Kaki yang tergantung di hujung tebing tinggi digoyangkan ke depan dan ke belakang. Siulannya kedengaran perlahan di telinga sendiri saat letupan di tanah tandus itu memecahkan kedamaian malam. Mata hitam memandang kosong api marak yang menjulang ke langit.
Jeritan Arif seusai beberapa saat bunyi letupan itu bergema menyebabkan kening Amy terjongket naik. Senyuman menjadi sedikit kaku namun kembali melebar ke sisi saat haiwan kesayangan miliknya terbang hinggap di bahu kanan.
Bulu pelepah yang berkilat di atas badan burung helang itu dilurutnya lembut sebelum dia menyandar lembut sisi kepalanya ke atas kepala burung helang tersebut.
"Aku sasarkan orang lain sebenarnya tapi ...," ujarnya sendirian. Hud di atas kepala digosoknya ke depan dan ke belakang sebelum dia kembali memanggungkan kepala saat biasan cahaya bulan tidak lagi jatuh ke wajah.
"Paling tidak kau dah hapuskan seorang lagi insan yang berpotensi jadi seteru kau, Amy." Dia mencebik mendengar suara garau itu.
Makanan helang yang disimpan di dalam poket jaket dikeluarkan Amy sebelum dia menghalakan makanan tersebut ke hadapan haiwan peliharaannya. Setelah memastikan fokus burung itu benar-benar tertala ke arah makanan burung yang digenggam, Amy langsung membaling jauh makanan tersebut ke pentas langit.
Tanpa memerlukan sebarang arahan. Helang yang berwarna coklat hazel itu pantas terbang mengejar makanannya.
"Aku tak tahu kau dah balik ke Selangor. Bila sampai?"
Dia tersenyum sebelum menjongketkan bahu. "Entahlah. Sedar-sedar je dah sampai," balasnya kemudian melepaskan tawa kecil.
Amy menjulingkan mata ke atas, jengkel dengan sikap lelaki itu. Nafas ditarik dalam sebelum dia bangun dari terus melabuhkan duduk di tepi tebing berdekatan dengan bangkai pesawat yang kininya sudah selamat menjadi abu.
"Macam mana tempat tu?" soal Amy sedikit serius.
"Baik-baik macam selalu. Kau pasti tak nak ikut aku ke sana?"
Amy berdecip sebelum tajam memandang ke dalam anak mata lelaki itu. Pandangan makin lama makin dilembutkan. Api yang semakin reda kembali menjadi tatapannya untuk kali itu.
"Belum sampai masanya," ucapnya rendah.
"Kalau itu kata kau, terpulang. Apa-apapun nasib baik kau tak berjaya bunuh mamat tu." Pandangannya dihalakan ke arah yang sama dengan Amy.
Amy mengerutkan dahi kerana menyangka lelaki itu cuba memperlekehkannya. Namun, sekali lagi hanya disambut tawa apabila lelaki itu ternyata memahami maksud tersirat di sebalik pandangan tajam Amy.
"Bukan sebab tu."
"Habis?" tanya Amy geram.
"Sebab aku perlukan budak tu," ucapnya sebaris yang menyebabkan Amy turut tersentak. Dia memandang pelik ke arah gerangan tersebut.
Pandangan lelaki itu serius memandang ke arah nyalaan api yang masih bersisa sebelum menoleh pandang ke arah Amy. Jelas dari riak tersebut Amy tahu lelaki tersebut serius dengan kata-katanya.
"Dan kau datang cari aku dekat sini sebab kau nak aku dapatkan budak tu untuk kau?" tanya Amy.
"Bingo," balasnya sebelum menghadiahkan senyum secebis.
"Errr... bila masa aku kata aku setuju?"
"Pfft! Kau takkan boleh lawan cakap aku, Amy." Amy mengetap gerahamnya geram kerana dia tahu itu adalah realiti yang dia perlu akur.
Dia sudah berura-ura mahu bergerak melepasi lelaki itu sebelum suara garau itu kembali bersuara, "Kau tahu apa yang akan terjadi kalau kau bangkang arahan aku, bukan?"

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Genel KurguKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...