PERLAHAN-LAHAN Afif meletakkan Seroja di atas katil bilik yang bersebelahan dengan dapur. Bilik ini merupakan bilik tetamu. Selalunya, Kamal yang akan tidur di sini. Tetapi, anak buahnya itu pulang ke kampung sekarang ini. Ada hal keluarga.
Dia menyelimuti Seroja. Dipandang gadis itu buat seketika sebelum nafas dihembus perlahan. Pendingin hawa dibuka. Lalu, Afif melangkah keluar menuju ke arah uminya yang sedang menunggunya di pintu bilik sejak tadi.
Hajah Aminah memandang Seroja sekilas sebelum menarik pintu bilik. Afif yang masih tercegat di hadapan bilik itu disoal, "kenapa dengan Seroja?"
"Ada orang letak bagasi depan rumah dia, umi. Dalam tu, ada mayat" Afif menjawab soalan Hajah Aminah. Jemari kasar naik meraup rambut tebalnya yang hampir menutup dahi ke belakang.
"Allahuakhbar! Habis tu, Seroja macam mana? Dia pengsan ka apa tu? Angah tak bawa pi hospital ka?" Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Hajah Aminah. Terkejut dengan berita yang dikhabarkan anaknya. Baru tadi, dia dan Seroja bergelak ketawa.
Haji Manaf datang mendekati mereka berdua.
"Dah bagitau family dia, angah? Nanti risau pula depa," kata Haji Manaf.
"Seroja tak pengsan umi. Dia tertidur lepas menangis tadi. Sebab tu angah bawa di balik sini. Pasal family dia, nanti angah call Syabil bagitahu pasal Seroja."
"Syabil yang kawan polis kamu juga tu ka? Dia abang Seroja?" tanya Hajah Aminah.
Afif mengangguk. Jam tangan dilihatnya.
"Umi, abah, angah nak kena pi selesaikan kes tadi. Boleh tak nak minta tolong, tengok-tengokkan Seroja? Angah takut dia meracau-racau lagi." Afif memandang Haji Manaf dan Hajah Aminah. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Seroja meracau-racau memanggil ibunya. Nasib selepas Afif membaca doa Nabi Yunus berulang kali, Seroja kembali bertenang dan tidur semula.
"Boleh. Nanti umi jaga dia. Angah pi lah buat kerja dulu. Hati-hati," pesan Hajah Aminah. Haji Manaf mengangguk. Bersetuju dengan isterinya.
"Terima kasih umi, abah. Angah gerak dulu. Kalau ada apa-apa, call. Assalamualaikum." Sejurus itu, Afif meninggalkan perkarangan rumahnya.
Hanya 20 minit masa yang diambil Afif untuk sampai ke rumah Seroja semula. Rumah Seroja yang sudah dikelilingi oleh jiran tetangga dan juga polis didekati. Kad kuasa ditunjukkan kepada anggota polis yang menjaga rumah itu. Selepas diberi kebenaran, pita kuning diangkat sebelum bergerak ke arah ahli forensik yang sedang mengambil gambar mangsa.
"Benda apa yang kau dah jumpa?" Tidak sabar-sabar, dia menyoal Darren yang merupakan pakar forensik itu.
Darren berdiri dan menarik pelitup mukanya ke dagu. "Tak ada apa-apa. Beg ni sahaja yang dia tinggalkan. Tiada langsung barang lain. Tapi, ada satu kesan cap jari pada pemegang beg ni. Mungkin boleh dapat petunjuk lain dari DNA tersebut."
Darren kembali mencangkung dan pelitup muka ditarik. Beg itu dilihatnya semula. Tiada langsung kesan darah diluarnya. Mayat belum dikeluarkan daripada bag tersebut kerana ramai orang awam yang berkumpul di hadapan kawasan itu. Darren yang merupakan ketua di situ, menyuruh anggota-anggotanya mengangkat bagasi itu dan dibawa ke makmal untuk dibedah siasat dan mengetahui identiti mayat itu.
Afif mengimbas kawasan sekeliling rumah Seroja. Tiada langsung bukti lain yang tertinggal, hanya bagasi hitam berisikan mayat yang ada di situ. Kawasan rumah yang terletak paling hujung ini, tidak mempunyai satu pun kamera litar tertutup. Afif menghela nafas.
Kes ini mungkin akan tergantung begitu sahaja, seperti kes minggu lalu.
"Jom, ikut aku ke makmal." Darren yang sudah siap mengemas peralatan di situ memanggil Afif.
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...