Bab 22

48 9 3
                                    

Atas dasar hormat. Keth bawa juga langkah mengikuti lelaki yang mengaku telah membelinya. Kalau diikutkan, tak ada masalah pun kalau dia memberontak dan menumbuk lelaki itu sehingga pengsan. Tapi yang bermasalah bukanlah lelaki asing itu. Sebaliknya, Arif.

"Pak cik," seru Keth sambil berpeluk tubuh. Dia hanya memandang sepi ke arah muncung kasut yang masih tetap menyusun langkah untuk mara.

Lelaki di hadapannya berpaling dengan pandangan yang tertanya-tanya.

"Boleh saya tahu berapa 'tuan' saya jual saya dekat pak cik?"

Langkah dimatikan. Jelas kelihatan mimik ragu-ragu lelaki itu sedang mencongak sesuatu. Barangan yang dijualnya tadi telah ditinggalkan kepada pembeli jadi tiada apapun yang tertinggal untuk Keth bawa.

Lama dia berjeda sebelum akhirnya dia bersuara, "Pak cik tak bayar pun. Dia kata percuma."

Terbeliak mata Keth mendengar pengakuan yang tidak dijangkakan itu. Penumbuk dikepalnya geram. Gigi berdecit dek berlaga antara satu sama lain. Kepala terasa berasap mendengarkan pengakuan lelaki asing di hadapannya.

'Rupanya dia sedekah je aku dekat lelaki ni? Tak bertamadun kau, Arif. Siap kau kalau kau lalu depan aku lagi. Memang aku akan tanam kau hidup-hidup.'

"Hah! Tunggu bidadari jatuh dari langit ke baru nak berjalan? Cepat! Kita ada banyak kerja lain ni."

Laungan lelaki tersebut dari kejauhan menyentakkan Keth kembali ke realiti. Keluhan berat dilepaskan sebelum kaki dipaksanya untuk berjalan. Sekarang dia perlu perah otak macam mana nak lari daripada situasi tersebut dalam keadaan berhemah.

Dalam diam lelaki yang bergelar tuan kepada Keth itu menarik senyum. Ketawanya hampir meletus tetapi dapat ditahan supaya lakonannya tidak tertangkap.

'Nasib kaulah Keth. Ni balasan sebab dah menghuru-harakan kehidupan aku,' desis lelaki itu sambil memeluk tubuh. Dia melanjutkan perjalanan dengan hati yang teruja sedang Keth pula mendung persis diekori awan hitam di atas kepalanya.





Sungguhlah mahu dipelangkungnya kepala Si Arif tu tetapi Amy hanya mendengus sebelum dia duduk di atas bangkunya dengan kasar. Helang yang dibawa bersama di dalam hudnya dikeluarkan sebelum diletakkan di atas meja.

Arif mengerling tindak-tanduk Amy sebelum dia berhenti untuk memandang figura haiwan tersebut.

"Ni baka apa? Helang bukan besar ke?" tanya Arif penuh minat.

"Entah. Masa aku jumpa dia dulu pun dia dah nyawa-nyawa ikan tapi sekarang tengoklah."

Amy menongkat dagu. Pergerakan burung tersebut yang nampaknya senang hati benar dapat makan diperhatikan mereka berdua.

"Mungkin sebab dia kecil keluarga dia tak nak dekat dia? Aku cuma sokong dia sikit je untuk teruskan hidup, selebihnya daya dia sendiri."

Arif terkaku melihat senyuman Amy. Sepanjang pertembungan mereka. Belum pernah lagi Amy tersenyum seikhlas itu.

"Dia kecil, tak kuat dan tak ada keistimewaan pun tapi semangat dia besar. Itu yang aku suka. Kita tak perlu ada keistimewaan pun untuk jadi istimewa. Ada sebab kenapa kita dijadikan kita dan bukan orang lain." Kali ini Amy mengilas pandang ke arah Arif yang terdiam daripada tadi.

Rasa was-was Arif untuk terus berada di samping Amy sedikit sebanyak mengendur. Panahan mata dihalakan ke arah makhluk tersebut. Kepak yang berbalut tak menghentikan burung itu untuk bergantung pada kaki yang dia ada.

"Aku tak tahu tentang apa tapi kau 'jual' Keth sebab kau rasa sebal dengan dia, kan? Aku tahu kau tak perasan perkara ni tapi jauh di sudut hati kau kehadiran Keth sebenarnya penting untuk kau, Arif."

Amy tidak mengharapkan jawapan daripada soalannya tadi. Jadi dia putuskan kata sebelum menunduk untuk menjamah makanan di depan mata. Kata-kata Amy sedikit sebanyak menjentik Arif untuk berfikir lebih jauh.





Mentari kelihatannya makin tenggelam dari dada langit. Namun Shah menjulang tapak tangannya ke atas, menghalang biasan sisa mentari daripada menyilaukan mata. Dia tidak sedar untuk berapa lama dia diangkut di dalam sangkar besi itu. Bajunya terkoyak di merata tempat. Wajahnya pula comot dengan segala kotoran tanah dan abu. Rambut juga kelihatan tidak terurus seperti seorang hamba. Sisa air mata terasa bergetang di pipi.

Bunyi huru-hara di tempat itu menyebabkan nafas Shah yang tadinya tenang kembali berombak laju. Dia membantingkan sisi badan ke jeriji besi sebagai tanda memberontak.

"Apa yang kau nak buat dengan aku?" Shah menyinga. Mata putihnya memerah dek kemarahan yang memuncak.

Shaun menoleh ke belakang apabila mendengar satu suara yang sayup-sayup singgah ke pendengarannya. Kelibat orang bawahannya yang bergelut menstabilkan sangkar tersebut agar tidak terbalik menarik perhatiannya. Perlahan-lahan Shaun mengatur langkah ke arah tersebut. Apabila tubuhnya mula menampakkan bayang di ekor mata Shah.

Jari telunjuk dan jari hantu diangkatnya lurus sebelum dihayunkan ke kanan, memberi isyarat agar tiga orang bawahannya tidak lagi memegang palang besi sangkar tersebut. Terlepas sahaja tangan mereka, sangkar tersebut terbalik sembilan puluh darjah.

Berpasang-pasang mata hanya memandang tubuh Shah yang turut terhempas mengikut graviti bumi. Kudratnya hampir habis melawan manusia-manusia gila di situ.

Shah memandang Shaun dengan pandangan yang membara. Lengannya yang ditongkat sebagai penahan daripada jatuh tadi terasa sakit.

Dia sudah terbiasa menerima pandangan sedemikian, jadi Shaun hakikatnya tidak lagi peduli. Itu bukan kali pertama dia dibenci.

Tapak kasut dihentakkan ke salah satu palang besi yang berada berhampiran dengan muncung kakinya. Belakang badan dibongkokkan sedikit dengan kedua-dua belah tangan yang dimasukkan ke dalam poket seluar. Shaun memandang lelaki di dalam sangkar itu tanpa perasaan.

"Aku ada berita baik dan buruk untuk kau. Berita baiknya kau akan ada masa sikit lagi untuk hidup sebab kau orang yang terakhir akan kami bakar hari ni dan berita buruknya adalah... kau tetap akan mati," ucapnya selamba dengan nada yang sekata.

Rahang Shah terlihat jelas sedang menahan segala gelodak rasa di dalam dadanya.

Shaun memejamcelikkan kelopak matanya apabila pandangan Shah masih tertala tajam ke arahnya seolah-olah mahu membunuh. Dia melepaskan keluhan berat. Tak cukup baik ke nada suara dia tadi?

"Okay dengar sini, kau tahu apa yang akan jadi dengan diri kau dan aku tahu apa yang aku akan buat dengan kau. Jadi... damai?"

"Shaun," panggil seseorang dari arah belakang.

Dia berpaling sebelum memandang orang yang berpakaian sama seperti dia melangkah ke arahnya. Semua orang yang ada di situ kecuali tahanan memakai pakaian keselamatan dan topeng yang sama jadi bagaimana mereka mahu mengenal identiti satu sama lain?

Shaun mengerutkan dahi sebelum mencuba nasib. "Qaym?"

"Aku dah cakap tak ada keperluan untuk berkomunikasi dengan tahanan, kan?"

Bingo!

Dalam ramai-ramai orang di dalam kampung tersebut hanya Qaym yang ada perangai cuba mengawal semua benda tetapi pada masa yang sama dia tak pentingkan diri.

"Kaki aku naik kematu dah asyik berdiri dekat tempat yang sama. Yang aku dengar cuma suara orang menangis. Budak ni je yang menarik perhatian sebab macam kena rasuk."

Qaym mengangkat cangkulnya sebelum dikandarkan ke bahu. Dia memandang insan di hadapannya itu sekilas sebelum memandang ke arah insan yang berada di dalam sangkar di belakang Shaun.

Lambat-lambat dia datang menghampiri sebelum menjatuhkan cangkulnya betul-betul di hadapan pandangan Shah.

"Kau cuma perlu bagi kerjasama dan kami jamin kau akan 'pergi' dengan aman," ujar Qaym pula cuba berkompromi.

"Gila."

Pinggir bibir Qaym sedikit terangkat ke sisi. Sinis.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang