BAB 35

1.1K 44 2
                                    

"SYABIL, boleh tak kamu pergi dengan Afifah nanti? Kami berdua naik kereta dengan Naufal sebab saudara-mara yang lain dah sampai di hotel." Haji Manaf yang melihat Syabil baru turun itu terus menyoalnya.

"Boleh pak cik. Nanti saya bagitahu Afifah. Pak cik dengan mak cik pergi dulu. Nanti yang lain tertunggu-tunggu pula," ujar Syabil. Dia meletakkan Adib di atas sofa lalu memakaikan baju kepada budak itu.

"Apa panggil pak cik dan mak cik lagi? Panggil ja kami berdua umi, abah," celah Hajah Aminah.

Haji Manaf di sebelah hanya mengangguk, bersetuju.

"Err... baik umi, abah." Syabil menundukkan kepalanya sedikit. Segan sebenarnya.

"Kalau macam tu, kami pergi dulu na. Ha jangan lupa, si Arif tu pun belum bersiap. Ajak dia naik kereta dengan kamu sekali," pesan Hajah Aminah sebelum mereka berlalu pergi.

Bedak dituangkan sedikit di atas tapak tangan lalu disapukan ke wajah Adib.

"Hmm, wanginya dia." Syabil mencium-cium seluruh muka Adib dan menggomolnya.

Adib ketawa kuat. "Geli! Hahaha!"

Suka dia melihat Adib yang senang terhibur itu. Walaupun dia baru sahaja empat tahun, Adib petah berkata-kata.

"Bang, along mana? Umi dengan abah pula dah pi ka?" Arif muncul dari arah dapur.

"Umi dengan abah dah pergi dulu dengan Naufal. Umi suruh kau naik dengan aku nanti. Afifah pula tengah bersiap kut."

Arif mengangguk faham. Dia kembali menatap telefonnya.

Afifah yang baru bersiap, menyoal, "Kenapa adik cari along?"

"Ha, turun pun. Adik nak bagitahu, satgi along naik dengan Abang Syabil. Adik tak ikut. Adik naik motor sebab lepas tu adik ada kerja sikit."

"Adik nak pi mana?" soal Afifah lagi. Bukan boleh adiknya itu, sejak ada lesen motor selalu menghilang. Entah ke mana dia pergi pun Afifah tidak tahu.

"Adalah. Kalut ja along ni. Dah, keluar cepat. Adik nak kunci pintu rumah."

Afifah menjeling Arif. Adiknya itu suka sungguh berahsia. Tanya sikit pun tak nak jawab. Beg tangan dan juga beg pakaian anaknya dibawa keluar. Adib itu buas juga budaknya. Kalau bertemu dengan sepupu-sepupu dia sebentar nanti, mesti main tak ingat dunia sehingga bajunya kotor. Terpaksalah Afifah membawa baju salin.

"Adib, sini ibu nak pakaikan songkok." Afifah memanggil Adib yang sedang didukung oleh Syabil.

Syabil mendekati Afifah yang sedang berdiri di tepi pintu rumah. Melihat wanita yang memakai abaya biru itu memegang banyak barang, Syabil menawarkan dirinya untuk membawa beg-beg tersebut.

"Meh sini beg-beg tu. Saya pegang."

Afifah menolak.

"Tak payahlah. Awak tu dahlah tengah dukung Adib. Saya boleh bawa sendiri," katanya sambil memakaikan songkok kepada Adib. Baju anaknya yang terangkat menampakkan perut comelnya itu dikemaskan.

Syabil tidak mengendahkan kata-kata Afifah. Tangan kirinya yang tidak mendukung Adib, mencapai beg-beg di tangan Afifah sebelum membuka bonet kereta.

"Meh kunci kereta. Biar saya drive."

Tidak banyak bunyi, Afifah memberi kunci kereta Axianya kepada Syabil. Masuk sahaja ke dalam kereta, Adib yang sedang bermain dengan stereng itu diambil dan diribakan. Lalu, tali pinggang keledar dipakai.


"SEROJA! Cantiknya kau!" tutur Najla. Masuk sahaja ke dalam bilik hotel yang menempatkan Seroja, dia terus menyerbu rakannya itu. Hampir empat bulan mereka tidak bertemu kerana Seroja hanya mengajar secara dalam talian.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Where stories live. Discover now