Puntung rokok yang masih menyala baranya dicampak ke tanah sebelum dipijak lelaki berkepala botak itu dengan rasa jelek. Dengusan dilepaskannya. Tangan kiri dibawa ke pinggang, menjadi penahan tangan kanan yang menongkat kepala.
"Kau nak apa, Amy?" soalnya tanpa menoleh ke belakang.
Sesusuk tubuh yang berdiri bersandarkan dinding dengan tapak kaki kiri yang melekap ke bermukaan rata itu masih tenang dengan riak sinisnya. Tangan disilangkan ke dada selamba.
Zip jaket yang dipakai ditarik naik sebelum dia bersuara, "Nak apa? Tak ada apa-apa. Kau bukannya boleh beri aku apa-apa pun kalau aku minta," balasnya. Bersahaja dia mengeluarkan tangan kanan daripada pelipat sebelum membelek kuku sendiri.
78 berdecit geram dengan jawapan yang diterima. Kalau bukan kerana Amy merupakan orang kanan 10. Memang dia akan belasah cukup-cukup insan yang suka mengganggu kehidupan orang lain itu.
"Habis tu kenapa ekori aku?"
Amy tarik hujung bibir kanannya ke atas. Wajah ditoleh ke kiri, memandang lurus ke arah 78 yang berdiri membelakanginya. "Sebab aku tak percayakan kau."
Kaki lantas dibawa ke posisi baru, berdepan dengan Amy meskipun jarak masih memisahkan mereka. Riak serius masih tidak lekang daripada wajah. Rahang bergerak-gerak menahan marah yang menggelegak di dalam dada. "Kau sangka aku akan khianati puak kita macam mana 'dia' khianati aku dulu?"
Bahu dijongket naik, sengaja mahu berteka-teki dengan lelaki berbadan sasa di hadapannya sebelum dia ketawa menyerlahkan barisan gigi yang tersusun cantik.
"Hati kau lembut, 78. Kau rasa kau mampu capai apa yang 10 mahukan?" tanya Amy sambil melentokkan kepalanya ke kanan.
"Aku boleh jejak Farid jauh lebih cepat daripada kau mampu."
Senyuman masih tidak lekang daripada wajah. Langkah diorak satu persatu sebelum dia akhirnya berhenti di hadapan 78.
"Kau boleh dapatkan Farid. Aku tak sangkal hakikat tu tapi kau kena tahu, kau belum cukup kuat untuk berdepan dengan Arif." Rendah nadanya mengetuk gegendang telinga 78 tetapi cukup untuk mengocak ketenteraman jiwa lelaki itu.
Hujung bibir diketap kuat.
"Dia tak ada kena mengena dengan semua benda ni. Jangan setapak pun kau langkah untuk apa-apakan dia," ugut 78.
"Oh?" balas Amy, sedikit pun tidak tercuit dengan kata-kata 78. Nafas ditarik sebelum dilepaskan untuk memberi ruang dia bersuara, "Mana kau tahu dia tak ada kena mengena?"
Berkerut seribu dahi 78. "Apa maksud kau?"
Telunjuk ditekapnya ke bibir, kelopak mata kanan dikatup rapat sebelum dia menarik langkah kakinya ke belakang untuk mengundurkan diri. Meninggalkan 78 terpinga-pinga sendiri.
'Aku akan tunaikan apa yang kau mahukan, 10. Aku akan buktikan yang aku mampu dan gelaran 11 tu akan jadi milik aku,' desis hatinya dalam diam langsung tidak menghiraukan silau matahari yang memanah hangat ke wajahnya.
Makin lama kelibat Amy semakin larut jauh daripada pandangan. Penumbuk dikepal 78 geram. Anak mata masih tertala ke arah yang sama walaupun bayangan insan tersebut tidak lagi terlihat dek pancainderanya. Tangan dibawa masuk ke dalam poket seluar. Punat telefon bimbit ditekan satu persatu sebelum ditekapnya ke telinga kiri.
Derap laju dibawa ke arah motosikal berkuasa tinggi miliknya. Selang beberapa saat, talian di sebelah satu lagi bersambut.
"Kita dah tak ada masa. Aku nak kau hantar lokasi Farid pada aku sekarang juga. Jumpa aku dekat sana," arahnya laju dan dengan sekelip matanya sudah selamat menunggang kenderaan pacuan dua roda itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Aksara
Ficción GeneralKau sangka utopia di dunia realiti itu wujud? Hakikat kesinambungan itu ada apabila dua elemen bertentangan itu wujud bagi menyeimbangkan satu sama lain. Bagi... Melengkapi. "Cuba kau bayang apa-apa yang ada depan kita sekarang ni kita label sebagai...