Imbas kembali – Satu tahun yang lalu
"Cepatlah, YuTeng! Nanti kita lambat pula." Jerit Ren yang kini sudah pun hampir di perkarangan masuk lobi utama, sambil menoleh ke arah YuTeng. YuTeng kelihatan bersusah payah berlari ke arahnya sambil membawakan dua plastik berisi air. Mereka baru sahaja selesai dengan kelas tarian di bilik latihan lebih kurang 15 minit yang lalu. Mereka diberikan tempoh rehat selama 1 jam sebelum kelas tarian disambung semula.
Ren pantas mencapai lengan YuTeng, sebelum menariknya berlari menuju ke arah lif yang hampir-hampir sahaja tertutup itu. Kedua-dua lelaki itu berlari masuk ke dalamnya sebelum berdiri di ruang yang paling belakang. Mereka kelihatan tercungap-cungap, sedikit pun tidak mempedulikan beberapa individu lain yang turut berada di dalam lif tersebut.
"Kau ni lembab betullah,YuTeng." Sengaja Ren mengejek walaupun dia masih kepenatan. YuTeng mencebik ke arahnya.
"Kau diamlah, Ren. Salah kau juga ajak pergi beli air dekat luar kenapa?" Soal YuTeng, enggan mengalah. Ren tertawa.
"Yang kau pun setuju nak ikut aku kenapa?" Soal Ren. YuTeng sekadar tertawa kecil.
YuTeng kemudiannya menegakkan postur tubuhnya semula sebelum dia melihat figura seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. Walaupun hanya dilihat dari sudut pandangan belakang, namun penampilan lelaki itu masih kelihatan segak. Kelihatan seorang lagi lelaki yang tidak kurang tegap badannya itu sedang membisikkan sesuatu sambil menghalakan tablet ke arahnya. Lelaki itu sekadar mengangguk tanpa bersuara. Kelakuan kedua-dua lelaki itu hanya diperhatikan oleh YuTeng, tanpa dia menyedari plastik yang mengandungi air yang dibelinya itu koyak.
Mata YuTeng terbuka luas apabila menyedari seluar biru muda yang dipakai oleh lelaki di hadapannya itu basah kerana ditumpahi air yang dibawanya itu. Ren yang berada di situ turut terkejut. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu menghentikan perbualannya sebelum dia memusingkan tubuhnya menghadap YuTeng. Pandangan mata mereka bersatu untuk pertama kali.
"Lin...Lin...Lin ZiHong."
Ren terkejut apabila menyedari lelaki yang berada di hadapannya itu ialah Lin ZiHong, pelakon senior yang sedang popular ketika itu. Melihat YuTeng yang masih lagi belum bersuara itu membuatkan Ren menarik lengan YuTeng dekat dengannya.
"YuTeng. Itu Lin ZiHong. Senior kita." Bisiknya, sambil mencuri-curi pandang ke arah ZiHong yang masih lagi sedang memandang ke arah YuTeng itu. YuTeng yang bagaikan baru sedar dari lamunannya itu segera menundukkan tubuhnya.
"Sa-saya minta maaf. Sa-saya tak sengaja." YuTeng kelihatan gelisah. Melihat jenis pakaian yang tersarung kemas pada tubuh ZiHong itu pastinya bukan daripada jenama sebarangan. Harganya pasti mencecah paling kurang hingga lima angka.
"Saya minta maaf.Saya tak tahu nak tebus kesalahan saya macam mana. Saya betul-betul tak ada duit untuk ganti rugi." Bibir YuTeng mulai bergetar. Dia cuba menahan dirinya daripada menangis di hadapan lelaki itu. Sungguh dia berasa sangat takut ketika itu.
"It's okay."
YuTeng tergamam. Dia kemudiannya mendongak,bertentang mata dengan ZiHong.
"Ini memang baju saya. Bukannya dari penaja. Awak tak perlu ganti rugi apa-apa." Kata ZiHong, sebelum dia menoleh ke arah lelaki yang berada di sebelahnya itu.
YOU ARE READING
I Choose to Love You in Silence
FanficSatu kontroversi harus dibayar dengan satu perjanjian untuk tempoh tiga tahun.