BAB 54

1.1K 41 0
                                    

SEROJA menelan air liurnya secara perlahan, ingin membasahkan tekak yang tiba-tiba berasa kering. Afif kelihatan begitu menakutkan ketika ini. Lelaki itu memandangnya dengan mata yang merah seperti menahan tangis. Belakang badannya merapat ke besi itu ketika suaminya mendekati.

"Y-ya." Panggilan Afif sebentar tadi dijawab dengan suara tersekat-sekat. Dia memberanikan diri untuk menatap mata cantik lelaki itu.

Pap!

Afif menghentak tangannya pada besi penghadang di belakang Seroja. Dia mengepung isterinya di tengah. Bahu gadis itu terangkat kerana terkejut dengan aksinya. Dapat dia lihat Seroja sedang menggenggam tangan sendiri di belakang tubuh.

"Kenapa terkejut? Takut?" soalnya dengan sarkastik.

Gadis itu langsung tidak bergerak. Hanya mata sahaja yang berkelip-kelip mengamatinya secara berterusan.

"Keluar rumah tanpa kebenaran suami tak takut pula. Aku hentak besi ni, kau dah terkejut. Kenapa? Kau ada buat salah ke?" tanya Afif lagi. Afif menarik nafas seketika. Mata yang sudah berkaca, dipejam rapat buat sementara.

"Seroja Nirmala... aku tengah cakap dengan kau ni. Dah bisu ke?" sambung Afif.

Seroja menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan dengan perlahan. Dia menunduk. Sudah tidak mampu mahu melawan mata dengan suaminya sendiri. Tidak pernah Afif bersikap sebegini dengannya sebelum ini.

"Dah tu, tolong jawab soalan aku. Kau tak takut ke keluar rumah tanpa kebenaran seorang suami? Kau nak jadi isteri nusyuz ke Seroja? Kau dah tak sayang aku? Tak kisah pasal aku? Kau tahu tak, jantung aku ni... macam nak tercabut lepas Syabil dan budak-budak tu bagitahu kau kena culik. Aku risau. Risau dengan keadaan kau dan anak kita. Tapi, apa semua ni?" suaranya lemah menyoal isterinya. Kepala ditundukkan memandang hujung kaki mereka berdua yang bertembung. Air matanya mengalir jatuh di atas kaki Seroja.

Dia mahu menjerit sekuat hati. Seluruh tubuhnya terasa longlai ketika melihat rakaman video Seroja ditarik masuk ke dalam kereta. Tapi, semua itu bukanlah seperti yang mereka sangkalkan. Isterinya baik-baik sahaja di sini. Dia bersyukur, dalam masa yang sama dia seperti mahu memarahi gadis itu.

Akan tetapi, Afif tidak mampu. Perempuan di hadapannya ini terlalu istimewa untuk disakiti.

Lantas, Seroja menarik Afif masuk ke dalam pelukannya. Dia juga turut teresak-esak di dada lelaki itu sambil menggeleng laju. Baju Afif di bahagian belakang dicengkam erat, ingin mencari kekuatan.

"T-tak. Saya tak berniat langsung nak buat Fifi macam ni. Semua ni berlaku tiba-tiba. Ini salah saya sebab tak beritahu Najla yang saya hanya bermain-main ketika merancang semua ni. Saya cuma nak berikan kejutan dekat Fifi. Tak sangka pula ada yang ternampak kita orang waktu dekat rumah tadi. Maafkan saya, Fifi. Maafkan saya," pinta Seroja.

Sekonyong-konyong, Afif yang hanya berdiri tegak sejak tadi, membalas pelukannya. Kepala Seroja diusap dan wajahnya ditekap pada bahu isterinya itu.

"T-tolong, tolong jangan buat aku macam ni. Nak terputus nyawa aku bila kau tak ada," suaranya tenggelam timbul di bahu Seroja. Tangisannya makin kencang. Basah lencun tudung isterinya.

Seroja mengusap-usap belakang Afif sambil berkata, "Shh, jangan menangis lagi. Saya minta maaf. Saya salah. Tolong jangan macam ni Fifi. Saya sedih tengok awak macam ni. Anak kita pun sedih sekali."

Seroja memujuk lelaki itu sehingga Afif sedikit tenang. Dia hanya membiarkan Afif bersandar pada bahunya walaupun dia sudah berasa lenguh. Ini semua salah dirinya. Kenapalah dia boleh terlupa tentang apa yang pernah dia rancang dengan Najla? Belum 30 tahun pun dah nyanyuk.

Afif membetulkan dirinya. Mata yang sembap miliknya itu disentuh Seroja dengan lembut.

"Saya minta maaf lagi sekali sebab dah buat suami saya ni risau dan menangis. Fifi maafkan saya tak?" soal Seroja.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Where stories live. Discover now