TING tong! Ting tong!
Bunyi loceng rumah nyaring kedengaran ditekan berkali-kali. Syabil dan Afifah yang baru sahaja mahu meletakkan kepala di atas bantal, menghentikan perbuatan mereka. Afifah memandang Syabil dengan pandangan yang penuh tanda tanya.
"Siapa pula yang datang rumah orang waktu-waktu macam ni?" soal Syabil. Keningnya juga berkerut memandang isterinya. Adib pula sudah lama lena di antara mereka berdua. Langsung tidak terjaga walaupun loceng bingit kedengaran.
"Saya tak tahu," jawab Afifah sebelum bangun mendekati pintu gelangsar yang memisahkan bilik dan balkoni itu.
Langsir diselak sedikit. Dapat dia lihat tiga orang remaja lelaki sedang menekan loceng rumah di sebelah pagar kecil yang sudah ternganga luas itu.
"Assalamualaikum!"
Tiba-tiba, mereka bertiga menjerit memberi salam.
"Awak, jom turun. Saya rasa ada benda yang tak kenalah." Syabil hanya menuruti isterinya. Lampu bilik dipadamkan sebelum keluar.
Baru sahaja pintu bilik ditutup, mereka berdua bertembung dengan Haji Manaf dan Hajah Aminah di tangga.
"Umi, abah... Nak pergi mana?" tanya Afifah.
"Nak pergi tengok siapa yang main loceng tengah-tengah malam ni. Dah nak pukul dua pagi pun, tak reti-reti nak balik rumah."
Setiap langkah Afifah ditemani dengan rentak jantung yang semakin laju. Dia dapat merasakan bahawa mereka bertiga itu bukan sengaja mahu bermain loceng rumah ini. Tetapi, ada benda yang mereka ingin sampaikan.
"Waalaikumussalam. Hampa bertiga, nak apa datang rumah pak cik waktu macam ni?" Haji Manaf memulakan bicara. Mukanya diusap untuk menghilangkan kantuk yang masih ada.
"Maaf kacau keluarga pak cik dengan mak cik pagi-pagi buta ni. Tadi kami nampak ada seorang perempuan kena tarik masuk dalam kereta waktu dia nak tutup pagar kecil ni. Kami tak sempat nak tolong sebab kereta tu laju sangat. Tapi, nasiblah kami tengah rakam video dekat depan tu. Sempat kawan saya ni rakam nombor plat kereta yang culik perempuan tu." Salah seorang daripada mereka bertiga menjawab. Dia menunjukkan semula rakaman video yang sempat diambil seketika tadi.
Syabil dan Afifah yang hanya mendengar tadi, turut melihat rakaman tersebut bersama Haji Manaf dan Hajah Aminah.
Mata Afifah membeliak. Begitu juga dengan Syabil. Hajah Aminah yang tiba-tiba lemah lutut itu, dipegang oleh Haji Manaf dengan kuat. Dadanya diusap berkali-kali sambil berzikir nama Yang Maha Kuasa. Allahuakhbar!
"Bang, macam mana ni? Menantu kita bang." Hajah Aminah sudah teresak-esak menangis dalam pelukan Haji Manaf.
"Umi, abah, along... kenapa semua dekat luar ni? Kau pun, buat apa dekat depan pagar ni?" soal Afif. Dia memandang Syabil dengan kening terangkat. Arif juga baru keluar mendekati mereka berlima.
"Kenapa umi menangis?"
Soalan Arif menyedarkan Afif yang masih lagi mamai itu. Baru dia perasan, Hajah Aminah dan kakaknya sedang menangis.
Mereka diam tidak menjawab.
"Bil, kau nampak Seroja tak? Aku bangun tadi, dia tak ada dekat dalam bilik. Aku cari dekat dapur pun tak jumpa," tanya Afif. Ke mana pula isterinya itu menghilang?
"Along?" soalnya lagi.
"Kenapa dengan semua orang ni?"
Syabil mengangkat kepala, memandang sahabatnya. "Adik aku kena culik."
Bagai mahu tercabut jantungnya apabila mendengar jawapan yang baru sahaja keluar daripada mulut Syabil. Dia mencengkam tangan Syabil.
"Kau jangan main-main, Bil. Baik kau berterus terang dengan aku, mana isteri aku?!" marah Afif. Dia masih tidak mampu menerima kenyataan. Haji Manaf pula mengangguk mengiyakan apa yang Syabil katakan tadi. Uminya dan Afifah hanya tersedu-sedan di samping suami masing-masing.
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Ação"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...