Macam mana nak rawat penyakit tu?" Dengar sahaja soalan daripada Qaym, Arif menggaru pelipisnya. Riak dah bertukar kelat.

"Kau ingat aku akan ada dekat sini kalau aku tahu?"

Lelaki itu meraup wajahnya apabila jawapan yang disangka hanya sejengkal rupa-rupanya hanyalah kabus harapan. Dagu diturunkan sedikit ke bawah. Memandang kosong ke arah lantai kayu yang hanya tunggu masa tertimbus dek perut bumi.

"Jadi betullah kau budak tu? Satu-satunya insan yang terselamat sewaktu epidemik ni melanda kampung halaman kau?"

Arif ketawa. Kenyataan itu asing baginya kerana ke mana pun dia pergi apabila dia dikaitkan dengan kisah beberapa tahun yang lalu. Perkataan yang diberikan kepadanya adalah 'pembunuh'.

"Aku ada orang dalam yang aku kenal dalam Puak Gagak Hitam. Dia yang beritahu aku. Malangnya setiap orang yang tahu akan cerita sebenar tentang kau... tak lama selepas kejadian tu dibunuh. Kenalan aku tu tak terkecuali."

Wajah pemuda itu beku. Sedikit pun tidak terkesan dengan cerita yang dikhabarkan Qaym. Paling tidak lelaki itu tidak mempercayai khabar angin secara membuta tuli. Itu dah cukup dihargai Arif. Tiba-tiba mindanya menerawang teringatkan Keth. Tanpa perlu dibuktikan apa-apa. Sahabat yang satu itu mempercayainya dengan sepenuh hati tapi dia?

Peristiwa sewaktu dia bergaduh dengan Keth gara-gara aksara menyebabkan dia terguris dek kebodohan sendiri. Sewaktu dia melarikan diri dari segala kecaman. Lelaki itu hadir menghulur pertolongan. Sewaktu dia perlukan teman. Dalam diam, dia hadirkan diri hanya untuk dia. Satu persatu pengorbanan yang diberikan Keth yang langsung tak mampu dia lihat dulu kini satu persatu terbentang di ruang memori.

"Kalau penduduk di tempat kediaman kau dulu semuanya mati, macam mana kau boleh terselamat?"

Belum pun sempat Arif menyahut. Bunyi ruas jari bertemu muka pintu yang dah pun terbuka menarik perhatian mereka berdua. Serentak masing-masing memanggungkan kepala ke arah bunyi ketukan yang bergema. Kelihatan wajah ceria Shaun sedang melambai-lambai ke arah Arif.

Wajah Arif dah bertukar pucat. Dia mengesot hingga belakang badan berlaga dengan dinding rumah itu. Rasa sakit penangan yang diberikan lelaki itu masih segar di ingatan.

Shaun angkat kening. Pandangannya terkaku untuk seketika. Mata terkelip-kelip melihat reaksi figura di hadapan mata. Leher dipusingnya ke sisi. Susuk tubuh Qaym menjadi sasaran kini.

"Kau cakap dia tak ada apa-apa kecederaan serius?" tuduh Shaun dengan maksud yang tersirat.

"Bukan salah aku kalau budak ni trauma kena libas dengan kau," tajam Qaym membalas.

Terkaku. Minda mengimbau semula libasan maut yang dihadiahkan kepada Arif. "Oh?" Kening digaru perlahan. Terkulat-kulat Shaun dibuatnya sambil menayang sengihan lebar.

Dia bergerak mendekati Arif sebelum duduk di bucu katil bujang yang asalnya milik Qaym. Automatik Arif melipat lututnya. Menjauhkan semua anggota tubuhnya daripada Shaun.

"Aku tahu salah aku. Aku minta maaf."

"Errr... okay?" Arif tarik bibirnya ke sisi. Namun, jelas kelihatan canggung di mata dua orang insan yang turut berada di sisinya.

Tanpa sedar seulas bibir Qaym turut mengukir senyum. Terasa lucu dengan adegan yang berlaku di hadapan matanya.

"Berbalik kepada soalan aku tadi," ujar Qaym senada.

Fokus Arif kembali kepadanya. Dia diam sesaat sebelum menggeleng memberi tanda yang dia juga tidak tahu.

"Tak nak tanya aku?" Tiga pasang mata terarah lagi ke arah pintu masuk. Kelihatan kelibat seseorang berbut tinggi dengan baju kapas berwarna kelabu gelap yang terlindung di sebalik jaket berhud sedang bersandar pada bingkai pintu. Wajahnya sedikit tenggelam kerana dia berdiri di bahagian yang tiada cahaya dapat menerobos masuk.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang