Bab 17

35 10 0
                                    

Gema lagu yang terpantul di segenap penjuru kini tidak lagi terdengar di halwa telinga. Suasana di dalam bilik tersebut seolah-olah tanah perkuburan sunyinya. Urana kelihatan tenang duduk dengan gayanya yang tersendiri di atas sofa. Kaki disilangkan sebelum dia mencapai cawan di atas meja. Tenang dia menoleh ke kiri.

Liur ditelan Rheza kelat masuk ke kerongkong. Bibir dikemam rapat apabila dua pasang mata jatuh tepat pada wajahnya. Aura Aida yang sememangnya dah gaya mahu membunuh orang membuatkan Rheza menikus tidak berani bersuara.

"Maafkan beta kerana menceroboh tempat kamu," ujarnya dengan mata tertutup. Cawan yang dipegang masih tergawang di hadapan muka.

Rheza sungguhlah rasa mahu menangis di ketika itu saat perkataan 'beta' terbit dari bibir merah penaung kepulauan Borneo itu.

Kening kiri dijongket Aida ke atas apabila pemilik kelab yang mereka ceroboh itu tidak membalas ucapan ratunya. Sedar akan tenungan tajam yang tertala ke arah dia, Rheza menarik nafas dalam.

Sesaat kemudian dihelanya nafas tersebut perlahan. "T ... tak apa, tuanku."

Suasana ralat tersebut masih tidak bertukar santai. Sisi wajah Urana dipandang Rheza apabila kepala wanita tersebut masih terselindung di sebalik penutup kepala yang diangkat tadinya, menutup belakang kepala. Perlahan-lahan visual pandangannya turun ke bawah mengamati pakaian insan di hadapannya itu.

Keningnya kiri dan kanan hampir bercantum. Pemakaian yang dipakai Urana langsung tidak ada menggambarkan sisi kebudayaan kepulauan Borneo seperti cik pengawal yang seorang lagi. Apabila anak matanya mahu naik usai mengamati kasut Urana. Bilah tajam tertusuk tepat ke dinding kalis bunyi di dalam bilik tersebut, betul-betul di hadapan muncung hidungnya yang tidak berapa mancung.

"Aida ...," tegur Urana. Namun langsung tidak melunturkan mimik wajah gadis tersebut. Sebaliknya dia menghadiahkan jegilan maut buat Rheza apabila pandangan mereka bertembung.

Lelaki itu menjelirkan lidah sebelum cepat-cepat memfokuskan pandangannya ke arah orang penting yang melabuh duduk di sebelahnya.

"Tahu kenapa beta ada di sini?" tanya dia kepada lelaki itu. Gelengan diberikan Rheza sebagai jawapan tetapi apabila dia perasan kelopak mata wanita tersebut langsung tidak terkutik untuk dibuka, melihatnya. Dia lantas menjatuhkan rahang bawah untuk bersuara.

Belum sempat dia menafikan. Urana terlebih dahulu bersuara sekali lagi, "Beta mencari seseorang yang beta ingatkan di sini seperti yang dikhabarkan tetapi ...."

Rheza terasa mahu menghentuk kepalanya sendiri ke dinding apabila teringat topeng wajah yang telah selamat masuk ke alam lain. Bibir dikemamnya lagi.

Aida yang berdiri bertentangan dua orang insan di hadapannya hanya menyilangkan tangan ke dada. Dengusan dilepaskannya sebelum dia menundukkan pandangan. Belakang badannya masih melekat pada muka dinding yang lembutnya seperti kain.

"Untuk apa tuanku cari Keth?" soalnya tertanya-tanya langsung tidak dapat menebak kenapa.

"Apa hubungan kamu dengan dia?" Terkebil-kebil Rheza apabila soalannya didominasi dengan soalan lain.

"Errr ...."

Di dalam kepala dia mengira-ngira potensi sisi ratu itu di dalam kehidupan Keth. Sisi yang baik atau jahat? Tapi kebanyakan yang kejar si Keth tu jahat-jahat belaka.

"Beta tahu dia tak punya ramai sahabat tapi jika persahabatan itu terjalin antara dia dan seseorang. Maknanya persahabatan kamu ada nilai di sisi dia."

Rheza tersentak dengan pernyataan yang diberikan Urana.




Pergerakan helang yang belum sempat menjentik refleks ekor matanya terlebih dahulu mencalarkan sisi wajah Ael. Bahagian kulit di sebelah mata kanan yang langsung tidak pernah tersagat dek tangan manusia kini dinoda kuku helang. Meninggalkan kesan berbekas panjang sebelum cecair merah itu menitik jatuh ke lantai bumi.

Terkedu dengan apa yang terjadi, dia terkaku untuk seketika. Posisinya di dalam keadaan bersedia untuk berlawan kini dilonggarkan. Jari telunjuk naik mengesat bahagian wajah yang terasa menyengat sakitnya.

Darah yang melekat pada hujung jari dipandang dia sekilas sebelum dia angkat pandang tepat ke arah Amy yang dadanya turun naik memandang ke arahnya tajam.

Fail yang dijumpai di atas meja Ael tadi dikeluarkan daripada jaket bajunya sebelum dilemparkan ke tanah. Melorot Ael memandang fail yang tersadai di hujung kasutnya. Tepat di ketika itu dia akhirnya faham apa yang bermain di benak insan yang suatu ketika dahulu dianggapnya sebagai sekutu.

"Beritahu aku itu apa, kalau kau nak aku lepaskan kau."

Hujung bibir kanan tersungging naik. Sinis. Bahunya terhinjut-hinjut melepaskan tawa perlahan yang bergema rendah. Jari manis lelaki itu naik pula menggaru kening kanannya yang tiba-tiba terasa gatal.

"Kau? Lepaskan aku?" tanya Ael seolah-olah mencabar walaupun hakikatnya dia terasa geli hati dengan ugutan yang diberikan Amy kepadanya.

Kelopak mata dikecilkan Amy geram. Penumbuk digenggam erat menahan rasa marah yang menyelinap masuk ke dalam sanubarinya.

"Jadi aku masih termasuk senarai buruan mereka?"

Tanpa menghiraukan lukanya yang masih terasa sakit, tangan kanan dibawanya ke sisi mencekak pinggang. Dia melepaskan keluhan kerana terasa seperti terpaksa melayan karenah remaja yang memberontak. "Untuk apa aku buang masa buru kau?"

'Kau dah pun ada dalam genggaman kami. Cuma kau yang belum sedar akan hakikat tersebut,' desisnya di dalam hati. Pada masa yang sama dia cuba menahan segaris senyum yang hampir terzahir di muka.

"Kau janji dengan aku, Ael!"

"Sejak bila kau percaya pada janji manusia, Amy? Hampir seumur hidup kau bergelumang dalam penipuan. Wujud lagi istilah 'percaya' dan 'janji' dalam kamus hidup kau, ya?"

Geraham diketap kuat. Terserlah tegangnya otot di bahagian pipinya.

Ael yang masih kelihatan santai memandang insan di hadapannya dengan pandangan redup. Menunggu Amy supaya kembali bertenang seperti biasa.

Dua bayang-bayang yang cuba bangun dibelakang Amy menyebabkan Ael lebih peka dengan keadaan sekeliling. Sebelah kaki dilabuhkannya setapak ke hadapan, meninggikan stabiliti posisi badan. Dia tak ada masa mahu memujuk Amy supaya kembali bertenang. Nampak gayanya sedatif yang digunakan terhadap dua orang tawanannya itu telahpun hilang kesannya. Keadaan akan jadi semakin rumit.

Keth dan Arif yang masih di dalam proses memulihkan diri sendiri, bangun untuk menapak pergi seperti yang dibisikkan Amy kepada mereka tadi. Kepala masing-masing masih lagi pening dek kesan sedatif yang entah bila disuntik Ael masuk ke dalam badan mereka.

"Eh ... eh ... yang dua orang dekat belakang tu. Aku tak sarankan untuk pergi macam tu je. Apa kata datang pada aku sekarang? Aku tak nak rumitkan keadaan yang dah sedia rumit ni," ujar Ael apabila dapat menangkap pergerakan Keth dan Arif.

Derap langkah masing-masing menjadi pegun. Tenang Amy melangkah ke hadapan, menghalang pandangan Ael yang tidak lagi dihalakan ke arahnya.

"Langkah mayat aku dulu," cabarnya membuatkan Ael tersenyum.

"Aku cuba untuk menyenangkan keadaan. Terutamanya situasi kau, Amy. Tapi ...." ayatnya dibiar tergantung sebelum jaket luar yang menutupi tank top tidak berlengan yang dipakai kini dibuka. Sebelah tangan didepa sebelum genggaman dilepaskan menyebabkan jaket yang dipegang akhirnya melayang jatuh ke tanah. Anak mata tajam memandang tepat ke hadapan. 

"Kalau kau nak cara susah. Kita buat cara susah."

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang