SENGGUGUT rupanya. Nasiblah tak ada apa-apa yang serius terjadi kepada Afifah. Doktor hanya memberikan injection dan beberapa papan ubat tahan sakit untuk dia bertahan jikalau bahagian bawah perutnya kembali berasa sakit.
Botol mineral dibuka dan diberikan kepada Afifah yang sedang bersandar di kerusi. Wanita itu minum dengan perlahan-lahan. Lalu, diberikan semula kepada Syabil.
"Terima kasih," ucap Afifah. Dia bangun dari duduk. Mereka harus pulang sekarang. Sudah hampir pukul tujuh. Mesti umi, abah dan Adib tercari-cari mereka berdua nanti.
"Eh, jap. Awak duduk dekat sini dulu. Saya pergi ambil kereta."
Belum sempat dia menahan Syabil, lelaki itu sudah pergi.
Beberapa minit kemudian, lelaki itu kembali bersama sehelai jaket hitam di tangan. Afifah memandang Syabil yang menghampirinya. Tiba-tiba, Syabil menunduk sedikit sebelum mengikat jaket itu di bahagian pinggangnya.
Afifah terpegun. Mulut yang ternganga ditutup semula. Dia terkejut dengan tindakan pantas Syabil tadi.
"Ke-kenapa awak ikat jaket ni dekat saya?" tanya Afifah dengan suara yang gagap.
"Baju awak kotor. Ada da-"
"Ohh, okey. Saya faham. Jangan sambung ayat tu," sampuk Afifah. Dia berjalan melepasi Syabil. Laju dia menonong meninggalkan lelaki itu. Sampai di luar, kepala digerakkan ke kanan dan ke kiri. Mencari keretanya.
'Isy, mana dia parkir kereta aku ni?' Afifah bermonolog seorang diri. Bahagian perutnya berasa memulas semula. Dia menunduk untuk mengurangkan rasa sakit yang datang kembali itu. Dibelai perlahan perutnya.
"Afifah, okey tak? Sakit tu datang balik? Boleh jalan tak ni?" Bertubi-tubi soalan yang keluar daripada mulut Syabil. Gelabah dia apabila wanita itu meninggalkan dirinya terpinga-pinga di depan kaunter ubat tadi. Bila keluar sahaja daripada hospital, dia melihat Afifah yang sudah tertunduk sebegini.
"Saya o-okey. Sakit sikit je ni. Awak letak kereta dekat mana?"
"Nampak sangat awak tak okey. Kereta awak dekat depan awak je, Afifah." Syabil menghalakan jari telunjuknya di kotak parkir yang betul-betul berada di seberang tempat mereka berdiri.
Afifah mengangkat kepala melihat kereta hitam di hadapannya.
"Jomlah balik. Nanti Adib menangis pula cari saya." Dia berjalan sambil menunduk sedikit kerana perutnya rasa seperti dicucuk.
Tangan yang tiba-tiba memegang lengan kirinya, mengejutkan Afifah. Dia tidak selesa Syabil melakukan sebegitu terhadap dirinya. Dia tidak suka.
Afifah menarik lengannya dengan perlahan dari genggaman tangan Syabil. "Jangan pegang saya. Saya boleh jalan sendiri."
Pon!
Bunyi hon yang panjang memeranjatkan Syabil. Spontan, Afifah ditarik ke dalam pelukan. Erat seperti tidak mahu dilepaskan. Jantungnya berdegup kencang. Hampir sahaja wanita itu dilanggar oleh sebuah motosikal.
Bahu Afifah dipegang kuat.
"Boleh jalan sendiri apa macam ni? Awak jalan pun menunduk, tak tengok kiri kanan. Kalau kena langgar tadi macam mana?" marah Syabil.
Sekonyong-konyong, air mata Afifah bergenang. Badannya menggigil ketika ini. Dia takut dan pada masa yang sama dia sedih kerana lelaki itu memarahinya buat kali pertama. Afifah tidak tahu mengapa dia berasa begini. Mungkin kerana emosinya tidak stabil ketika ini.
Syabil yang merasakan tubuh Afifah bergetar kuat itu, serta-merta berasa bersalah kerana tertinggikan suara kepadanya.
"Saya minta maaf. Saya tak marahkan awak. Saya cuma risau. Maafkan saya, okey?" pinta Syabil. Dia memandang Afifah dengan mata yang lunak. Cuba untuk menenangkan wanita itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/350625831-288-k535019.jpg)
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Akcja"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...