Bab 2

159 19 8
                                        


Kawasan yang diubah kepada pasar berbumbungkan kain menjadi tempat yang dituju Arif. Juraian lebihan kain yang menghalang laluannya ditolak ke tepi. Suasana lengang menyambutnya di saat itu. Mungkin juga gara-gara cahaya matahari yang memancar terik. Kelopak mata juga terpaksa dikecilkannya, menghalang silau daripada menyakiti mata ketika dia melalui bahagian kawasan yang terdedah menadah langit.

Semakin jauh kaki melangkah, menuju ke destinasi yang telah ditetapkan di dalam kepalanya. Makin ramai kelibat manusia yang masuk ke ruang pandangan. Hujung sarung tangan ditarik naik melebihi paras pergelangan tangan sebelum kolar baju yang menutupi separuh wajahnya ditarik turun.

Saat wajahnya terdedah, masing-masing yang menoleh sekilas saat menyedari ada pergerakan asing langsung tergamam. Laluan lantas dibuka untuknya tanpa sebarang bantahan. Bisikan-bisikan halus yang menerobos masuk ke corong telinganya langsung tidak dihiraukan. Langkah tetap juga di arah mara.

Derap kakinya mati betul-betul di hadapan pintu kayu yang sedikit terbuka menyerlahkan isi di dalamnya. Jasad yang sudah terbaring kaku tidak bermaya di atas lantai dipijak seorang lelaki berbadan sasa.

Nafas ditarik dalam sebelum pintu masuk utama dikuaknya luas. Perlahan seolah tiada apa-apa, dia melangkah masuk. Tiga orang lelaki yang masih fokus dengan aktiviti mereka menoleh ke arah Arif. Kaki yang menghenyak memijak sisi peha kiri Abang Iman itu diturunkan ke lantai bumi.

"20, kau tengokkan mamat ni sekejap," arah lelaki botak itu sebelum menurunkan kakinya lantas mengatur langkah ke arah Arif.

Senyum sinis dipamerkan Arif saat dia melihat tiga orang lelaki asing yang bernafas di dalam ruang yang sama dengannya itu. "Sejak bila Puak Gagak Hitam ni ada ketamadunan orang gasar?"

Sejak awal lagi dia dapat menebak akan kehadiran yang membuat onar di situ. Puak yang sudah lama bermukim di situ konon mahu menegakkan kebenaran yang pastinya tiada siapapun dapat mengesahkan kesahihan tersebut. Uniknya puak itu, ahli mereka menggunakan nombor sebagai nama panggilan.

Lelaki botak itu mengetap gerahamnya kuat, jelas tidak senang dengan kehadiran Arif di situ.

"Agak berani untuk budak yang dah bunuh seluruh keluarga sendiri datang jejak dekat kawasan kami. Kau nak apa?" soalnya tiada nada mahu berkompromi.

"Oh? Jadi kau pun ingat tahu tentang aku, 78?" sarkastik nada Arif.

Pandangan dibawa 78 naik memandang jejaka yang berhadapan dengannya tanpa riak. "Anggaplah kau dah makin terkenal dekat sini. Sampai aku dah boleh ulang, cerita yang diperturunkan kepada budak-budak tentang kau."

Tanpa gentar dia sebagai tetamu yang tidak diundang menapak selamba ke arah dua lagi lelaki yang sedang mengawal mangsa mereka, menghiraukan si ketua di situ.

"Aku nak mamat ni. Lepaskan dia." Kepala lantas ditoleh sedikit mendedahkan sisi wajahnya ke arah 78. Dia mengerling untuk seketika gerangan yang berbicara dengannya sejak dari awal dia menjejakkan kaki di situ.

Tidak semena-mena bilah belati menyapa pinggir pipinya sesaat sebelum muncung tajam paling hujung senjata itu terpacak lurus ke dinding yang berada bertentangan.

Darah Arif jatuh setitik ke tanah. Hujung ibu jari dinaikkan untuk mengesat cecair yang masih tersisa namun, kaki tetap juga di situ. Sedikitpun dia tidak berganjak.

"Aku tak boleh tunaikan permintaan kau yang itu. Bedebah ni berani mencuri barang dari puak aku. Takkan senang-senang aku lepaskan dia. Sekarang aku syorkan kau balik ke tempat asal kau sebelum mata pisau aku yang lain terpasak dekat tengkorak kau pula," bicaranya senada.

Sepasang anak mata hitam Arif memandang 78 tenang. Ugutan yang diterimanya langsung tidak dihiraukan.

"Setahu aku Puak Gagak Hitam bergerak ikut undang-undang yang dah kalian tetapkan sesama ahli? Atau kalian tiga orang ni parti berkecuali sebenarnya?"

Insan dua orang di belakang mereka jelas terkejut.

"78, macam mana dia tahu tentang puak kita?" soal salah satu daripada mereka.

Arif menoleh semula ke hadapan memandang ke arah pemilik gerangan suara tadi. "Tahu apa? Peraturan 16 perenggan 2, setiap ahli puak tidak dibenarkan untuk menjatuhkan hukuman ke atas orang awam secara melulu tanpa soal selidik terlebih dahulu. Yang itu?"

Dia memandang si botak tadi semula. "Sekarang aku tanya kau, mana bukti?"

Masing-masing terdiam.

Kaki melangkah kembali ke tempat dia berdiri sewaktu awal-awal menyergah masuk ke ruang tamu itu. Niat mahu berhadapan dengan 78 sekaligus menamatkan perbincangan mereka.

"Dia, anak yatim piatu. Ada adik yang perlu dijaga dan kau sesuka hati menindas orang lain. Gah sangat ke puak kau tu?" tajam bait-bait kata yang terzahir daripada bibir Arif.

Tanpa suara penumbuk lelaki botak itu menyapanya dalam sekelip mata tetapi tangkas ditangkap Arif dengan tangan kanan. Timbul jelas setiap urat pembuluh darah di belakang tangan. Bibir berdecit geram. Penumbuk kirinya terlebih dahulu dihadiahkan ke pipi kanan 78 sehingga dia terdorong ke belakang.

"Lepaskan dia sebelum aku buat lagi teruk, 78. Dah bertahun peristiwa kau bertembung dengan aku dan kau patut tahu yang marah aku ni tak boleh dibuat main. Hakikat yang satu itu dari dulu sampailah sekarang takkan berubah."

Rahang yang terasa sengal digerakkan ke kiri dan ke kanan. Dia ketawa besar sambil belakang badan cuba diluruskan kembali. Tangan kiri yang turut mengurut sisi rahangnya kembali dilurutkan ke sisi. Hujung bibir kanan ditarik sedikit ke atas. Sinis.

Teman-temannya mahu membantu tetapi dihalang 78. "Kau dah semakin kuat nampaknya. Menarik," ucapnya diiringi ketawa yang makin perlahan.

Arif masih lagi statik di tempat dia berdiri, menayang riak kosong. Selang beberapa ketika usai lama mereka begitu, 78 tiba-tiba meluru ke arahnya. Dia secara refleks bergerak ke tepi sebelum tangan kiri dan kanan dibawa ke depan untuk dijadikan penghadang.

Saat ekor matanya menangkap pergerakan 78 yang mencapai pinggan kaca yang berhampiran, pantas Arif menunduk. Layangan pinggan kaca tadi akhirnya terbang melepasinya sebelum bersepai ketika bertemu dengan dinding. Dia ralit untuk sesaat dua apabila bunyi kaca pecah bergema di segenap ruang menyusup masuk ke dalam corong telinga

Satu sepakan dilayangkan 78 betul-betul di sisi kiri tulang rusuk Arif yang terbuka. Hentaman pertama menyebabkan Arif mengetap giginya kuat, cuba menahan rasa sakit yang tidak terbendung. Jarak antara mereka yang begitu dekat menyebabkan dia mengambil peluang. Leher 78 ditarik supaya mendekat sebelum dahinya dihentak kuat bertemu dengan dahi 78.

Jarak antara mereka mulai bertambah apabila masing-masing terdorong ke belakang dek impak yang diterima. Dia sangka lawannya itu berjaya dilemahkan tetapi reaksi sebaliknya yang diterima. Pandangan Arif menjadi kabur untuk seketika. Kepala pantas digelengkan dengan harapan dapat menghilangkan rasa pusing di kepalanya.

78 tersenyum menang tatkala melihat Arif terhuyung-hayang ke kiri dan kanan. Dia menerima kesan yang diberikan Arif tetapi tidak untuk jangka masa yang lama. "Tchh! Dasar amatur," gumamnya rendah.

Hanya dengan sekali libasan kaki di bawah dagu Arif. Lelaki itu akhirnya tumbang ke tanah.

Dengusan kepuasan dilepaskan 78. Senyuman sinis dihadiahkan ke arah jasad Arif yang turut terkulai di sebelah mangsa pertamanya tadi.

"Aku ingatkan kuatlah sangat tadi. Rupanya, hmm...." Ahli-ahli Puak Gagak HItam yang dua orang lagi itu memandang satu sama lain sebelum memandang 78 yang masih terpacak di tempat dia memberikan 'penalti' terakhir.

Kelopak mata dipejam sesaat sebelum dibuka. "Betul. Kau dah semakin kuat tapi belum cukup kuat untuk kalahkan aku, 10," ucapnya dengan nada rendah yang hanya dia dapat dengari.


AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang