Bab 35

15 2 3
                                    

Pedal break ditekan tapak kasut sebelum brek tangan ditarik. Hud atas kepala yang sedikit senget dek deruan angin yang menampar wajah tadi dibetulkan.

Arif tercengang melihat suasana sekeliling. Pertama, perjalanan mereka tidak selama yang dia congak. Kedua, suasana perhentian mereka ini langsung tak nampak macam mereka berada di tempat yang dia jangka mereka akan jejak.

Jangankan Arif. Shah yang dah memang membatu di tempat duduk belakang jadi bertambah-tambah kejung dek menyangka dia sebenarnya diculik.

"Ini..."

"Bukan," tingkah Amy. Selamba dia melompat turun dari jip lantas meregangkan otot yang terasa sengal. Udara dihirup dalam. Segar.

Amy mendongak langit mencari teman kesayangannya.

"Kita dekat mana?" Shah melangkah turun apabila Arif juga berbuat demikian.

"Sungai Cherating, Pahang."

Rahang Arif dan Shah serentak jatuh ke bawah. Destinasi mereka bukan Pahang, jadi tentu-tentunya mereka kaget dengan berita yang baru sahaja diterima. Amy mengendahkan mereka berdua. Dia hanya menapak mengikut satu jalan yang menyusur lurus.

"Kita buat apa dekat sini? Kita kena pergi tempat yang kau cakapkan tu kalau tidak... Aya...." Derap Amy terhenti gara-gara terganggu dek kata-kata Shah yang dia tahu bakal dihalakan ke mana.

Anak mata mengerling Arif sekilas. Dia tahu lelaki itu juga mendengar. Tak lama kemudian dia pandang Shah semula.

"Dengar. Misi kita bukan setakat selamatkan Aya. Keluar daripada situ hidup-hidup juga adalah sebahagian daripada rancangan. Memandangkan kalian berdua tak tahu musuh apa yang kita bakal lawan nanti. Biar aku bagitahu hakikat ni. Kebarangkalian misi kita akan berjaya cuma 20%. Kita ke sini untuk naikkan kebarangkalian tu. Kita perlukan 'barang'."

Dahi masing-masing berkerut memandang belakang badan Amy yang dah mula menjauh. Akhirnya Shah dan Arif mengekor sahaja dari arah belakang.

"Kau tahu tempat ni, Shah?" Tangan yang bersulam dibawa ke belakang kepala. Mata mengerling sekilas ke arah insan di sisinya.

Kepala dipanggung turut menyambut pandangan mata Arif. Teragak-agak Shah menggeleng. Masih terasa janggal untuk berada di samping Arif dan Amy.

"Terima kasih," ucapnya ikhlas sebelum melarikan pandangan.

Faham akan gaya bahasa tubuh Shah, Arif akhirnya hanya menarik senyum secebis. Kolar tinggi di leher ditarik naik menutupi separuh wajah.

"Aku faham nilai keluarga tu lebih daripada orang lain jadi tak perlu berterima kasih pada aku," balasnya bersahaja.

Sayu. Itu nada yang dia dapat kesan dari suara Arif cuma anehnya semua menuding jari mengatakan dia yang membunuh ahli keluarganya. Jadi kenapa...

Derap perlahan diorak lantas diberhentikan. Arif juga turut terberhenti. Insan yang dilepasinya dipandang seolah-olah menunggu penjelasan.

"Mungkin aku tak layak ajukan soalan ni tapi boleh aku tahu macam mana..."

"Aku bunuh keluarga aku?" sambut Arif seolah-olah tidak terkesan sedikit pun.

Lambat-lambat Shah mengangguk. Arif tarik pinggir bibir seraya berpaling semula ke hadapan untuk menyambung langkah. Pahit sejujurnya untuk digali semula kisah silamnya tapi apalah sangat masa lalu itu dari realiti masa depan.

"Kau tahu Puak Gagak Hitam?"

Shah mengangguk mengiakan. Langkahnya turut dibawa seiring dengan Arif.

"Sistem nombor sebagai nama itu memang mengikut kekuatan ahli kecuali... angka satu sampai sepuluh."

Shah mengerutkan dahi. "Jadi nombor sepuluh dan angka sebelumnya itu untuk apa?"

"Pengasas dan ahli keluarganya," balasnya sebaris. "Moyang aku pengasas Puak Gagak Hitam. Bersumpah untuk melindungi walau dalam gelap tapi tak ramai tahu akan sejarah ni sebab ianya sejarah lama. Sistem nombor pula diturunkan dari penama asal pada penama baru dan jika tak diturunkan, nombor tersebut tak boleh diguna pakai."

"Jadi keluarga kau mati sebelum sempat diberikan pada penama baru?"

"Betul." Ada rasa menyelit antara mahu meneruskan atau membiarkan ceritanya tergantung di situ. Tapi akhirnya dia memutuskan untuk meneruskan. "Keluarga aku ada sepuluh orang termasuk ibu dan ayah aku. Waktu tu plague ni belum terlalu serius. Biasanya yang terjangkit cuma gelandangan. Tapi entah macam mana waktu tu semua orang di tempat tinggal aku terkena plague termasuk ahli keluarga aku. "

Shah mendengar tekun cuba mencerna setiap patah perkataan.

"Dan sedihnya aku cuma tahu lepas aku balik dari luar kawasan. Yang aku nampak pada ketika itu cumalah kampung yang disinari terang api dan pagar berduri yang mengelilingi kawasan tersebut."

Melihatkan riak Arif yang jelas terkesan dengan penceritaannya sendiri. Shah tertunduk, kesal dengan soalannya yang melulu. "Aku minta maaf sebab tanya soal ni."

Arif tersentak. Shah di sebelah dipandang sebelum tawanya dihamburkan. Kelat.

"Tak apa. Mana ada orang yang tak ada masa lampau yang pedih. Cuma bagi aku kalau itu mungkin membawa perbezaan pada orang lain. Baiklah diceritakan."

"Jadi kau bukan penyebab mereka mati." Automatik Arif kaku di tempat dia berdiri. Sekali lagi Shah panik dengan keterlanjurannya sendiri. "Umm... Maksud aku..."

"Salah," balasnya seolah-olah balasan jawapannya itu terlalu senang untuk dijawab.

"Sebab waktu aku sampai mereka masih bernyawa. Cuma aku tak boleh buat apa sampai satu persatu berhenti beri respons. "

Terdiam Shah untuk seketika. tidak tahu mahu memberi komen yang bagaimana. Jadi yang Arif rasakan sekarang adalah rasa serba salah dan dia berada dalam keadaan menyalahkan diri sendiri atas ketiadaan dayanya untuk membantu.

"Kau tahu kan kita tak ada upaya untuk kawal hidup dan mati manusia?"

Senyum paksa yang terhias dari tadi langsung hilang. Cuma sebaris ayat daripada Shah dan dia lupa akan hakikat itu untuk sekian lamanya.

"Tak apa kalau kau nak rasa macam ni. Cuma pastikan pemergian mereka tak sia-sia. Aku pasti kalau mereka ada juga, mereka nak kau teruskan legasi yang mereka cuba bangunkan."

AksaraWhere stories live. Discover now