Suasana kelam menyelimuti ruang tersebut. 78 berdiri statik di belakang seorang lelaki yang memandang lepas ke arah langit melalui jendela besar yang masih teguh berdiri di balik runtuhan.
"Kau dah jumpa lokasi dia?" 78 yang mengelamun untuk seketika tersedar apabila suara orang atasannya menyusup masuk ke corong telinga. Fokus kini terarah ke arah lelaki yang membelakanginya itu.
"Belum. Tak ramai yang tahu tentang lelaki tu," ujarnya dengan nada yang dikawal.
Suhu di segenap ruang bilik tersebut menurun tanpa sedar. Keluhan berat dilepaskan lelaki itu sebelum dia bergerak untuk berdiri bertentangan dengan 78. Suasana tegang mula dirasai.
"Farid?" soal lelaki berambut putih keemasan itu.
Liur ditelannya kelat sebelum belakang badan tegakkan lurus. "Kami tak dapat maklumat apa-apa daripada dia walaupun telah dipaksa berulang-kali."
Tawa halus yang bergema, melantun di segenap penjuru mulai meremangkan bulu roma 78 kerana dia tahu itu mungkin bakal menjadi petanda yang buruk buatnya.
"Kau dah hilang taring lepas dia pergi, 78. Kau tak sekuat dulu."
78 masih memandang lurus ke arah lelaki yang masih terlindung wajahnya di balik bayangan tirai di arah Timur. Namun, dia tahu anak mata orang itu masih lagi tertala ke arahnya. Tanpa kata 78 hanya berdiri di situ tanpa mampu membantah patah kata yang dilontarkan buatnya.
"Aku nak kau cari dia sampai dapat. Satu-satunya petunjuk yang kita ada cuma Farid. Kalau dia terbunuh sekalipun aku nak kau dapatkan maklumat tu. Aku akan sudahkan apa yang ayah aku mulakan. Matlamat aku adalah matlamat puak. Ingat tu."
"Tapi macam mana? Kalau Farid terbunuh disebabkan kita terlalu berkasar dengan dia tanpa kita sempat dapatkan apa-apa petunjuk. Kau pun takkan dapat apa-apa bayangan tentang benda yang kau cari, kau kena ingat tu," ujar 78 mempertaruhkan keberaniannya.
Hujung kanan mulut terjongket naik. Sinis. Bibir dikemam seketika sebelum dia membalas ujaran 78, "Ini bukan permainan fizikal tapi minda. Untuk kita ambil apa-apa yang dia simpan. Pertama sekali kita kena robek apa yang dia genggam supaya pegangan dia yang satu lagi terlepas."
78 mengerutkan dahi, tidak memahami analogi yang cuba disampaikan lelaki itu. Memahami akan kebisuan yang melanda di saat itu, memberikan petanda akan persoalan yang bermain di benak 78.
"Setiap manusia ada pilihan. Bezanya cuma pilihan mana yang akan kita ambil? Kita ingat Farid cuma ada satu pilihan. Macam mana kalau kita bagi dia dua pilihan? Agak-agak apa pilihan dia?"
Kelopak mata 78 terbuka luas apabila dia dapat menebak sedikit petunjuk yang cuba disampaikan oleh lelaki itu.
"Maksud kau..."
Siku kanan ditongkat ke tangan kiri yang memeluk tubuh sebelum jemarinya bermain di pinggir bibir. Anak mata memandang 78 tidak lepas. "Kita serang hati dia."
"Puak kita tak pernah buat kerja gila macam tu," 78 mengetap gerahamnya kuat.
Telunjuk ditekap lelaki itu ke bibir sebelum dia bersuara tenang. "Puak kita dah menggila sejak aku ambil alih. Aku percayakan kau, 78. Kalau kau bukan orang yang tepat untuk buat semua tu. Aku akan amanahkan tanggungjawab tu pada orang lain tapi terpulang. Pilihan ada dalam tangan kau."
Keluhan berat dilepaskan. Seiring dengan kelopak mata yang dipejam dan rasa lelah yang mulai bermukim. Tidak akan sesekali dia membenarkan anak-anak buahnya yang lain untuk mengotorkan tangan mereka dalam hal tersebut.
Lambat-lambat batang tubuh ditundukkan dengan tangan kanan bersilang ke dada.
"Saya terima tugasan tersebut, tuan!" lantang dia bersuara. Akur dengan ujaran yang diutarakan kepadanya sebentar tadi.
ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Fiksi UmumKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...
