Bab 11

52 16 2
                                    

Merah padam wajah Keth apabila kakinya menjejak ke tanah. Oksigen yang terasa terhad tadi kini kembali normal. Avianna menekup mulutnya dengan kepala yang sengaja ditolehkan ke arah kiri, mengelakkan Keth daripada memandang wajahnya yang juga sedikit merah menahan tawa.

Arif terpaku memandang muka pintu rumah Hairi saat kakinya menjejak tanah. Keth mara dengan seribu satu rasa yang dah menggelegak bukan main kepalang di dalam sanubarinya. Sampai sahaja di hadapan Arif, laju dia mencekik lelaki itu geram namun, tidaklah sampai tahap mahu membunuh temannya itu.

Arif memegang pergelangan Keth. Bebelan yang tercerap masuk berbakul-bakul ke dalam corong telinganya hanya singgah sesaat sebelum beransur hilang keluar melalui corong telinga yang di sebelah satu lagi.

"Kau dengar tak? Sekali lagi kau buat benda macam tu dekat aku. Aku ha...." ucapan Keth jadi terbantut. Asalnya dia mahu mengugut mahu menghalau Arif tetapi apabila difikirkan semula rumah pun dia tidak ada kerana insiden letupan tersebut. Mahu menghalau apanya? Kepala digeleng laju sebelum dia menyambung kata, "Siap kau aku kerjakan nanti."

Dahi Arif berkerut seribu tetapi bukan disebabkan sakit dicekik sebaliknya apabila dia rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah tersebut.

Genggaman Keth langsung dilonggarkan apabila dia sedar perhatian Arif langsung tidak padanya. Pandangan turut dibawa ke arah yang sama yang diperhatikan oleh Arif dari tadi.

"Ada benda yang tak kena."

Avianna pandang ke arah empunya suara untuk seketika sebelum visual matanya turut memaparkan pandangan yang sama persis dua pasang mata tersebut.

Pendengarannya tajam. Sayup-sayup dia mendengar bunyi dentuman kuat. Kelopak mata terbuka luas. Tanpa lengah dia berlari masuk ke dalam tanpa menunggu reaksi daripada Arif dan Keth.

Dua pasang mata yang menyaksikan refleks daripada gadis itu pantas mengatur langkah yang sama. Ruang masuk utama yang sudah dibuka luas dek Avianna turut dicerobohi mereka. Meligas mereka mencari punca.

Hairi yang tercungap-cungap mengilas tangan 78 ke belakang menoleh ke sisi apabila ada tetamu lain pula yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya. Tiga pasang masa bertembung dengan pandangan Hairi.

Diam.

"Nah ni...." Ria yang baru sampai turut kaget dengan kehadiran tiga orang insan di hadapannya itu. Ayat dia yang tergantung disambung dengan nada rendah, "Tali."

Objek yang dipegangnya diserahkan kepada lelaki itu. Kening digarunya ralat tetapi langkah tetap dibawa mendekati tetamunya yang baru sahaja sampai.

"Alamak! Maaflah rumah bersepah. Tak apa masuklah dulu. Buat macam rumah sendiri. Biar Ria kemas dulu ruang tamu," ujarnya lembut seperti selalu.

Arif sudah menurunkan rahang bawahnya untuk bersuara tetapi tiada suara yang tersangkut untuk dibawa keluar. Akhirnya dia tutup semula mulut. Terkejut dengan kehadiran 78 di situ.

Anak mata Keth tanpa sedar dah kelam hilang sinar cahaya apabila terpandangkan kehadiran 78 di situ.

78 yang dikunci pergerakannya hanya mampu ketawa. Pandangan Avianna yang jatuh pada orang-orang kanan 78 yang tidak sedarkan diri di atas lantai kini melirik pandang ke arah lelaki botak berbadan sasa itu.

"Aku tak sangka mantan-mantan Puak Gagak Hitam masih berhubung. Kau masih sama macam dulu 88, berbisa."

Masing-masing menala pandang ke arah Hairi pula. Menunggu reaksi lelaki itu. Dialah 88 yang dimaksudkan.

"Aku anggap itu pujian. Kalau dulu kita ibarat kembar tapi maaf, kau boleh cari nahas dengan aku tapi bukan dengan keluarga aku." Ria tersenyum lebar dengan patah-patah kata yang masuk ke corong telinganya. Hati terasa berbunga apabila terasa dirinya dilindungi. Avianna menjeling Ria di sebelah yang dah angau benar dengan Hairi. Dia menggelengkan kepala.

"Apa yang kau nak daripada Farid?" suara Keth dingin.

"Jawapan tu tak ada pada aku."

Masing-masing tersentak. Mereka tahu 78 separuh mati mencari Farid dan hari ini dia menyatakan dia mengejar lelaki itu tanpa tujuan yang jelas. Semua terdiam.

"Jadi kau buat semua ni membuta tuli atas arahan ketua kau?" soal Hairi. Dia tahu bagaimana 78 bekerja. Dia bukan jenis orang yang bekerja untuk suka-suka. Pasti ada perkara tersirat yang mereka tidak ketahui.

"Sulit," jawab 78 sepatah.

"Siapa ketua kau sekarang?" tanya Keth.

"Sulit."

"Siapa lagi selain kau yang diarahkan untuk mencari Farid?"

"Sulit."

Rahang Avianna bergerak-gerak menahan marah. Dia berjalan selamba seolah tiada apa yang difikirkan sebelum penumbuknya dengan sekelip mata dihadiahkan ke pipi lelaki itu. Pandangan 78 langsung jadi berbalam sebelum bertukar kelam.

Empat pasang mata di situ terkebil-kebil memandang Avianna yang masih memandang lurus ke arah 78 yang tidak sedarkan diri. Nafas ditariknya dalam sebelum dia mengalihkan badan untuk menghadap setiap satu insan di situ.

"Aku tak kenal siapa budak bernama Farid tu tapi panggil dia keluar sekarang. 78 dan anak-anak buah dia ni campakkan masuk tempat lain. Pastikan berkunci," arah Avianna.

Walaupun arahannya jelas. Masing-masing masih terpaku.

"Sekarang!" jerkahnya mengejutkan semua yang ada di situ.




Farid pandang Keth tak lepas apabila disoal tentang rahsia yang disimpannya. Sehingga mengundang bahaya pada dia dan Iman. Hanya melalui lirikan mata Farid, Keth akhirnya tahu rahsia apa yang disimpannya. Di saat itu kepala dia menggeleng kecil sebelum tertunduk memandang kaki dengan tangan bersilang ke dada.

Tiada siapa pun yang perasan akan perubahan riak di wajah Keth kerana terlalu fokus dengan jawapan yang bakal diberikan Farid.

"Mereka cari aksara yang terakhir," balasnya rendah. Kesal kerana tidak mampu menyembunyikan rahsia itu lagi walaupun dia telah diamanahkan untuk membuka suara.

Arif mengerutkan dahi. Giat dia menggeledah ruang memori kerana dia pernah dengar tentang perkataan itu tetapi langsung tidak diingatinya.

"Jadi kau tahu aksara ni apa dan di mana?"

Farid mengetap bibir. Jalinan jemari kiri dan kanan ditekannya kuat. Lama dia berdiam sebelum akhirnya disambut dek suara lain, membantu memberi jawapan.

"Benda tu ada pada aku," selamba Keth bersuara. Lipat maut Arif memandang sahabat disebelahnya.

Bungkam.

"Tugas kau dah selesai Farid. Terima kasih," ucap Keth tanpa mempedulikan mata-mata yang hampir terkeluar daripada kelopak mata memandangnya gara-gara terkejut.

"Apa maksud kau benda tu ada pada kau?" Hairi mengerutkan dahi.

Keth tarik senyum segaris dengan rasa yang berbaur. "Antara bukti dan panduan terakhir yang wujud dekat muka bumi. Apa-apa yang dicari mereka tu ada pada aku." Nafas ditariknya dalam sebelum dia membuka bicara lagi, "Nama sebenarnya bukan aksara tapi dipanggil dengan panggilan tersebut untuk mengaburi pandangan jahat mereka-mereka yang mencari."

Sejujurnya semua yang ada di situ tidak dapat mencerna maksud yang cuba disampaikan Keth. Seolah-olah mereka sedang bercakap dengan frekuensi yang berbeza.

"Macam mana aksara tu boleh ada dalam tangan kau?" soal Avianna dengan riak serius.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang