ZiHong menutup pintu biliknya dengan perlahan, enggan untuk mengganggu lena seseorang yang sudah pun terbaring di atas katil miliknya. Ditolehnya ke arah katil. Kelihatan YuTeng yang sudah pun lena dibuai mimpi, sambil membaluti seluruh tubuhnya dengan selimut tebal. Lelaki itu juga sengaja mengambil tempat hampir dengan hujung katil, seakan-akan enggan untuk tidur di atas katil yang sama dengan ZiHong.Kebiasaannya mereka tidur di bilik yang berasingan. Oleh sebab ketika itu keluarga pasangan itu mengambil keputusan untuk bermalam di situ selepas berakhirnya majlis hari jadi ZiHong sebentar tadi, maka mereka turut terpaksa bermalam di dalam bilik yang sama. Kononnya mereka kelihatan seperti pasangan berkahwin yang lain.
ZiHong mendekati ke arah katilnya sebelum dia duduk di hujung katil , bertentangan dengan YuTeng. YuTeng yang kononnya sudah pun lena itu sedikit pun tidak berganjak. ZiHong hanya memerhatikan YuTeng dalam diam. Kedengaran nafas panjang dihelanya perlahan. Segala kata-kata YuTeng sebentar tadi masih bermain jelas dalam fikirannya. Riak wajahnya yang sedih serta marah itu masih tergambar jelas di ruang matanya.
Saya cintakan awak.
Awak tak pernah sayangkan saya, ZiHong. Awak hanya keliru.
Saya nak kita hentikan semua ni.
Saya minta maaf.
Tapi…cukuplah sampai di sini.
Saya dah penat.
ZiHong mengepal erat tangannya apabila mengingatkan kembali setiap bait ayat yang disebut oleh YuTeng itu. Ternyata lelaki itu benar-benar nekad untuk mengakhiri perkahwinan atau perjanjian yang mereka sendiri telah persetujui sebelum ini. Wajahnya diraup perlahan. Sekali lagi, dia melepaskan keluhan perlahan. ZiHong kemudiannya memusingkan tubuhnya ke arah YuTeng yang ketika itu sedang baring membelakanginya. Seluruh tubuhnya dibaluti selimut.
“Saya tahu…awak belum tidur lagi, YuTeng.”
ZiHong memulakan katanya. Matanya masih belum dialihkan daripada YuTeng.
“Saya tahu…awak masih marahkan saya. Awak…awak mungkin dah mula bencikan saya juga. Tapi…saya rasa gembira yang…awak masih sudi untuk bermalam di sini dengan saya. Walaupun saya tahu…semua ni hanya sekadar nak menggaburi pandangan keluarga kita berdua.”
“Saya tahu…dalam diam awak mesti anggap saya ni pengecut. Saya sendiri yang menyebabkan semua ni terjadi. Tapi saya sendiri rasa takut untuk mengakhirinya.”
“Kalau sebelum ni…saya takut yang nama baik saya sekali lagi akan menjadi buruk…tapi kali ni, saya takut…”
ZiHong menarik nafas panjang sebelum dihelanya perlahan.
“…saya takut untuk kehilangan awak, Yang YuTeng.”
ZiHong teringin sekali untuk menatap wajah YuTeng ketika itu, namun hatinya teragak-agak. Bimbang tindakannya itu akan menyebabkan YuTeng semakin tidak selesa dengan dirinya.
“Memang saya pernah cakap…yang saya sanggup lepaskan awak…kalau awak rasa…saya hanya permainkan awak. Tapi …”
ZiHong menelan air liur.
“…saya tak boleh lakukannya.”
“Saya betul-betul sayangkan awak.”
ZiHong tersenyum pedih.
YOU ARE READING
I Choose to Love You in Silence
FanfictionSatu kontroversi harus dibayar dengan satu perjanjian untuk tempoh tiga tahun.