Bab 31

84 12 4
                                    

"Keth!" Jari telunjuk dan ibu jari yang menahan bawah dagu sedikit terlari dari posisi asal apabila disergah sedemikian.

Seraut wajah Rheza yang terpampang betul-betul di hadapan wajah, memaksa dia untuk membelakangkan sedikit kepala agar visualnya lebih jelas untuk melihat gerangan tersebut. Pandangan mata mereka bertembung antara satu sama lain.

Senggang masa yang terisi dengan kebisuan menyebabkan Rheza menarik satu langkah ke belakang. Dia melepaskan batuk, membetulkan anak tekak sebelum memulakan bicara apabila panggilannya tadi langsung tak ada gaya mahu disambut sahabat yang seorang itu.

"Kenapa?" soalnya. Tahu banyak benda yang bermain di fikiran lelaki itu.

Pandangan ditarik semula lantas ditebarkan ke hadapan. Raut wajahnya yang tenang diserikan dengan senyum senget di bibir.

Lautan luas yang berombak terkadang membentuk butir-butir kecil buih. Hempasan ombak di pesisiran pantai bernada indah di ruang auditori. Keth menarik nafas dalam sebelum dilepaskan.

"Macam mana kita nak tahu keputusan yang kita buat tu betul?"

Membuntang mata Rheza yang masih merenung insan yang duduk di sebelahnya itu. 'Encik Falsafah Kehidupan' meminta pendapatnya? Apa kucing tiba-tiba nak tumbuh tanduk ke esok?

Spontan belakang tapak tangan ditekapkan ke dahi Keth. Tangan sebelah lagi melekap elok pada dahinya sendiri. Membandingkan suhu. Kening hampir bercantum apabila tiada kelainan yang dapat dikesannya. Keth hanya memejamkan mata, membiarkan perlakuan sahabat karibnya itu.

"Kau serius ke dengan soalan kau tadi?" Tangan kembali dilurutkan ke bawah. Dia beralih posisi. Mengambil duduk betul-betul di hadapan Keth, memandang lelaki itu lebih dalam. Persis jawapan yang ditebaknya sendiri. Keth langsung tidak main-main dengan soalan yang diajukannya tadi.

Kepala disengetkan sedikit ke kanan, seolah-olah masih tidak percaya akan situasi yang dilaluinya itu. Lambat-lambat akhirnya dia pun balik semula ke posisi asal, duduk di sebelah Keth. Memandang hamparan air laut di hadapan mereka.

"Bila je pun kita pasti dengan keputusan yang kita buat. Kau tak boleh tidakkan yang kadang-kadang, keputusan yang kau nekad sekalipun kemudiannya akan timbul rasa ragu tu. Keputusan yang kau sangka betul tapi kau tak pasti. Dua elemen penting yang manusia ada untuk buat satu-satu keputusan adalah fikiran dan firasat atau dengan kata lainnya, akal dan hati."

"Jadi kita takkan pernah tahu bila kita buat sesuatu tu betul atau tidak?" senada suara Keth.

Rheza tersenyum, "Hakikatnya dalam hidup ni, bagi akulah kan. Tak ada keputusan yang betul atau salah. Semua orang nak ambil jalan yang betul tapi kita cenderung untuk ambil jalan yang sebaliknya. Kecundangnya kita bukan sebab keputusan yang kita ambil, tapi sebab reaksi kita dalam menerima kesan dari keputusan yang kita ambil tu."

Keth menekurkan kepala ke bawah sambil mengangguk.

"Kita tak boleh ubah masa silam tapi kita ada pilihan untuk bentuk masa hadapan. Fokus pada yang kau boleh ubah, sebab tu... jangan terlalu meratapi apa yang dah berlalu. Kau cuma kalah bila kau menyerah daripada terus usaha untuk jadi kuat."

Keth ketawa mendengar ucapan yang hadir daripada Rheza yang selalunya akan bertindak kebudak-budakkan di sekelilingnya.

"Suatu hari andai apa-apa terjadi. Aku mohon, jangan maafkan aku."

Rheza langsung tak dapat menangkap jelas ayat yang diucapkan Keth, gara-gara suara lelaki itu yang terlalu perlahan. Lipat maut dia berpaling, "Apa kau kata tadi?"

Keth angkat kening tinggi seolah-olah tidak memahami maksud yang cuba disampaikan. "Huh? Bila aku cakap apa-apa?"

Kelopak mata dikecilkan Rheza, meragui jawapan Keth tapi dia tidak mengambil pusing terlalu lama akan bisikan halus tadi. Lantas dia melupakan sahaja apa yang didengarinya.

"Kenapa tiba-tiba tanya aku soalan tu?"

"Ada benda yang aku sorokkan daripada pengetahuan kau, Rheza."

Lelaki itu mencebik seolah-olah jelek dengan ayat penyata itu. "Dan... itu benda baru untuk aku?" soalnya sarkastik.

Makin melebar sengihan Keth, tidak dapat menidakkan ayat perli yang disajikan tepat ke batang hidungnya.

"Apa pula kali ni?" sambung Rheza.

"Aku dah bertunang."

Dia yang duduk memeluk lutut sendiri hampir tumbang ke sisi apabila menerima berita mengejut itu. Sejak bila Keth jadi pelawak tanpa permit ni? Rheza ketawa hambar, mahu menunjukkan yang usaha Keth untuk bercanda dengannya itu langsung tidak berkesan.

Diam yang berlingkar memberi petanda kepada Keth yang Rheza langsung tidak mempercayainya. "Aku tak main-main."

Makin kelat wajah Rheza dibuatnya. Dahi berkerut seribu.

"Dengan siapa?"

"Urana."

Kali ini bukan setakat tergolek ke sisi. Dia terus bangkit berdiri. Anak mata memandang Keth tak lepas. Telunjuk diluruskan ke arah lelaki yang masih bersahaja duduknya langsung tidak terkutik saat membongkar rahsianya yang satu itu.

"Kau tipu." Kali ini Rheza memberi ayat penyata bukan lagi soalan persis di awal perbualan.

Dia menjangka reaksi tersebut daripada Rheza. Sepasang anak mata yang masih terhala menikam dari atas dilawannya. Dengan yakin Keth menggeleng, penat mahu melayan seribu satu keraguan Rheza terhadapnya.

Rahang Rheza terjatuh ke bawah. Terus beku dia di situ. Jemari kanan dan kiri dicantumkan di belakang kepala sebelum dia berjalan ke hulu ke hilir di hadapan Keth. Langsung tak dapat menghadam cerita tersebut. Habis beberapa pusingan dia bermundar-mandir, langkah tiba-tiba dimatikan.

"Bi... bila kau bertunang dengan si rambut hijau tu? Lepas kau tiba-tiba hilang?"

Keth menggeleng menidakkan. "Tak, sebelum aku berkenalan dengan kau lagi."

Terbeliak biji mata Rheza. Dalam kepala mencongak sesuatu dengan mulut yang terkumat-kamit dan jemari yang digerak-gerakkan membilang sesuatu.

Terpempan. "Kita berjumpa masa umur dua belas tahun. Kalau sebelum tu...." Fokus pada jari automatik kembali mencorot ke arah lelaki tersebut. "Mudanya kau bertunang!"

Tanpa rasa janggal, Keth mengangguk sebelum menjongketkan bahu. Baginya itu bukan sesuatu kejutan yang besar. "Aturan keluarga. Kami berdua ikutkan je."

"Sebab tu dia cari kau?" Yang kemudiaannya si sahabat dia yang menerima tempias kemurkaan Cik Tunang. Cuping telinga Rheza sedikit meruap kemerahan. Geram.

"Taklah."

"Habis tu?"

"Sebab aku nak putuskan pertunangan."

"Hah?"

Muka toya yang dizahirkan Keth langsung tak seiring dengan kejutan demi kejutan yang dihadiahkan kepadanya.

"Kau gila?" Mananya tak gila. Urana tu bukannya calang-calang perempuan. Kalau katanya mahu dipancung si sahabat yang seorang itu. Maka mutlaklah arahannya.

Keth menggaru pelipis yang tidak gatal. "Mungkin. Tapi masa kami bertunang dulu pun sebab kami sama-sama setuju untuk ikut aturan keluarga memandangkan kami pun tak fikir panjang sangat masa tu."

"Habis tu sekarang ni bahagian mana yang tunjukkan kau berfikir panjang?"

Panik Rheza bukan kepalang. Risaunya pada Keth dah terasa mahu tercabut sahaja jantungnya itu.

"Kami dah tak ada ahli keluarga. Jadi tak banyak pihak yang perlu difikirkan. Kalau aku jadi pasangan dia. Automatik aku akan pegang tampuk pemerintahan. Aku tak nak," jelasnya.

"Apa maksud kau tak nak? Peluang tu. Kau ingat senang terus masuk barisan jadi pemerintah?"

"Aku tak nak kotorkan tangan aku dengan mengambil hak orang lain."

Kerutan di dahi Rheza kian bertambah. Langsung tidak dapat meneka hala tuju perbualan mereka. Keth memeluk lutut makin erat ke dada sebelum melepaskan keluhan berat.

"Takhta yang dia duduk sekarang, bukan hak dia." 

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang