Arif yang tertunduk, khusyuk dengan bubur yang disediakan Keth berterusan menyudu tanpa mempedulikan pandangan tajam yang tersorot ke arahnya. Hujung selimut yang membaluti kepala yang semakin melorot menangkap perhatian pemuda yang duduk bertentangan dengannya di atas lantai.
"Arif." Ayat sepatah itu menyebabkan tuan punya nama, mengangkat kepala, memandang pemilik suara. Kening diangkat tinggi dengan pipi yang kembung, penuh dengan bubur yang belum sempat ditelan.
"Aku nak tahu kenapa puak tu kejar Farid."
Terkebil-kebil Arif memandang Keth. Kerongkong separa sedar membawa makanan di dalam mulut, masuk menuruni sistem penghadaman. Itulah ayat paling dia tidak mahu dengar sebenarnya. Disangkanya isu itu dapat dinoktahkan usai Keth membalas dendam terhadapnya. Sebaliknya pula yang terjadi.
Seolah-olah tidak mendengar. Lambat-lambat kepala ditundukkan. Mangkuk bubur di tangan diangkat sedikit menutup separuh wajahnya sedangkan satu lagi tangan menarik turun hujung selimut menutupi bahagian atas mukanya pula.
Riak geram ditayang Keth. Masak benar dengan perlakuan Arif yang mahu melarikan diri. Bantal kecil di sisi dicapai, berura-ura mahu membaling ke arah temannya itu. Saat bantal itu dijulangnya ke udara dengan pandangan yang tetap ke arah sasaran, dalam beberapa detik dia membatalkan hasratnya. Rasa kesian tanpa sedar mengetuk pintu hati. Keluhan berat dilepaskan seiring dengan bantal yang kembali jatuh tersadai di atas ribanya.
Pandangan melorot ke bawah. Liur ditelan sebelum dia menyambung kata, "Say... what if Utopia never exist? What will we do then?"
Dek tersentak dengan ujaran tidak terduga hadir daripada Keth, mangkuk di tangan sedikit terumbang-ambing. Arif memandang Keth tidak percaya. Batuk kecil yang terlepas dilegakan dengan air kosong yang diletakkan di atas meja.
Hujung telunjuk dibawa Keth ke pelipis sebelum digarunya ralat. Arif mengangkat lagi cawan di tangan untuk menghirup air buat kali kedua.
"Aku cuma nak tahu apa yang buat kau yakin sangat dengan dunia ni, Arif. Sedangkan aku pandang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni tak ubah persis sampah." Noktah ayat Keth dibalas dengan 'hujan' buatan yang keluar dari mulut Arif.
Makin menggila rasa perit di hidung Arif saat tersedak air yang baru menujah mahu menuruni anak tekak tetapi dipaksa keluar dek refleksnya sendiri.
Rasa berdenyut di wajah dihiraukan Arif. Keth yang masih terkedu apabila disembur tanpa salam terus diterpanya. Selimut ditarik sedikit untuk mengelap wajah Keth sebelum lelaki itu berubah menjadi singa jantan jadian. Ucapan kata maaf diulang Arif, bimbang kalau-kalau Keth akan mencampaknya keluar dari bumi.
Hidung kembang kempis menahan sabar yang masih tersisa. Perlakuan Arif terhadapnya langsung tidak dihalang. Kelopak mata dipejam saat kain itu mengesat sisa air di bahagian mata.
"Kenapa yang kau beria sangat nak tahu?" Soalan yang terbit dari bibir Arif menyebabkan Keth membuka mata semula.
"Tindakan seseorang yang baik mahupun buruk. Kedua-duanya mesti bersebab. Sama macam kedegilan kau, Arif. Kau beria nak cari latar utopia dalam dunia ni bukan sebab kau nak mencari kesempurnaan, sebaliknya kau nak yang terbaik untuk semua orang."
Pergerakan tangan Arif terhenti secara spontan. Tidak pernah terduga yang Keth akan melontarkan kata-kata sedemikian buatnya. Sesaat dua usai tersedar daripada lamunan. Pantas telapak kanan ditepuk kuat melekap ke dahi Keth. Dia panik bukan kepalang jadinya.
"Kau demam ke?" Dahi Keth yang kemerahan berbekas membentuk tapak tangan langsung tidak mendapat perhatian Arif. Dia sendiri pun tidak sedar akan kuatnya daya tamparan yang dihadiahkan buat lelaki itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Tiểu Thuyết ChungKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...