Bab 29

36 5 1
                                    

Penumbuk digenggam erat. Kepala ditolehkan ke sisi memandang langit cerah melalui tingkap bulat yang ternganga luas. Kosong. Ketenangan alam itu tak mampu melembutkan kelam pekat pandangannya. Detak jantung masih lagi serupa, walau berapa jauh pun dia cuba memujuk diri sendiri yang semuanya akan baik-baik sahaja. Usahanya itu hanya sia-sia. Langsung tak mampu untuk meredakan rasa gundah yang melanda sanubari.

"Shah, lari. Pergi jauh-jauh dan jangan pandang semula ke belakang. Jangan balik, dengar cakap mak cik."

Wanita separuh abad itu mengusap perlahan pipi kanannya seolah-olah itu perpisahan terakhir mereka. Sepenuh nyawa wanita itu cuba melindunginya. Bertahun lamanya dia tinggal bersama wanita itu, satu-satunya ahli keluarga yang dia masih ada setelah kehilangan kedua orang tuanya. Dia tak tahu bagaimana rupa ibu bapanya kerana dia ditinggalkan sendiri sejak berusia tiga tahun. Sejarah keluarga yang tak pernah diungkit walaupun sekali. Kerana bagi dia, itu adalah keluarga kandungnya. Dulu sekarang dan sampai bila-bila.

"Mak cik Tia... tak nak. Shah nak duduk dekat sini jaga mak cik dengan Aya." Di saat itu pandangan lelaki itu jatuh pada anak kecil berusia tujuh tahun yang menggenggam erat baju ibunya.

Tanpa menimbang tara permintaan Shah, wanita itu menggeleng laju. Mungkin dia sangka remaja seusia Shah masih belum faham erti sakit jerih kehidupan kerana sejak dulu, yang dia tanam ke dalam anak itu hanyalah yang indah-indah.

Pegangan dilurutkan ke tangan Shah pula. Mata hitam menentang jauh ke dalam anak mata remaja itu. Masih dengan senyuman yang sama dia lantas bersuara, "Dengar cakap mak cik baik-baik ya, Shah? Aya sakit. Orang kampung datang nak ambil dia daripada mak cik. Keselamatan kamu tak terjamin di sini dengan adanya Aya di sisi kamu dan takkan sesekali mak cik tinggalkan anak sendiri berada diambang maut sedangkan boleh ditegah. Andaikata...," patah kata tergantung. Kali ini pandangan wanita itu tidak lagi sepekat awalnya.

Rasa sebak cuba ditahan. Nafas ditarik dalam, cuba melawan rasa takut daripada terpancar melalui riak wajahnya. Bibir atas bawah dibasahkan dengan hujung lidah. Perlahan-lahan dia menghembuskan nafas.

"Andaikata mak cik dan Aya terkorban. Paling tidak mak cik nak kamu terus hidup. Peluang untuk Aya hidup tu nipis. Sedangkan masa depan kamu masih cerah cuma mulai saat ni kamu kena berjalan sendiri. Mak cik tak mampu nak lindungi kamu dah mulai saat ni. Harap Shah faham, ya?"

Tenang. Wajah tenang yang terpamer menahan rasa sakit sendiri itu ternyata menyucuk tangkai hati. Dia tahu wanita itu cuba menyembunyikan rasa hatinya. Seperti biasa memikul beban itu sendiri. Tanpa kata, anak matanya melurut ke arah Aya. Anak gadis yang memandangnya dengan pandangan polos. Tidak memahami situasi yang menghimpit mereka di saat itu.

Wajah budak perempuan itu bertompok merah di merata bahagian wajahnya, sedikit pucat dan cekung. Jari kecil itu pula ternoda dengan beberapa gelembung yang terbentuk seperti belon kecil.

Hujung bibir diketap Shah. Dosa apa yang kanak-kanak sekecil itu lakukan sehingga dia mendapat dugaan sebesar itu? Kepala ditundukkan. Dia mahu mematuhi permintaan terakhir Mak cik Tia untuknya dan pada masa yang sama dia mahu menggeleng kerana dia tahu, tanggungjawab dia di situ adalah untuk melindungi. Namun, mampukah dia?

Bunyi derap yang berpusu-pusu ke arah rumah yang dihuni mengejutkan mereka bertiga. Mak cik Tia dan Shah saling berpandangan. Kali ini tanpa suara, wanita itu menggerakkan bibir. Membentuk perkataan 'tolong'.

AksaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang