BAB 1

5K 115 3
                                    

TALI leher dan rambut dibetulkan seiring kaki mengayunkan langkah mendekati kelas 5 Aman. Beg yang digalas di sebelah bahu kanan dibuka untuk mengambil kaca mata. Pintu kelas diketuk perlahan. Guru yang sedang tekun mengajar murid-muridnya di hadapan memandang ke arah pintu.

Pelajar lelaki yang memakai cermin mata jenis browline di depan pintu kelas didekati.

"Ya, kamu siapa?" soal Cikgu Hana.

"Saya pelajar baru. Pengetua suruh saya datang kelas ni," jawab pelajar lelaki tersebut.

"Oh, kamu Arif kan? Mari masuk. Perkenalkan diri kamu pada rakan-rakan dulu."

Pelajar yang diberi nama Arif itu mula memasuki ruang kelas dan berdiri di hadapan sebelum memperkenalkan dirinya.

"Assalamualaikum, nama aku Ahmad Arif. Boleh panggil aku Arif." Terangnya secara ringkas sambil memperbetulkan kaca matanya dan tersenyum manis sehingga membentuk lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.

Arif melihat ramai pelajar perempuan kelas 5 Aman yang tersenyum-senyum serta berbisik antara satu sama lain dan memandangnya dengan pandangan yang galak. Cuma seorang perempuan sahaja yang tidak mengambil peduli dengan kehadirannya di kelas itu. Manakala, pelajar lelaki hanya memberi pandangan biasa dan ada segelintir yang menayangkan senyuman ramah.

"Arif, kamu boleh ambil tempat duduk di sebelah Seroja," arah Cikgu Hana seraya menghalakan jarinya ke tempat kosong di tepi tingkap.

Seroja yang sedang melayan perasaan tanpa menghiraukan suasana kelasnya tadi terus mengangkat kepala apabila namanya dipetik oleh Cikgu Hana. Kerusi di sebelahnya yang selama ini tidak berpenghuni ditarik seseorang. Dia mengangkat wajah untuk melihat gerangan manusia tersebut.

Arif yang sudah duduk di kerusi kosong tersebut memperkenalkan dirinya sekali lagi kepada gadis yang tidak langsung mengambil peduli dengan kehadirannya tadi.

"Nama aku Ahmad Arif. Nama kau Seroja kan?" soal Arif sekadar mahu berbasa-basi dengan teman sebelahnya.

"Seroja Nirmala," ujar Seroja.

"Huh?"

Seroja menggulingkan bebola mata dan menarik nafas dengan perlahan. Dia mengalihkan sedikit badan ke kiri untuk berhadapan dengan lelaki itu.

"Nama penuh aku Seroja Nirmala. Kau boleh panggil aku Seroja," tuturnya sekali lalu. Dia paling pantang kalau harus mengulangi kata-katanya berulang kali. Sikapnya yang tidak ramah dan suka bersendirian itu menyebabkan komunikasinya dengan orang lain agak terbatas.

"Oh. Nice to meet you, Seroja," balas Arif secara ringkas sebelum memberi perhatian terhadap Cikgu Hana yang sedang mengajar di hadapan.

Seroja sekadar mengangguk kecil sebelum turut memberi tumpuan terhadap pembelajaran Bahasa Melayu yang diajar oleh Cikgu Hana. Tahun ini merupakan tahun terakhirnya di sekolah, jadi dia tidak boleh leka kerana mempunyai peperiksaan besar yang perlu dia duduki. Dua bulan sahaja lagi mereka semua akan menjawab ujian percubaan Sijil Peperiksaan Malaysia.

"Bangun!" arah ketua kelas sebelum mengucapkan terima kasih kepada guru mereka.

"Terima kasih, cikgu." Pelajar 5 Aman serentak mengulangi ucapan ketua kelas mereka sebelum masing-masing berjalan keluar menuju ke kantin.

Seroja juga turut melangkah keluar tanpa menghiraukan sesiapa. Arif pula hanya duduk di tempatnya sebelum membuka bungkusan roti gardenia berperisa jagung yang dibeli di kedai runcit sebelum datang ke sekolah pagi tadi.

"SEROJA!" jerit seseorang dari belakang apabila Seroja sedang beratur untuk membayar makanannya.

Seroja mencari punca suara tersebut sebelum tersenyum kecil kepadanya.

"Nanti duduk dekat sini," katanya sambil menunjukkan meja kayu yang terletak di tepi kantin sekolah.

Seroja hanya mengiakan, lalu membayar kuih karipap dan teh 'o' panas yang diambilnya tadi. Selepas sahaja makanannya dibayar, kaki diayunkan ke arah meja kayu yang sudah dijaga oleh Alisha.

"Alisha, kau tak makan ke?" soal Seroja terhadap anak rakan baik ayahnya itu.

"Aku nak pergi beli lah ni. Aku jaga tempat untuk kita dulu." Lantas Alisha pergi dari situ untuk membeli sarapannya pula.

Seroja dan Alisha merupakan teman yang boleh dikatakan rapat. Di mana ada Seroja, di situ pasti ada Alisha. Penampilan Alisha juga hampir sama keseluruhannya dengan Seroja. Kalau Seroja memakai beg berwarna hitam, dia juga akan membeli beg yang berwarna hitam. Seroja memakai jam Casio, dia juga akan membeli jam yang serupa seratus peratus dengannya. Siapa yang tidak mengenali gadis itu, pasti akan mengatakan dia seorang yang psiko.

Bagi Seroja, Alisha hanya mahu sepadankan semua benda dengannya. Biasalah, perempuan kan suka matching segala benda dengan orang yang dia rapat. Lagi pula, itu bukan hak Seroja untuk menghalang kerana Alisha tidak menggunakan duitnya pun.

Alisha juga sama sepertinya. Seorang yang kurang bersosial dan tiada kawan. Hanya aliran yang diambil mereka sahaja berbeza. Alisha mengambil aliran perniagaan, manakala Seroja mengambil aliran sastera.

Cuma satu saja yang membuat Seroja tidak berpuas hati dengan Alisha. Setiap kali ada lelaki atau perempuan yang ingin berkawan dengan Seroja, pasti Alisha menyuruhnya menjauhi mereka semua. Alasannya, mereka mempunyai niat yang tidak baik terhadap dirinya. Padahal, mereka semua hanya ingin berkawan. Terdetik di fikiran Seroja, siapa Alisha untuk menuduh mereka sedemikian!

Kadang Seroja rasa agak terkongkong apabila berkawan dengan anak kawan ayahnya itu. Tapi, apakan daya. Semakin jauh Seroja ingin melarikan diri daripada Alisha, semakin dekat Alisha mengejar. Selagi Alisha berada berdekatan dengannya, dia tidak bebas membuat sesuatu.

Sudah berbuih mulut Seroja menyuarakan ketidakpuasan hatinya tetapi Alisha seperti longgar sendat, lapang bertukul. Hanya berpura-pura menerima kebenaran tetapi tidak dimasukkan ke dalam ingatan. Akhirnya, dia juga yang akan mengalah dan tidak mempunyai kawan selain daripada gadis yang bernama Alisha Safia.

Alisha yang sudah siap membeli makanan dipandang. Seperti yang dikatakan Seroja tadi, Alisha suka meniru apa yang dia lakukan. Misalnya, sekarang di atas pinggan yang dibawanya menggunakan tangan kanan itu terdapat kuih karipap tiga biji. Manakala, di tangan kiri pula terdapat teh 'o' panas. Hal seperti ini sudah menjadi perkara normal untuk seorang gadis bernama Seroja Nirmala.

Alisha melabuhkan duduk di sebelah Seroja. Karipap yang dibelinya dimasukkan ke dalam mulut sebelum dikunyah dengan polok.

"Makan pelan-pelan, nanti tercekik," tegur Seroja.

Alisha hanya tersengih sebelum memperlahankan kunyahannya.

"Weyh, kau pergi tak kem jati diri nanti?"

"Aku tak tahu lagi nak pergi ke tak. Nantilah aku fikirkan." Seroja menjawab sebelum meneruskan kunyahannya yang terhenti tadi. Jam ditangan dilihat. Dengan pantas, dia meneguk air yang masih berbaki. Lantas, punggung diangkat daripada kerusi untuk pulang ke kelas.

"Alisha, aku balik kelas dulu. Lepas ni kelas Cikgu Hamid."

Cikgu Matematiknya itu bukan boleh dijangka emosinya. Kadang okey, kadang tak. Kalau terlambat sikit, pasti dihumban dengan buku teks tebalnya.

Alisha yang masih duduk itu hanya memandang belakang tubuh Seroja yang sudah melangkah pergi.

'Ish, tak habis-habis dengan Cikgu Hamid,' desis Alisha seorang diri.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Where stories live. Discover now