Bab 27

45 7 1
                                    

Belakang badan ditolaknya sedikit ke hadapan sebelum menyeimbangkan badan untuk berdiri tegak. Amy yang kelihatan segar di pandangan mata Arif menyebabkan lelaki itu mengerutkan dahi. Tak adil sungguh apabila dia yang selalu dibelasah teruk sedangkan orang lain masih boleh melompat seperti biasa.

"Maksud kau?" soal Qaym serius.

Selamba dia menjongketkan bahu naik dengan mata hitam yang dialihkan ke sisi seolah-olah sedang bermain teka-teki dengan lelaki itu.

"Kau tahu?"

Amy mengerling sekilas ke arah Arif. Hening menyapa suasana untuk seketika sebelum dia akhirnya menarik ekor bibir naik.

"Tak mendalam tapi paling tidak aku dah tahu cerita kau walaupun sedikit. Tak adil rasanya kalau kau tak dapat sesuatu sebagai balasan."

Dia terpana. Satu demi satu langkah Amy yang diatur ke arahnya menjentik memori tentang soalan Amy tak berapa lama sebelum mereka berada di pihak yang sama.

"Macam mana kau bunuh seluruh keluarga kau?" Arif dan Keth tersentak dengan pertanyaan Amy yang tidak disangka.

"Apa kebaikan yang aku dapat kalau aku beritahu kau?"

Amy tersenyum sinis sebelum menjongketkan bahu seraya menoleh ke kanan sekilas, memandang pokok-pokok yang hidup segan matinya tak mahu.

"Jadi kenapa perlu aku beritahu kau tentang kisah silam aku?" duga Arif lagi.

Lamunannya termati sendiri apabila suara Amy mengetuk gegendang telinga. Meneruskan bicara yang tergantung.

"Aku bukan berasal dari dalam Negeri-negeri Semenanjung Malaysia," ujarnya tenang sebelum berhenti di hujung katil.

Shaun terkebil-kebil. "Errr... jadi kau dari Sabah atau Sarawak?"

Dia menggeleng. Tangan dilipat bersahaja sebelum dibawa ke dada, memeluk tubuh. "Bukan. Aku berasal dari perairan yang menjadi pemisah antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak."

Kelam tiga pasang mata yang memandangnya tak lepas. Mereka pandang satu sama lain sebelum medan visual jatuh kembali ke seraut wajah yang sama.

"Itu... Laut China Selatan? Kau tinggal dalam air ke apa?" tanya Qaym dah sangsi semacam.

Amy mencebik. Gara-gara terlalu lama berdiri, dia dengan selambanya mengambil sila di atas lantai sebelum memandang wajah-wajah yang jelas tertala ke arahnya semula.

"Ada tamadun moden yang wujud di antara bahagian Sabah Sarawak dengan Semenanjung Malaysia. Itu yang ramai tak tahu."

Diam.

"Situasi dystopia, di bahagian darat Malaysia jadi pemangkin wujudnya alaf baru di tempat lain. Iaitu di tempat lahir aku."

"Amy... kau tak reka cerita, kan?" Arif kecilkan kelopak mata. Ragu-ragu dengan setiap patah perkataan yang terbit dari bibir mongel itu.

Dia tidak terasa dengan keraguan lelaki itu terhadapnya. Kadang-kadang memang susah untuk percaya apa yang belum tersinggah di ruang mata melainkan perkara tersebut betul-betul dapat dibuktikan, jadi Amy hanya melepaskan hela perlahan.

"Apa yang kau harapkan...," Dia pantas menggelengkan kepala, menukar ayat asal yang diucapnya tadi. "Apa yang kau nakkan, Arif. Kalau mengikut konteks secara zahirnya memang wujud."

"Kau, aku, Shah dan yang lain-lain yang bakal kita cari. Kita adalah bukti kewujudan mereka. Bukti yang dunia utopia itu wujud."


AksaraWhere stories live. Discover now