Jemari kanan mengetuk meja berulang kali sedang mindanya terawang. Terlalu banyak perkara yang terpaksa dipertaruhkan di dalam situasi mereka. Ael memandang stereotypical hologram di hadapan matanya yang masih terpancar di tengah-tengah ruang. Minda memutar kembali mengingat mesyuarat yang telah berakhir 30 minit yang lalu.
"Kita ada banyak masa tapi lagi cepat lagi bagus."
Ael melirik mata ke arah wanita 50-an yang mengelola mesyuarat itu. Tangan wanita itu pantas menekan-nekan skrin hologram yang terpapar di hadapan matanya sebelum berhenti kepada subjek-subjek yang dipanggil A.K.S.A.R.A.
"Arif, Keth, Shah, Amy, Rheza dan Aida," ujarnya sebelum menyambung memperkenalkan. "Saya harap semua di sini sedia maklum siapa enam orang yang tertera di sini."
Pandangan Ael kini beralih pada visual hologram Amy. Kedegilan gadis itu yang merosakkan rancangannya menyebabkan dia menghela berat apabila teringat kembali perkara yang terjadi di Titiwangsa.
"Sekadar pencerahan, saya akan terangkan lebih lanjut kenapa enam orang ini penting untuk Projek Kelangsungan Utopia yang kita sedang kecap sekarang. Seperti yang semua sedia maklum, ada perkara yang mampu menggugat keharmonian utopia dan ianya adalah..." Tangannya menekan satu punat sebelum visual hologram tadi bertukar kepada video kebakaran dan kesengsaraan insan-insan yang diserang plag.
"Ini adalah situasi yang tak dapat kita tangani jika ianya sampai ke tempat kita," ujarnya mendapat perhatian semua orang di dalam ruang itu.
"Jadi... ada antara mereka yang terpapar di hadapan semua yang berada di sini, ianya merupakan jawapan untuk persediaan kita menghadapi situasi tersebut."
Seorang lelaki yang berbaju T putih dengan lengan panjang mengangkat tangan. Duduk betul-betul bertentangan Ael. "Mohon perincian tentang 'jawapan' yang diutarakan sebentar tadi."
"Ada di antara enam orang yang saya sebutkan sebentar tadi yang terselamat daripada plag tersebut. Jadi 'kita' sangat berminat untuk tahu bagaimana mereka boleh terselamat dari epidemik tersebut."
Masing-masing mengangguk faham, lelaki yang menyoal tadi menyilangkan tangan ke dada. Kaki kanan turut diangkatnya bersilang ke lutut kiri cuba mencerna info yang baru didapatinya.
"'Antara enam orang.' Maksudnya tak semua daripada yang tertera dalam hologram ni, betul?"
Wanita berambut panjang yang membentangkan usul di hadapan lapan orang yang terlibat hanya tersenyum menerima soalan tersebut. Langkah diatur ke arah lelaki tersebut penuh elegan dan karisma. Telapak tangan seraya dilekapkan ke muka meja. Kini pandangan mereka bertentangan. Lelaki tersebut masih lagi dengan riak selambanya.
"Teliti dan rasa ingin tahu yang tinggi. Bagus," pujinya pada lelaki itu namun hanya kerdipan kosong sahaja yang diterima sebagai balasan.
Wanita itu berjeda sebentar sebelum menyambung, "Betul. Tak semua antara enam orang tu ada jawapan spesifik untuk persoalan kita tapi saya jamin. Ada hubungkait dan sebabnya kenapa kita memerlukan keenam-enam mereka."
Bunyi pintu yang terkuak menyentakkan Ael kembali ke masa kini
"Kau dekat sini lagi?" Pintu yang terkuak kembali terkatup. Lelaki berbaju putih itu berjalan ke tempat yang dia duduki tadi tapi kali ini ditemani secawan kopi di tangan.
Cawan kopi yang masih berasap nipis diletakkannya ke muka meja sebelum dia melabuhkan duduk. Turut memandang visual sama yang dipandang Ael.
"Dia larikan diri?" soal lelaki itu selamba.
Ael mendengus berat masih lagi statik dengan posisi sama. "Seperti biasa."
Jawapannya disambut dengan hilai tawa kecil. Terasa lucu kerana dia tahu itu bukan kali pertama dia mengejar Amy.
"Sudah-sudahlah, Ael."
"Dia adik aku."
"Ops! Pembetulan." Tangan yang asalnya membawa cawan kopi ke mulut lantas dilurutkan ke bawah mahu menyambung bicara, "Dia cuma homunculus yang dicipta dari spesimen DNA kau."
Ael pandang insan di hadapannya itu bagai nak tembus. "Aku pun homunculus."
"Pembetulan. Separa homunculus."
Terasa mahu dibaling kerusi kaki satu disebelahnya ke arah lelaki itu. Semuanya nak dibetulkan.
"Kenapa kau masuk semula ke sini?"
Lelaki itu angkat kening seraya menopang dagu. Pandangan sengaja dihalakan lurus ke wajah Ael.
"Sakit kepala sebab aku yang akan dipertanggungjawabkan untuk cari solusi untuk projek ni."
"Kau tahu lebih daripada apa yang diterangkan tadi." Lelaki berbaju putih itu tersenyum penuh makna. Dia tahu sejak awal, Insan yang perlu dia berikan perhatian dan berhati-hati adalah dengan insan dihadapannya itu, Ael.
"Betul. Jawapan khusus untuk ayat penyata kau tadi. Aku tahu Arif, Shah, Rheza dan Aida adalah antara insan yang terselamat dari epidemik tu dan mereka merupakan jawapan langsung yang kita cari."
"Jadi kenapa kau libatkan Amy?"
"Amy tu Homunculus yang asli. Satu-satunya yang berjaya diciptakan di Utopia. Ada kelebihan dia yang manusia biasa tak ada. Kelebihan itu yang kita mahukan," jawabnya jujur tanpa sedikit pun niat untuk berkias. Merit jika dia mampu tarik Ael ke sisinya atas dasar kepercayaan.
"Terus atas dasar apa kau suruh Amy tangkap Keth? Sedangkan Amy dah ada dalam tangan kau? Kalau pilihannya Amy atau Keth..."
"Amy dan Keth. Bukan atau." Tajam renungan mata Ael saat itu.
Bibir yang terkemam rapat saat dicelah ucapannya tadi kini terbuka kembali. "Apa yang kau nak sebenarnya, 10?"
Biru laut yang jernih menjadi saujana mata memandang. Bayu angin yang menampar lembut wajahnya mengebaskan minda di saat itu walaupun tak dinafi ada sisi jiwa Keth yang masih lagi ribut dengan perkara yang baru terjadi pada mereka
"Ada di antara Aksara yang akan terkorban, Keth"
Rheza bangun dari tempatnya. Meninggalkan Keth yang masih lagi tenggelam dalam pemikirannya sendiri. Aida dirapatinya.
"Aku tak faham," ayat penyata yang terbit dari bibir Rheza memecah sunyi, menarik perhatian dua insan tersebut.
Aida tahu pernyataan itu tertuju padanya. Memandangkan Rheza yang duduk beberapa jengkal tadinya kini tiba-tiba mengubah posisi mematung di tempat duduk berhadapan dengannya.
"Apa kau tak faham?"
"Kau waris sah untuk pegang tampuk pemerintahan kerajaan tu. Tapi kau masih beri kebenaran pada Urana untuk ambil alih kuasa kau?"
"Rheza, adab." Tegur Keth kerana usai pemergian Urana. Aida kini bukanlah orang sebarangan.
"Sebab memang aku tak nak pegang tampuk pemerintahan tu."
Suasana jadi sedikit canggung, masing-masing terdiam untuk beberapa detik.
"Oh?" Respons Rheza yang sejujurnya terasa pelik kerana tidak menyangka dia akan menerima jawapan sedemikian.
Kali ini Aida menoleh ke arah Keth. Keberanian sedikit tersisip untuk menyoal lelaki tersebut apabila Rheza memecahkan sunyi di antara mereka. Sekaligus merubah suasana yang agak suram
"Kau rasa kenapa Urana beria cari kau? Kenapa sekarang?"
Soalan yang diajukan menyebabkan Keth tersenyum dalam perit. Tertunduk dia memandang tapak tangan di riba. Nafas ditarik dalam sebelum dihembus tenang. "Sebab dalam bayangan masa depan yang dia nampak... Mungkin dia nampak aku yang akan terkorban."
Masing-masing terdiam dengan ayat yang dituturkan Keth.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
General FictionKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...