Anak mata pemuda itu jelas berharap benar agar dia menurut kehendaknya. Jelingan dihadiahkan sekilas buat Arif sebelum kembali ditala ke arah arca yang masih dalam proses pembikinan.
"Tak," jawabnya tanpa perasaan sebelum menyambung lagi kata, "Tak ada maknanya."
Arif mencebik hampa. Roboh gamaknya bangkai pesawat tempat mereka berteduh itu seandainya Keth menurut sahaja permintaan dia tanpa bantahan.
"Sebab?" Kening diangkat Arif tinggi.
Keth menghentikan pergerakannya sebelum membawa siku kanan untuk berlabuh di atas permukaan meja sedang mata ditumpukan sepenuh perhatian ke arah Arif. "Sebab tak relevan."
Keluhan berat dilepaskan Arif sebelum dia turut menongkat dagu untuk memandang ke dalam mata Keth tenang tanpa sedikit pun tanda dendam.
"Sebab tu juga aku ajak kau untuk betulkan aku yang kadang-kadang tak betul ni. Realisasikan yang tak relevan. Tak ada salah pun mencuba, Keth. Paling penting kita usahakan dulu sebelum menyerah."
Pelipis digarunya laju. "Kenapa nak buang masa dengan pertaruhan yang tak tahu pun nak dibawa ke mana, Arif?"
Arif tersenyum di balik kolar bajunya. Penumbuk yang dibawa ke pelipis kanan untuk menjadi penahan kepala tadinya kini dilurutkan ke bawah. Lambat-lambat dia berdiri.
"Aku bukan tengah bertaruh sekarang ni, Keth. Sebaliknya aku tengah melakukan pelaburan hidup aku. Mencari hakikat kebenaran hidup tu sendiri. Sampai mati aku takkan percaya yang manusia tu hidup sekadar untuk menunggu mati." Keth tersentak mendengar kata-kata lelaki itu.
Derap langkah dibawa Arif ke arah pintu masuk utama. Bibir dikemam Keth kuat sebelum dia melaung, memanggil Arif yang sudah beberapa tapak keluar dari ruangan itu.
Arif menoleh secara automatik ke belakang tanpa menyahut, memberi tanda yang dia menunggu kata-kata Keth yang seterusnya.
"Mana kau nak pergi?" tanya Keth dengan seribu satu rasa yang berbaur.
Pipi sengaja dikembungkan sebelum kedua-dua belah tangan dibawanya ke belakang badan. Keth hanya memandang tindak-tanduk Arif tanpa suara.
Masing-masing berjeda untuk seketika sebelum Arif akhirnya memecah hening, "Aku nak keluar sekejap dan pada masa yang sama, nak bagi kau susah hati tengok aku hilang," usiknya sebelum tertawa besar.
Kelibat Arif yang kian menghilang dari ekor mata disusuli dengan dengusan Keth. Rambutnya digosok-gosok, serabut dengan makhluk yang seorang itu.
"Apa patut kau buat dengan budak tu, Keth?" soalnya retorik kepada diri sendiri.
Arca yang hampir siap itu dipandang kosong tanpa minat, lama keadaan sebegitu hingga akhirnya Keth membiarkannya tersadai di atas meja kopi tanpa disentuh.
"Kau hilang jejak dia?" tengking 78. Sekaligus menarik perhatian setiap yang lalu lalang di kawasan tersebut. Wajah diraupnya kasar.
Tajam dia memandang anak buahnya itu.
"Kali terakhir kau tengok dia dekat mana?" nada suara cuba diredakan walaupun masih kedengaran garang.
21 hanya tertunduk diam kerana sedar akan kesalahannya sendiri. Kolar baju 21 dicekak kuat sebelum belakang badan lelaki itu dibantingnya ke dinding, geram.
"Bilamana aku tanya, jawab!" Marahnya mulai menggelegak tidak lagi dapat dibawa berbincang.
"Sim... simfoni," ujarnya terketar-ketar dan pada yang sama cuba menahan rasa sakit yang mulai menggigit.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
General FictionKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...