Bab 24

38 9 1
                                    

Berpasang-pasang mata tertala ke arah mereka berdua. Sinar mata putih yang pada asalnya kelihatan mesra kini bertukar serius. Berdasarkan daripada pemakaian Amy dan Arif sahaja. Mereka masing-masing tahu yang insan berdua itu bukanlah berasal daripada situ.

Amy sedikit tercengang melihat beberapa manusia di hadapannya yang tidak dapat dikenalpasti jantina mereka gara-gara pemakaian yang sama. Persis lelaki-lelaki yang mereka berdua lihat tadi, kelompok manusia di situ juga memakai topeng muka yang serupa.

"Orang asing tak sepatutnya berada di sini."

Mata hitam Arif yang tertala ke arah seorang insan di dalam kurungan besi untuk beberapa ketika kembali dihalakan ke arah kelompok manusia yang tidak dia kenali.

"Yang mati akan mati, jadi kenapa perlu ambil kerja Tuhan?"

Soalan Arif yang kedengaran dingin di halwa telinga Amy menyebabkan dia lipat maut memandang sekujur tubuh yang berdiri di sebelahnya. Seakan-akan pelik melihatkan pemuda itu tenang untuk berhadapan dengan penduduk kampung yang mungkin merusuh.

Salah seorang daripada mereka berjalan mara. Tatkala kakinya lurus beberapa depa di hadapan Arif dan Amy, dia berpaling sedikit ke sisi. "Aku penat, aku nak balik. Kalian selesaikan budak terakhir tu. Aku selesaikan budak yang suka jaga tepi kain orang lain depan aku ni."

"Tch! Budak?" Saat itu geraham Arif ditekan kuat. Ekor matanya mengekori insan di dalam sangkar yang turut merenung ke arahnya. Anehnya lelaki itu tidak memandangnya dengan pandangan yag mengharap agar diselamatkan sebaliknya... kosong.

"Shaun. Apa nama kau?" soal lelaki tersebut memperkenalkan diri sendiri.

Amy mengerutkan dahi. Bagi seseorang yang memang buta hati membunuh orang lain tanpa rasa, memperkenalkan nama sendiri bukanlah perkara normal yang dia biasa lihat. "Mamat ni serius ke?"

Soalan Amy dibiarkan Arif tidak berjawab. Dua pasang mata terarah tepat ke arahnya kini walaupun sepasang matanya hanya fokus ke arah Shaun.

Disebabkan tiada sebarang tindakbalas yang diterimanya. Shaun akhirnya kembali bersuara, "Kau patut bersyukur Qay tak ada dekat sini. Kalau tidak kau dah dapat kubur sendiri secara percuma."

"Saranan aku sekarang. Kalian berdua baliklah dan berdoa sepanjang keberadaan kalian di sini... di masa hadapan kelak tak ada sesiapa yang menderita sebab bertembung dengan kalian berdua."

"Budak tu takkan jadi pembawa," jawapan yang diberikan Arif seseolah tidak tercerna di dalam kepada Shaun dan Amy.

Shaun menoleh sekilas ke belakang, memandang ke arah sangkar besi yang menempatkan Shah sebelum kembali memandang Arif. Riak di sebalik topeng yang sedikit terkejut langsung tidak dapat dibaca oleh insan-insan di hadapannya itu.

Hujung lidahnya dikeluarkan sedikit untuk membasahkan bibir.

"Apa maksud kau?"

"Kau dan semua orang suruhan kau. Kalian masing-masing tak tahu apa yang kalian sedang lawan sekarang."

"Dan kau tahu?" duga Shaun.

Amy yang seolah-olah terpinggir daripada perbualan mereka berdua hanya mampu berpeluk tubuh. Jelas dia bukan ancaman di mata lelaki bertopeng di hadapannya itu. Mungkin kerana saiz tubuhnya yang sedikit kecil daripada mereka berdua. Dalam diam kepalanya dah berasap kegeraman.

Kawasan tempat dia berdiri yang sedikit terlindung dek bayang-bayang bangunan, menjadikan suasana lebih kelam daripada kebiasaan. Dalam diam dia menarik tapak ke belakang tanpa menghasilkan sebarang bunyi.

"Aku tahu."

Balasan kata yang diberikan Arif menyebabkan Shaun tersentak. Setahunya hanya puak gagak hitam yang tahu akan perihal tersebut. Melainkan... "Kau ahli gagak hitam?"

"Mantan."

Shaun mengangguk. Jawapan Arif agak masuk dek akal kerana kalau dia masih ahli gagak hitam. Dia pasti tahu akan arahan yang diberikan mereka dan jika dia tiada kena mengena dengan puak tersebut pasti dia tidak setenang itu untuk menghadapi situasi di hadapan mereka.

"Suasana sama. Tapi aku tak sangka kali ni puak keji tu ambil pendekatan yang lebih agresif." Bunyi api yang membakar diiringi dengan bau daging terbakar mencucuk-cucuk pancaindera Arif.

Shaun memandang lurus, bersahaja dia cuba mengamati mimik wajah Arif yang kelihatan tenang tidak berkocak. Namun, di saat itu dia tersedar akan kesilapannya sendiri apabila ekor matanya tidak lagi menangkap kelibat Amy di sebelah Arif.

Perasan akan pertahanan Shaun yang sedikit goyah. Di saat itu Arif mengetatkan genggaman lantas menumbuk bawah dagu lelaki di hadapannya.

Gara-gara tidak menyedari serangan yang tidak tersangka tu. Shaun terpaksa akur untuk menerimanya apabila dia sedar dia tidak mampu mengelak daripada menerima serangan tersebut. Otot kaki ditegangkan, menahan keseimbangan badan agar tidak terjatuh. Berdesing kepalanya dirasakan ketika itu.

Arif menarik kaki kirinya ke hadapan. Tangan diturunkan ke sisi sedang dagu diangkatnya sedikit tanpa menunjukkan sedikitpun kelemahan dirinya pada ketika itu.

Shaun ketawa sinis sebelum berhenti secara tiba-tiba. Tangan kanan diangkat, mencabut keluar topeng yang dipakai lalu mencampakkannya ke tanah. Darah yang keluar daripada celahan gigi diludah ke tepi. Rambut hadapan yang melekat di dahi menunjukkan bahawa lelaki itu bermandi peluh di dalam sutnya semata-mata mahu menyelesaikan tugas yang diamanahkan.

Buat kali pertama wajah sebenar lelaki itu terbias di kornea mata Arif. Wajah bujur sirih, berkulit cerah, hidung mancung dengan bentuk rahang yang tiada cela. Hujung bibir nipisnya tersungging naik ke atas sebagai tanda provokasi akan perbuatan yang diberikan Arif kepadanya.

Anak mata Arif ditikamnya tajam. Riak wajahnya yang ramah dari awal pertemuan mereka kini berubah seratus lapan puluh darjah. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia melibas Shaun menggunakan sabit miliknya tetapi pantas niatnya itu dihalang oleh egonya sendiri. Manakan mungkin dia mengalahkan seorang lelaki yang tidak bersenjata dengan senjatanya. Takkan ada kepuasan di sebalik kemenangan tersebut.

Dalam masing-masing bersabung pandang antara satu sama lain. Sarung tangan yang dipakai kini telah dibuka sebelum dia baling ke sisi, betul-betul berhampiran topeng yang dipakainya tadi. Shaun mengambil kesempatan untuk membuka satu persatu bahagian sut yang lain yang tersarung di tubuh. Akhirnya tubuh lelaki itu hanya tersarung dengan pakaian kasual yang biasa dipakainya. Hanya satu bahagian daripada sut yang dipakainya tadi dibiarkan berada di tubuh iaitu but berwarna coklat yang seberat hampir satu kilogram.

Urat-urat di badannya diregangkan tanpa menghiraukan Arif yang memandangnya tak lepas. Shaun melompat-lompat beberapa kali untuk membiasakan badannya tanpa sut berat yang telah dipakai hampir seminggu. Kepala didongakkan ke langit gelap. Dingin bayu malam dihirupnya dalam sebelum dihembus perlahan.

"Untuk kali terakhir aku tanya. Kau siapa?" ugut Shaun kali ini kedengaran lebih tegas.

"Siapa aku bukan urusan kau untuk tahu."

Shaun berdecit lantas meluru ke arah Arif. Dia mengacah mahu menumbuk Arif menggunakan tangan kiri namun pergerakannya dapat dibaca Arif dengan mudah menyebabkan lelaki itu menghadang serangan Shaun menggunakan tangannya kirinya. Sekelip mata Shaun menarik tangannya kembali sebelum menyepak rusuk kiri Arif yang terdedah.

Entah di mana silapnya, Arif akhirnya tersadai di atas tanah. Rusuk kiri dipegang dek rasa sakit yang terasa berbisa. Serentak dia melepaskan batuk yang dah bersatu dengan darah. Tekak terasa perit disebabkan batuk yang langsung tidak dapat dikawalnya.

Shaun bersiul sebelum memandang but yang tersarung di kaki. Tendangannya jadi kuat gara-gara berat but tersebut. Dia tersenyum melihat Arif yang dah terbongkok di atas tanah menahan sakit.

"Aku nasihatkan kau supaya tak bergerak banyak." Jemari direhatkan Shaun ke bawah dagu. "Sebab kemungkinan kecil aku dah terpatahkan tulang rusuk kau."

Melihatkan daya Arif yang kian menyusut gara-gara serangannya. Shaun mengambil kesempatan memandang sekeliling untuk mencari kelibat Amy. Alangkah terkejutnya dia apabila kelibat Amy dan Shah langsung tidak terjengah dek ruang mata. Bibir dikemam sebelum dia memecut ke arah anak-anak buahnya yang tersungkur tak sedarkan diri. Kepala dipanggung mencari kelibat mereka berdua namun hanya bunyi derap yang mengetuk gegendang telinganya.

Spontan Shaun berpaling ke belakang. Kelopak matanya membesar. "Kau..."

AksaraWhere stories live. Discover now