DAH lewat malam. Mimi masih tak boleh tidur. Hatinya masih galau kerana kejadian yang berlaku siang tadi. Dia tak tahu Chandler ialah bekas suami Aqi... walhal dia dah dengar segala bagai derita yang dah dilalui wanita itu melalui pernikahannya selama ini. Chandler pula cukup baik dengannya sepanjang mereka berkenalan... tetapi rupa-rupanya, lelaki itu mampu memukul perempuan hingga luka lebam.
Umar sendiri, walaupun gemar berkelahi, tetapi tidak pernah memukul perempuan seumur hidupnya.
Lagi-lagi Aqi dan anak-anaknya itu masih gigih nak memujuknya walaupun dia dah buat bermacam-macam perkara gila. Mimi menelan liur, berfikir semula status waras akalnya.
Apa benda ni.... Apa rasa sakit yang dirasainya ketika ini?? Kenapa Aqi masih nak berbaik dengannya... Malah keprihatinan perempuan itu bukan sebab nak berkongsi kasih, tetapi kerana benar-benar risaukan kebajikannya. Lagi-lagi atas penglibatan dengan Chan.
"Kenapa dia macam tu..." bisik Mimi dibawah nafas.
Terdengar bunyi enjin kereta suaminya memasuki laman. Jam dikerling. Dah pukul 11 malam. Baru balik? Mimi memejamkan mata, berpura-pura tidur, tetapi setelah lama menunggu, Umar tetap tidak masuk ke bilik. Malah dia dengar bermacam-macam bunyi pergerakan di luar, tetapi sedikit pun pintu bilik itu terbuka.
Ingin tahu, Mimi memaksa dirinya bangun. Pintu bilik dibuka, melihat Umar yang berbaring dengan anak-anaknya di depan TV. Budak-budak itu menemaninya di rumah atas arahan Aqi bagi mengelakkan sebarang hal yang tak diingini. Daripada pemakaian suaminya yang dah bertukar dari baju kerja kepada boxer semata, serta tuala yang dibiar tergantung di belakang kerusi, mungkin suaminya membersihkan diri di tandas.
Jadi dia sedang dimarahi hingga suaminya enggan memasuki ranjang mereka?
Tangis terlepas lagi, lalu Mimi kembali ke katil.
UMAR terbangun bila kedengaran azan Subuh. Dada yang berbulu itu digaru. Dan kesejukan juga! Dia sepatutnya berselimut tapi selimutnya dirampas Ami untuk dirinya seorang. Anak bertuah...
WhatsApp dari Aqi dibaca. Wanita itu memintanya membangunkan anak-anak mereka untuk bersiap ke sekolah.
Malas, tapi terpaksa akur. Dia terus menyelesaikan semua yang dirasakan patut seperti membangunkan anak-anaknya, solat Subuh sebelum memasuki bilik tidur yang dikongsi dengan Mimi bagi mempersiapkan diri untuk kerja.
Si isteri itu dilihatnya dah bangun, dan sedang bersandar di kepala katil. Umar terperanjat sedikit. Selalunya Mimi masih tidur pada waktu ini!
"Awal bangun?"
"Takleh tidur sebab husband Mimi lagi sanggup tidur dengan anaknya berbanding tidur dengan Mimi."
Eh, lembut pula nadanya walaupun menyindir. Selalunya dia kasar keras, ataupun enggan bercakap langsung.
"Abang nak mandi..." Dia bergerak terus ke bilik air. Air yang mengenai tubuhnya langsung tidak memberi waima sekelumit rasa sejuk atau selesa. Hanya basah pada nama. Umar keluar terus tanpa bersabun.
Almari dibuka. Terperanjat seketika bila melihat almari pakaiannya kemas teratur. Malah kemejanya bergosok. "Apa dah jadi dengan almari ni? Bibik datang balik ke?" Kehairanan.
Kalau diikutkan baju-bajunya terperuk tak dikemaskan macam barang longgok. Kadang dia lipat sendiri tapi kebanyakan masa dia terlalu malas kerana kerap balik lambat serta terlalu penat nak ambil kisah. Dia ada isteri. Dia bukannya bujang. Dan dia hanya akan mengosok baju kerjanya pada hujung minggu bila dia ada masa lapang atau terasa rajin. Langsung tak disangka kejutan ini pada hari ini.
"Aqi yang kemaskan," jawab Mimi, membuat Umar menoleh. "Tak tahu bila. Tengok-tengok dah kemas macam tu. Ikut suka dia je bukak almari rumah orang..." dengusnya.

YOU ARE READING
Peluang Kedua
RomanceWARNING: This is not a story for the faint-hearted. Also, i was listening to Peluang Kedua by Nabila Razali when i thought of this story. Writing Prompt: Perspektif seorang suami bila menyedari dia mencintai perempuan lain selain isterinya ialah ap...