MASUK sahaja ke dalam rumah Haji Manaf dan Hajah Aminah, banyak mata yang memandang ke arah mereka. Ramai ahli keluarga Afif yang belum pernah dia lihat sebelum ini kerana hanya beberapa keluarga sahaja yang dapat hadir ketika hari perkahwinan mereka. Afif pula tidak pernah mengenalkan Seroja dengan sepupu-sepupunya itu.
Rasa janggal pula apabila sepupu-sepupu Afif yang masih muda serta tua merenungnya lama. Seroja bersalaman dengan seorang demi seorang dan memberikan senyuman manis. Ada yang ramah menyoal pelbagai soalan kepadanya dan ada juga yang hanya membalas senyuman sahaja.
Hampir 20 orang sepupu dan anak-anak sepupunya sedang duduk santai di ruang tamu. Ini belum termasuk dengan anak-anak mak ngah dan pak ngah. Makin bertambah ramailah nanti.
"Assalamualaikum, umi." Tangan Hajah Aminah diraih lembut.
"Eh, umi tengah kupas bawang ni. Tak basuh tangan lagi," ujar Hajah Aminah. Namun, menantunya itu hanya tersenyum dan mengucup belakang tangannya.
"Tak apa. Seroja tak kisah, hehe." Seroja menyegih.
Dia menyapa ibu-ibu saudara Afif pula. Ada mak long dan juga dua orang wanita yang dia belum pernah berjumpa sebelum ini.
"Ini ke isteri si Afif? Segak betul nah," puji mak lang setelah Seroja mendekatinya. Dilagakan beberapa kali pipi mereka. Belakang Seroja diusap perlahan.
"Maaflah ya Seroja. Mak lang tak pergi kenduri kahwin kamu. Pak lang kamu tu sibuk sangat. Tak sempat nak balik."
"Tak apa mak lang. Seroja tak kisah," jawab Seroja. Belakang lehernya yang berlapik tudung digaru.
"Ha ni Acu Arifah. Adik bongsu umi," tutur Hajah Aminah.
Wanita yang kelihatan agak muda itu, hanya merenungnya biasa. Tidak memberi respons. Senyum pun tidak. Tetapi, tak adalah sampai bermasam muka. Dia hanya memandang Seroja sekilas kerana sibuk menggoreng keropok lekor.
Tangan Seroja yang disuakan kepadanya, disambut. Lalu, dia kembali melakukan kerjanya.
Nek Sarimah yang merenungnya dari tadi di tepi pintu belakang dapur, Seroja dekati. "Salam nek."
Nek Sarimah mengucup dahi Seroja dan pipinya. Memang itu sudah menjadi kebiasaan jika anak cucunya itu bersalaman dengannya. "Makin cantik cucu nenek ni. Lagi berseri daripada waktu kahwin haritu."
Nek Sarimah memuji Seroja. Gadis itu tersipu-sipu apabila dikatakan begitu.
"Tak adalah nek. Sama je Seroja tengok," dalih Seroja. Padahal, di dalam hatinya sudah terbina sebuah taman bunga.
"Afif mana?" Nek Sarimah tercari-cari cucu lelakinya itu.
"Afif tak masuk rumah lagi. Dia tengah bersembang dengan pak long. Nenek tengah buat apa duduk sorang-sorang tepi pintu ni? Teringatkan cinta hati ke?" usik Seroja. Mana tahu, dia akan mendapat atuk baru nanti.
"Ke situ pula kamu. Cinta hati nenek dah lama pergi. Tak ada siapa yang mampu ganti Tok Halim kamu tau," balas Nek Sarimah.
Dia tergelak kecil sambil menggeleng perlahan. Tahu sangat bahawa cucu menantunya ini suka mengusik. Sudah lali.
Seroja turut tergelak. Setia betul neneknya. Walaupun Tok Halim sudah meninggal hampir 30 tahun, wanita itu tidak pernah mencari pengganti. Dia berharap, cintanya terhadap Afif tidak akan pernah luntur walau apa-apa sekalipun masalah yang akan mereka tempuhi dalam kehidupan berumah tangga ini.
"Ha alang-alang kamu duduk sini, tolong nenek ambil bakul kat atas meja luar tu. Nenek nak balut ketupat. Lusa tak sempat pula kita makan ketupat kalau tak ada siapa yang buat," arah Nek Sarimah.

YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...