Gerbang besar yang tersergam depan mata dipandangnya dengan mata bulat. Sedang Keth pula masih lagi dengan lagak bersahaja. Kalau di semenanjung rupanya tak ubah seperti tanah gersang. Di sini pepohon yang hidup menyubur, galak menjulang langit. Sejuk dan tenang.
Kepala dikalih Rheza ke arah temannya yang satu itu dengan cerlungan tajam. "Jangan berani sebut tentang hal ini dekat sesiapa. Sepatah perkataan pun jangan."
Rahang yang bergerak-gerak dari tadi mungkin disangka Rheza bahawa Keth gementar untuk bertemu Urana tetapi hakikatnya pemuda itu sedang menahan tawa yang bila-bila sahaja mungkin terhambur. Dek kerana itu juga dia sehabis baik cuba mengelak daripada bertentang mata dengan insan yang menemaninya ke situ. Rheza betulkan kemeja dengan skirt labuh yang dipakainya, hujung rambut palsu yang bergulung dipintalnya menggunakan hujung jari membentuk dandan agar lebih kemas.
Rombongan yang akhirnya datang setelah beberapa jam menunggu di luar gerbang masuk menarik perhatian mereka berdua. Masing-masing berpaling ke arah yang sama.
"Selamat datang, kedatangan kalian amatlah dialu-alukan." Aida tunduk hormat dengan tangan kanan bersilang ke dada. Selang beberapa saat dia bangun dan pandangannya secara tidak sengaja terjatuh pada insan yang kelihatan... feminin.
Rheza menarik senyum lebar menayangkan riak mesra sebelum bersuara, "Hai... saya Rania."
Suara yang dibuat-buat mengeletek hati Keth. Tawa yang meletus diganti dengan batuk, hampir tercekik dia dibuatnya gara-gara menahan rasa ingin ketawa dan berpura-pura sakit tekak. Dia berdehem beberapa kali membetulkan suara sebelum mengangkat pandang ke arah Aida, kepala dianggukkan sekali sebagai tanda hormat.
"Jadi..." pedang yang tersisip di pinggang dihunus keluar dari sarung sebelum dipasakkannya ke tanah seolah-olah memberi amaran. "Cik Rania, maaf saya tak boleh benarkan penyamar masuk ke kawasan kami."
Terkebil-kebil Rheza memandang Aida. Dia jadi dilema seketika sama ada mahu kekal berlakon atau hentikannya. Nama Rania itu juga ditarik panjang juga oleh Aida tanda dia tahu identiti sebenarnya
Bahu Keth terhenjut-henjut cuba menahan tawa yang bersarang dalam dada. Pelipis ditekannya sedikit dengan hujung jari. Bendul temannya itu kadang-kadang memang tak dapat diselamatkan. Hela dilepaskan sebelum dia bersuara.
"Aku ada bagitahu kau yang Urana tahu aku nak datang, kan?"
Rheza pandang insan di sebelahnya dengan muka tak jumpa suis lampu.
Keth sambung lagi penerangan. "Kalau dia tahu aku nak datang walaupun aku tak bagitahu yang aku nak datang, macam mana dia boleh tak tahu kau nak datang?"
"...."
Rheza tak tahu mahu beri reaksi yang bagaimana. Tapi kata-kata Keth itu ada benarnya. Cuma yang dia tak boleh nak hadam adalah... "Macam mana dia tahu?"
Di saat itu riak Keth sedikit berubah. Bibir kelat menggaris senyum. "Dia dilahirkan dengan satu kelebihan."
"Kelebihan?"
"Dia boleh nampak masa depan atau masa lampau bila dia buka mata."
Bungkam.
Ikatan beg dikemaskan sebelum digalas ke belakang badan. Qaym dan Shaun hanya berpeluk tubuh memandang insan tiga orang yang dah bersiap mahu melangkah pergi. Amy terkadang termangu sendiri sama ada tindakannya betul ataupun tidak. Arif yang perasan menolak sikit bahu gadis itu.
Dia lantas toleh ke arah Arif dengan riak tertanya-tanya. "Ada apa?"
"Kau tak perlu pergi kalau tak nak," ucapnya sebelum menarik kolar menutup separuh wajahnya.
Gadis itu jongket kening kirinya tinggi.
"Sejahat-jahat aku ni. Tak adalah kejam sangat sampai nak biar kau dengan dia mati katak dekat tempat tu." Mata memandang ke arah Shah yang berada tidak jauh dari mereka.
Arif turut memandang ke arah yang sama. Memerhatikan tindak-tanduk Shah.
"Arif."
Kepala dipalingkan ke arah Amy apabila namanya diseru. "Hmm?"
"Aku takut," ucapnya jujur.
Kelopak mata Arif sedikit membesar. Terkejut dengan kata-kata Amy yang langsung dia tak jangka.
Nafas ditariknya dalam sebelum menyambung kata. "Kan aku dah cakap kau tak perlu pergi kalau tak nak."
Laju gadis itu menggeleng. Senyum tawar terhias di bibir.
"Aku bukan takut sebab aku kena kembali ke tempat tu sebab sejak dari awal aku tahu aku takkan bebas dari tempat tu. Cuma bila aku tengok Shah dari sini..." pinggir bibir tersungging naik. "Aku takut kalau kita terlambat."
Dahi Arif berkerut seribu. "Maksud kau?"
"Kau akan tahu bila kita sampai sana nanti." Langkah diatur mara sebelum dimatikan setelah beberapa langkah. Kepala dipalingkan ke sisi memandang kelibat Arif melalui ekor mata. "Satu aku nak pesan. Kau kena hargai apa yang kau ada, tak kiralah sikit macam mana pun apa-apa yang ada dalam tangan kau tu. Sebab yang kita percaya sempurna tu hakikatnya satu penipuan."
"Tak ada apapun dalam dunia ni yang sempurna," suara Keth bergema di minda
Dia pegun di tempat dia berdiri, figura Keth seolah-olah membayang di balik susuk tubuh Amy.
Tak lama kemudian Amy kembali mengorak langkah ke arah Shah. Kunci jip yang dipegang Shaun dibaling ke arah gadis itu. Cekap Amy menyambut sebelum tersenyum lebar. Kunci di pegangan diangkat bersahaja sebelum dia mengucapkan terima kasih.
Shaun mengangguk. "Hati-hati."
Ekor mata Qaym pula lebih banyak memerhatikan susuk tubuh Arif yang turut melangkah ke arah jip. Rambut lelaki itu melambai-lambai mengikut rentak angin. Dia tahu kisah sebenar lelaki itu. Kisah yang diputarbelitkan seiring waktu. Realiti kejam yang mendewasakan pemuda itu. Ada sesuatu tentang Arif tapi dia sendiri tak tahu apa. Cuma firasat kosong yang dia selalu rasa apabila ada sesuatu yang akan terjadi.
"Arif."
Pandangan ditoleh ke arah empunya suara. Kaki yang beberapa tapak lagi mahu sampai ke arah jip mati buat seketika. Terkebil-kebil dia menunggu jawapan daripada Qaym.
"Kau tak perlukan dunia untuk bela nasib kau. Kau sendiri akan tentukan masa depan kau."
Arif tersenyum. Faham maksud tersirat di sebaliknya, "Aku tahu akan hakikat tu dari dulu lagi Qay. Terima kasih. Kalau aku dapat jawapan tentang plag ni aku akan bagitahu."
Qay mengangguk sebelum memeluk tubuh. Akhirnya tinggallah mereka berdua memeluk tubuh memandang keberangkatan tiga orang insan itu.
"Serba boleh Si Amy tu," puji Shaun kagum.
"Tchh." Qaym berdecip sebelum melangkah masuk ke ruang utama. Shaun angkat kening pelik dengan jawapan yang diterima. Perasan akan pergerakan Shaun yang mengekorinya untuk mendapatkan elaborasi lebih lanjut, Qaym akhirnya bersuara, "Amy tu Homunculus."
Automatik melopong mulut Shaun.
YOU ARE READING
Aksara
Ficción GeneralKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...