BAB 30

1.3K 57 1
                                    

MEREKA memandang antara satu sama lain. Pistol jenis Glock 19 diacu ke arah pagar rumahnya yang sedikit terbuka. Syabil bergerak ke bahagian kiri rumah. Manakala, Afif ke kanan.

"Hati-hati," tutur Afif kepada rakannya itu.

Syabil mengangguk kecil kepada Afif sebelum perlahan-lahan mendekati pintu rumah. Kereta ayahnya yang terletak elok di garaj, diperiksa. Disentuh sekilas kereta itu. Dia menggeserkan ibu jari dan jari telunjuknya, mahu menghilangkan habuk.

'Lelaki tua ni tak pakai kereta ke?'

Tidak mahu membuang masa, Syabil bergerak menghampiri kolam besar di sebelah garaj. Air kolam yang sudah berkeladak dan dipenuhi dengan daun itu, dipandang pelik. Kawasan sekeliling rumah juga nampak tidak terjaga. Rumput panjang tak dipotong. Daun-daun kering berterbangan.

Sudah seperti rumah terbiar.

Ting!

Terhenjut bahunya ketika mendengar bunyi seperti besi jatuh ke lantai. Syabil mendongak menghadap ke balkoni bilik utama.

Matanya membesar melihat seorang perempuan tua dan juga seorang lelaki yang diikat pada kerusi. Pistol dihalakan kepada perempuan itu. Namun, hanya senyuman senget yang diberikan kepadanya.

"Naiklah atas. Aku nak kau saksikan sendiri kematian lelaki dayus ni," kata perempuan itu dengan lantang. Sedikit pun dia tiada rasa gerun. Dia tidak kisah jikalau malam ini akan menjadi malam terakhir buatnya. Sudah tiada makna untuk dia berada di dunia ini.

Pantas, Syabil berlari masuk ke dalam rumah. Dia bergerak ke bahagian dapur. Ingin mencari Afif. Masuk saja ke ruang itu, dia melihat Afif sedang mengerang kesakitan sambil memegang kepala.

"Afif! Kau okey tak?" soalnya, cemas.

"A-aku okey, sikit je ni. Kau pergi naik dulu. Perempuan tu lari ke tingkat atas." Afif bertutur sambil menekap kain di kepalanya yang berdarah akibat diserang hendap dari belakang ketika dia memasuki dapur.

Syabil terus memanjat tangga. Pintu bilik Dato' Safwan dibuka dan dihempas kuat.

"Finally... kau dah sampai. Lembap betul polis buat kerja. Tak faham aku. Semua bukti ada depan mata. Tapi, tak juga kau orang nampak. Ha ha ha!" Ketawanya meletus.

"Kau siapa? Apa yang kau nak dengan lelaki tu?" soal Syabil. Tangan memegang pistol dengan erat. Dihalakan ke arah perempuan dalam lingkungan 50-an itu.

"Aku... hurm, aku siapa ya? Hahaha!" Dia gelak buat kesekian kalinya.

Dia berhenti ketawa. Mukanya ketika ini berubah menjadi serius. Matanya yang gelap jelas menunjukkan kebencian dan dendam terhadap Dato' Safwan.

Dia memandang Syabil dengan tajam.

"Mungkin... kau boleh anggap aku sebagai ibu tiri kau."

Syabil tergamam. "Apa maksud kau?"

Bibir perempuan itu ternaik sedikit hujungnya. Sinis. Air muka kelihatan bengang. Pisau atau lebih tepat, bilah skalpel di tangan kirinya sengaja diseret lembut pada leher Dato' Safwan.

Dahi Dato' Safwan berkerut, menahan rasa pedih apabila hujung skalpel itu terkena kulitnya. Mulutnya yang diikat, membuatkan dirinya tidak mampu bersuara. Matanya bergenang ketika melihat satu-satunya anak lelaki yang dia ada.

Dia menyesal. Menyesal kerana telah membuang anaknya itu. Kalaulah dia tidak tamakkan harta, pasti semua ini tak akan terjadi. Dan... pasti isterinya masih hidup saat ini. Dia rindu. Rindu dengan keluarganya yang dulu. Rindu ingin melihat senyuman lembut isterinya, rindu ingin mendengar celoteh anak gadisnya dan rindu ingin meluangkan masa bersama Syabil sewaktu bapa mentuanya masih hidup.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Where stories live. Discover now