"SEROJA, kalau kau dengar suara aku tolong beri respons!" jerit Arif sekali lagi. Masih tidak kelihatan bayang gadis yang dicarinya. Tangannya lincah menolak ranting-ranting pohon untuk membuka jalan.
Tuk!
Bunyi seperti batu dibaling ke tanah, jelas didengari oleh Arif walaupun agak perlahan. Kaki terus dilajukan ke arah itu. Air yang sedang laju mengalir dan jatuh secara menjunam masuk ke dalam deria pendengarannya.
Apabila tiba di kawasan tersebut, terdapat sebuah air terjun kecil yang agak tersembunyi di tengah hutan. Tanah yang curam dan berbatu-batu di sekelilingnya menyukarkan Arif untuk berjalan laju. Lampu suluh dihalakan ke hadapan.
"Seroja..." Arif memanggil dengan nada yang perlahan. Dia berjalan semakin dekat dengan kolam yang menadah aliran air terjun yang tidak begitu luas. Kaki menuruni tanah yang cerun dengan berhati-hati.
Tangan kiri berpaut pada batu besar, manakala tangan kanan memegang lampu suluh. Sampai saja di bawah, tangan kiri yang berpaut dilepaskan sebelum melompat turun. Dia sudah selamat berada di tanah rata.
"Seroja, kau dekat mana? Tolong jawab soalan aku." Arif menyoal sekali dengan harapan Seroja akan menjawab pertanyaan itu.
"A... Arif. Aku dekat sini." Dengan suara yang lemah, Seroja memanggil ketuanya.
Arif langsung berlari ke arah batu besar di tepi pokok. Seroja yang sedang bersandar di situ, dipandang dengan cemas. Terus dia melutut di tepi Seroja.
Cahaya lampu yang menyuluh wajah Seroja membuatkan Seroja harus menutup matanya. Lampu di tangan Arif ditolak ke arah lain. Akan tetapi, Arif kembali menyuluh wajahnya.
"Ish, kau jangan suluh muka aku. Silaulah." Orang tengah sakit, boleh pula dia tambahkan kesakitan.
"Duduk diam-diam boleh tak? Aku nak tengok luka dekat dahi kau tu." Arif memarahi Seroja. Darah Seroja yang masih mengalir ditekup dengan sapu tangan miliknya.
"Kau pegang ni. Tekup kuat-kuat supaya darah berhenti," arah Arif sebelum kembali berdiri.
Jam di tangan dilihat. Jarum pendek yang tepat berada pada arah utara manakala jarum panjang berada pada arah timur menunjukkan bahawa sekarang sudah pukul 12:15 pagi. Arif kembali memerhati Seroja.
"Kau boleh berjalan tak?"
Seroja menggerakkan kakinya perlahan. Kaki kanannya tercedera tetapi kaki kiri masih boleh digerakkan. Seroja menyimpan sapu tangan Arif di dalam poket seluarnya. Kedua-dua tangan memegang batu, cuba untuk berdiri.
Disebabkan batu yang dipaut licin dengan keadaan kakinya yang cedera, Seroja seperti mahu terjatuh.
Namun, Arif pantas memegang tangannya dengan kemas. Dia memapah Seroja, membantunya untuk berjalan. "Kalau tak boleh jalan, minta tolong. Jangan diam."
Seroja tidak membalas, dia hanya menunduk melihat kaki.
Arif melangut, memandang ke atas. Tempat yang dia lompat sebentar tadi agak tinggi. Bagaimana dia mahu memanjatnya dengan keadaan kaki Seroja yang sakit itu? Arif mencari jalan lain.
Kalau berjalan mengikut arus air, mungkin mereka boleh menjumpai jalan keluar. Arif dan Seroja terus berjalan mengikut aliran air. Mereka hanya diam tidak berkata apa-apa.
"Auch!" Seroja berhenti menyeret kaki kanannya. Dia berdiri statik di situ.
Arif turut melakukan hal yang sama. Kemudian, Seroja disandarkan ke pokok berdekatan.
"Kaki kau terseliuh ke luka?" soal Arif.
"Aku rasa luka, sebab stoking aku basah sekarang ni." Seroja memegang stokingnya dan berdesis perlahan apabila mula merasai kesakitan. Semalam kakinya terluka kecil, hari ni terluka juga pakej sekali dengan berdarah.
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Aksi"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...