Keluarga Lin II

35 4 0
                                    


"Macam mana awak berdua boleh berkenalan?"


Lyn meletakkan dagu pada kedua-dua tangannya sambil mengangkat kedua-dua keningnya beberapa kali. Jelas terpancar riak ingin tahu serta terselit tanda usikan pada raut wajah jelitanya itu. Helena dan ZeXu turut mengalihkan perhatian mereka terhadap pasangan kekasih itu. Ternyata soalan yang dilontarkan oleh Lyn itu turut mengundang rasa ingin tahu serta minat daripada pasangan suami isteri itu. YuTeng menjadi buntu untuk memberi reaksi terhadap soalan yang semestinya sudah dapat diduga sejak kedatangannya ke kediaman keluarga Lin itu. Dia sekadar tersenyum paksa sebelum dia mengerling ke arah ZiHong yang lebih selesa mendiamkan diri. Lelaki itu kelihatan tenang.

"Saya tahu awak berdua ni bekerja dalam satu syarikat yang sama. Tapi kami ni tak sangka juga yang ZiHong akan bercinta dengan awak. Saya rasa awak pun tahukan kisah cinta ZiHong sebelum ni macam mana?" Soal Lyn.

"Lepas tu,kalau nak dibandingkan awak dengan ex ZiHong dulu,memang jauh betul bezanya. Jadi, saya rasa tertarik jugalah nak tahu apa kuasa magis yang awak bagi dekat adik kesayangan saya ni sampai dia boleh jatuh cinta dekat awak,"kata Lyn,sebelum tersenyum penuh makna. YuTeng masih lagi mengekalkan senyuman paksanya itu, sambil menggaru lehernya yang tidak gatal. ZiHong...cepatlah cakap sesuatu. Awak sendiri kata yang awak akan selesaikan semuanya sendiri. YuTeng menahan geramnya dalam diam.



Kedengaran bunyi gelas diletakkan di atas meja. YuTeng menoleh ke arah ZiHong. Kelihatan lelaki itu sedang mengelap bibirnya dengan sapu tangan putih.

"Apa yang kau nak tahu sangat?" Soal ZiHong. Lyn mencebik.

"Kalau kau bagi jawapan sama macam yang kau bagi waktu di sidang akhbar hari tu, siap kau,"kata Lyn,memberi amaran. Kelihatan Helena menepuk lembut tangan anak perempuannya itu. Lyn memuncungkan mulutnya.

"Takkan depan-depan XiaoYu pun kamu berdua nak bergaduh. Macam budak-budaklah kamu berdua ni,"kata Helena,tidak suka dengan kelakuan tidak matang anak-anaknya itu. ZiHong kemudiannya menoleh sekilas ke arah YuTeng.



"ZiHong mula kenal dengan YU-bao sejak satu tahun yang lalu." ZiHong memulakan bicara. YuTeng tidak memandang ke arahnya. Jawapan ZiHong itu sudah dapat dijangkakannya. Segala apa yang akan dikatakan oleh ZiHong itu sudah pun dirancang dari awal lagi. Sedangkan hakikat yang sebenar ialah mereka baru sahaja bertemu secara rasmi beberapa minggu yang lalu. Pastinya ZiHong juga baru menyedari akan kewujudannya di syarikat itu jika bukan kerana kerelaannya untuk melibatkan diri dalam mengalihkan perhatian orang ramai daripada skandal hangatnya itu.

"ZiHong pertama kali terserempak dengan YU-bao di lif, setahun yang lalu."

YuTeng tergamam. Dia menoleh ke arah ZiHong yang masih sedang kusyuk bercerita itu. ZiHong menceritakan semula pertemuan pertama mereka yang tidak dijangka di dalam lif setahun yang lalu. Segala apa yang diceritakan oleh ZiHong itu sedikit pun tidak berbeza daripada ingatan YuTeng terhadap peristiwa itu. Bermula daripada dia berlari masuk ke dalam lif tersebut sehinggalah insiden yang membuatkan air yang dibawanya itu tertumpah ke atas seluar ZiHong. ZiHong kemudiannya memandang ke arahnya.



Imbas kembali – Pertemuan pertama kali setahun yang lalu.

Sudut pandangan ZiHong :


ZiHong yang sedang kusyuk membaca tentatif program rakaman yang akan berlangsung melalui tablet yang diserahkan oleh Ray itu, menghentikan bacaannya untuk seketika. Dia merasakan hujung seluar yang dipakainya itu basah. Matanya terbuka luas, namun tidak pula terus melatah. Perlahan-lahan,dia menoleh ke belakang. Seorang lelaki muda yang kelihatan resah dan terkejut sedang berdiri di belakangnya. Pandangan mereka bertentangan antara satu sama lain. ZiHong dapat melihat jelas tahi lalat yang terletak kemas di bawah mata kanan milik lelaki itu – yang menyerlahkan lagi kemanisan raut wajahnya. Anak matanya berwarna hazel. Wajahnya cerah bak salju. Mulutnya merah merekah ibarat kelopak bunga mawar merah yang sedang kembang mewangi. Semuanya sempurna pada pandangan mata ZiHong. Lelaki itu kemudiannya menundukkan tubuhnya.

I Choose to Love You in SilenceWhere stories live. Discover now