"Apa kami kena buat sekarang?" soal Arif hanya menurut setiap derap langkah insan dihadapannya
Jemari kanan dicantum Amy ke jemari kiri, menyulam antara satu sama lain lalu merehatkannya ke belakang kepala. Bersahaja dia memusingkan badan seratus lapan puluh darjah ke hadapan, berpaling daripada insan berdua itu. Dagu mendongak tinggi mencari bayang-bayang helangnya.
"Kita cuma perlu tunggu."Suasana kembali tenang tanpa sebarang perbualan. Hanya bunyi derapan yang bermelodi di halwa telinga. Runtuhan separuh bangunan yang mendedahkan isi dalamnya dipandang Keth dan Arif. Masing-masing ternganga melihat infrastruktur yang masih terpelihara di dalamnya.
Amy memboloskan diri, masuk ke dalam sisa bangunan tersebut melalui rongga yang terbentuk luas pada dinding. Dia menjeling sekilas ke belakang.
"Pergilah mana-mana tempat yang disukai dalam bangunan ni kalau tak sayang nyawa," ujarnya dengan senyum meleret.
Keth mengecilkan visual pandangan. Dengan kata lainnya di dalam bangunan tersebut mungkin ada jerangkap samar. Amy mengambil tempat di atas kerusi sebelum menaikkan kedua-dua belah kakinya ke atas meja.
Mahu tidak mahu akhirnya mereka berdua terpaksa melabuh duduk berhampiran insan tersebut.
Tiga jam berlalu,
Amy masih lagi celik mengasah bilah tajam yang dibawa bersama. Arif yang menguap entah sudah berapa kali akhirnya terlentok di tepi dinding.
Tinggal Keth sahaja yang masih berjaga-jaga dengan apa-apa kemungkinan yang akan berlaku. Hujung jemari menekan permukaan bibir lembut. Pandangan ditebar ke sekeliling.
Tidak dapat dinafi bangunan yang diguna mereka untuk berteduh buat seketika, sebenarnya sangat luas dan tinggi.
Dahi Keth berkerut seribu memandang pemandangan di hadapannya. Anehnya bangunan tersebut, hanya bahagian kirinya sahaja yang hancur berkecai sedangkan bahagian kanan pula masih terpelihara infrastrukturnya. Seolah-olah dijaga seseorang. Lambat-lambat dia membuka pelipat kaki sebelum mengangkat badan untuk bangun.
Alis mata Amy kelihatan bersinar dek pancaran matahari yang jatuh tepat ke wajahnya. Mata hitamnya bergerak ke sisi, memerhatikan dan mengikut setiap pergerakan Keth ke arah susunan buku di atas rak.
Dia mengalihkan fokusnya semula apabila lelaki itu terdongak memandang kertas-kertas bertampal di satu sudut.
"Hei ... Amy," panggil Keth tanpa menoleh ke arah gerangan yang sudah memandangnya pelik. "Ini tempat siapa?"
Kening dijongket Amy naik. Terasa pelik dengan soalan yang tiba-tiba itu. Belati kesayangannya dimasukkan semula ke dalam sarung yang terlilit di peha.
"Kawan aku," balasnya pendek.
Keth memalingkan kepala ke sisi. Pandangan mereka bertembung. Riak lelaki itu sedikit pun tidak berkocak. Menyukarkan Amy untuk mentafsirkan apa-apa yang bermain di benak lelaki itu.
"Biar aku teka, ini kali pertama kau masuk ke tempat kawan kau ni?" Tangan dibawa Keth ke hadapan memegang simbol dengan tulisan 'Legendnic' di atas permukaan satu kertas berwarna hitam.
Amy mengangguk. "Apa kena mengena dengan soalan kau yang tadi?" tanya dia tanpa mencurigai apa-apa.
Lelaki berambut pendek itu tersenyum sinis. Kali ini mimik yang terhias di wajah Amy tidak lagi sesantai tadi. Ada kepingan persoalan yang tidak tersusun pada tempatnya di dalam kepalanya kini.
"Aku punyalah susah hati nak tahu kenapa kau nakkan Arif. Jadi ... mereka kejar Arif sebab tu, ya? Menarik. Hei, Amy. Cuba teka ni muka siapa?" Telunjuk di halanya lurus ke arah satu gambar hitam putih.
Langsung dia bangun sebelum mengatur tapak mendekati Keth. Sesampainya dia, berdiri betul-betul di sisi Keth. Tangan kecil itu laju menyentap sekeping kertas yang tertampal pada dinding. Wajah Keth dipandang sekilas sebelum dia melorotkan pandangan ke bawah.
Nyata rasa terkejutnya itu langsung terzahir melalui wajah. Geraham diketap kuat.
Gambar dia yang diambil bersama rakan-rakannya sewaktu di kem latihan entah macam mana tiba-tiba tersesat di situ. Wajahnya dibulatkan dengan marker berwarna ungu.
Dia lantas mendongak untuk memandang gambar-gambar lain yang tertampal. Gambar beberapa orang yang berbeza turut tertampal di situ dengan contengan yang sama.
"Punyalah aku perah otak nak fikir kenapa kau dengan kawan kau nak tangkap si Arif tu. Rupanya bukan dia seorang sahaja yang bakal ditangkap, ya? Orang yang memburu pun bakal diburu. Ironinya misi yang kau pegang selama ni." Senyum sarkastik melebar di wajah Keth.
Jelas dia sedang melancarkan perang saraf.
Tanpa menghiraukan insan yang memerhatikan gerak gerinya. Amy melangkah ke kawasan sekitar, menggeledah setiap satu ruang yang ada. Kali ini Keth pula yang kelihatan santai dengan tangan yang sudah disilangkan ke dada. Dia bersiul apabila Amy menyepak kerusi yang hilang satu kaki ke penjuru gara-gara menghalang laluannya.
Habis jatuh kertas-kertas dan buku-buku yang ada. Panorama itu terhenti seketika apabila Amy terjumpa satu fail lut sinar. Dia menghempas objek tersebut kuat ke muka meja sebelum menyelak kulit fail tersebut untuk melihat isi kandungan di dalamnya.
Seakan-akan tidak wujud, Keth mengatur langkahnya perlahan ke arah Amy. Dia cuba mencuri pandang isi kandungan yang terdapat di dalam fail tersebut.
"Tak guna!" jerkah Amy.
Automatik Arif melompat dari tempat dia terlelap tadinya. Dalam keadaan mamai dia berdiri dalam posisi bersedia untuk berlawan. Namun, apa yang menyinggah di pandangan hampir sahaja menyebabkan bebola matanya jatuh bergolek ke lantai. Terus hilang rasa mengantuknya tadi
Saat lawannya terleka. Keth pula mengira-ngira di dalam kepala akan setiap satu posisi senjata yang mudah dicapai oleh Amy. Sewaktu suara Amy naik seoktaf. Serentak dia melibas batang kaki insan tersebut menggunakan kaki kanan. Sepantas kilat dia menarik keluar dua senjata utama Amy sebelum dicampak jauh.
Tangan Amy dikilas ke belakang menyebabkan dia terpaksa melutut mengikut daya yang dikenakan. Kaki Keth memijak betis manakala tangannya masih tidak lepas daripada pergelangan tangan Amy yang kini membelakangi dia.
"Keth, apa jadi?" tanya Arif terpinga-pinga.
"Datang sini tolong aku!" Menerima arahan, Arif berlari laju ke arahnya.
Kerusi turut disorong untuk meletakkan Amy di situ.
Gigi diketap Amy. Kesakitan yang dirasa lebih menguasai minda daripada keinginan untuk melawan semula. Usai mendudukkannya ke atas kerusi berwarna merah hati yang sedikit berdebu. Arif merentap wayar yang kelihatan sudah lusuh lantas mengikat tawanan mereka.
Keth menarik nafas lega. Kolar baju Arif ditariknya untuk keluar dari tempat itu dalam keadaan kelam-kabut. Dia risau dengan masalah seterusnya yang mungkin menimpa.
"Kau dah kenapa tarik aku?" tanya dia sedikit tenggelam apabila kolar bajunya yang ditarik hampir menutup separuh wajah.
"Kita kena pergi cepat," jawab Keth dengan nada gusar. Kalau betul telahannya. Insan yang menjaga tempat tersebut bukanlah antara manusia yang ingin mereka temui di saat itu.
Selesai sahaja mengambil tempat di dalam kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Amy. Tangannya terketar mencari kunci kereta.
Selang beberapa ketika bunyi cermin kenderaan tersebut diketuk dari arah luar. Serentak mereka berdua berpaling.
"Cari ni ke?" suara asing yang menjengah pendengaran menyebabkan Keth dan Arif masing-masing bertukar pucat tetapi yang lebih ketara pucatnya antara mereka adalah Keth.
Gerangan yang tersenyum di balik tingkap lut sinar itu tersenyum sinis. Punat ditekan membuka kunci sebelum tangannya menggagau ke pemegang pintu pemandu. Sekali tarikan, pintu tersebut lantas terbuka.
"Cepatnya tetamu kita nak balik? Tunggulah dulu, kita boleh ... borak-borak mungkin?" sambungnya, sekaligus memberikan aura yang cukup berbahaya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Fiksyen UmumKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...