BAB 48

544 26 0
                                    

MATA dibuka dengan perlahan. Ruang sederhana besar dan sejuk itu memenuhi kornea mata. Tiada manusia yang berada bersamanya ketika ini. Seroja bangun dengan perlahan dan bersandar. Tekak yang berasa kering, dibasahkan dengan air mineral yang berada di meja kecil bersebelahan dengannya.

Seroja melihat belakang tangannya yang dilekatkan kapas. Apabila kapa situ ditekan, terasa sedikit pedih tangannya.

Klak!

Pintu bilik air yang terbuka dari dalam menjadi tumpuannya. Afif yang sudah siap memakai baju Melayu dan bersongkok kemas direnung. Telefonnya dicapai untuk melihat waktu sekarang.

9:34 AM

"Fifi..." panggil Seroja.

Afif mendekati katil. Tangan baju yang disenteng tadi, diturunkan. Tisu di tangan dibuang ke dalam tong sampah.

"Ya, Bunga Fifi ada sakit dekat mana-mana ke?" soal Afif. Dia baru sahaja pulang daripada masjid menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Seroja menggeleng.

"Kenapa saya dekat sini?" tanya gadis itu.

Dia sungguh tidak ingat apa yang terjadi semalam. Apa yang dia tahu, kepalanya terasa berpusing ketika ingin keluar dari dapur rumah. Selepas itu, semuanya menjadi gelap. Bila buka sahaja mata, dia sudah berada di dalam bilik serba putih ini.

Afif duduk di samping Seroja di sisi katil. Tangan isterinya dipegang.

"Bunga Afif pengsan semalaman. Sebab tu kena tahan wad. Tapi, doktor kata hari ini dah boleh balik. Cumanya, aku tengah tunggu surat pengesahan daripada hospital. Kalau dah dapat surat baru boleh keluar," jelas Afif. Dia merapikan rambut Seroja. Sekilas, Afif mencium tepi dahi Seroja.

"Erm, masam. Kesian baby, mama dia mandi lambat hari ini. Sarapan pun belum," komen Afif. Ingin ketawa dia melihat reaksi Seroja yang terpinga-pinga ketika ini.

"Baby?" Seroja menyoal dengan penuh tanda tanya. Anak siapa pula yang suaminya tengah bicarakan ini?

Afif mengangguk. "Ya, baby. Dalam perut comel ni, ada sorang manusia. Lagi lima bulan, kita berdua dah jadi bertiga."

Perut Seroja diusapnya perlahan. Senyuman manis diberikan kepada Seroja.

"Betul ke ni? Betul ke yang saya dah mengandung empat bulan?" soalnya lagi. Tidak percaya.

"Ya, betul. Doktor dah sahkan semalam. Anak kita baik-baik saja. Cuma, mama dia yang kurang gula dalam darah. Lepas ni, Bunga kena kerap makan. Kalau teringin nak makan apa-apa, bagitahu je dekat aku. Nanti aku belikan," jawab Afif. Air mata isterinya disapu dengan lembut. Cepat betul emosi Seroja berubah.

"Alhamdulillah." Seroja menangis di dalam dakapan Afif. Dia sangat teruja. Tidak lama lagi, hidup mereka berdua bakal dihiasi dengan kehadiran cahaya mata di sisi. Seroja tidak henti-henti mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi.

"Dah, jangan menangis. Nanti si kecil ni pun sedih." Wajah Seroja dilap dengan tangan kasarnya. Rambut Seroja diikat dengan rapi.

Seroja berhenti menangis. Dia diam memandang Afif dari tepi. Lelaki itu sedang membuka almari kecil di tepi tingkap wad tersebut. Beg dan juga baju yang tergantung di situ diambil Afif.

"Dah, jom aku teman pergi tandas. Bersihkan diri dulu. Kejap lagi Syabil datang nak ambil kita," tutur Afif sambil meletakkan tuala di atas bahunya. Baju di penyangkut pula dihamparkan di hujung katil.

Seroja menurunkan kakinya dengan perlahan-lahan. Terasa kebas pula kerana terlalu sejuk. Afif meletakkan selipar dengan tersusun supaya senang untuk disarung Seroja. Tangan isterinya digenggam utuh untuk dibawa ke tandas.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Where stories live. Discover now