BAB 19

1.3K 92 21
                                    

"ANNEY! Saya nak order." Afif mengangkat tangan. Memanggil pelayan yang baru sahaja siap mengelap meja sebelah. Seroja yang duduk bertentangan dengannya dipandang.

"Kau nak makan apa?" soal Afif.

Seroja diam. Dia sedang berfikir sama ada mahu makan atau tidak. Kali terakhir dia menjamah makanan ialah pada tengah hari tadi. Itu pun dipaksa Najla. Kalau tidak, sampai sekaranglah perutnya tidak terisi sebarang makanan.

"Urm... Saya tak nak makan. ASP Afif makanlah, saya temankan." Dia tidak mempunyai selera untuk makan ketika ini. Tetapi, sesudah sahaja ayat itu diungkapkan, perutnya berkeroncong kuat. Seroja memegang perutnya.

Aduh, malunya! Pantas Seroja menutup mukanya dengan buku menu yang berada di atas meja. Ini sudah kali kedua dia melakukan perkara yang memalukan di hadapan ASP Afif. Dia tidak tahu di mana lagi dia harus letakkan mukanya saat ini. Rasa seperti mahu menangis kembali.

Afif menggerakkan bibir hingga ternaik sikit hujungnya tanpa mengeluarkan suara. Geli hatinya melihat sikap gadis itu. Buku menu yang dipegang Seroja, ditarik perlahan. Makin menunduk kepala Seroja apabila buku tersebut diambil Afif.

"Saya nak teh 'o' panas, dua. Lepastu, mee goreng mamak pun dua. Itu saja." Afif memberikan senyuman mesra kepada pelayan lelaki itu sebelum dia berlalu pergi ke dapur.

Muka Seroja dirapatkan ke meja. Dia tidak mahu mengangkat kepalanya. Seketika, bunyi kerusi ditolak ke belakang kedengaran. Seroja memanggung kepalanya. Dia melihat ASP Afif berjalan ke arah kaunter dan bercakap sesuatu dengan juruwang.

Apabila Seroja melihat lelaki itu sedang menuju ke meja mereka semula, kepalanya ditundukkan kembali.

Benda sejuk yang tiba-tiba ditekapkan pada pipi kiri, membuatkan Seroja terkejut. Spontan, kepalanya bergerak ke belakang. Lelaki yang ketawa kecil di hadapannya dijeling tajam. Boleh pula ASP Afif meletakkan cawan plastik berisi air batu di pipinya.

Pipinya yang basah dilap menggunakan belakang tangan. ASP Afif yang menyua tisu kepadanya, dia ambil.

"Sorry. Aku ingat kau demam. Sebab tu aku letak ais dekat pipi kau yang tengah merah menyala macam cili," tutur Afif.

"Mana ada saya demam. Saya tengah panas sekarang ni," sangkal Seroja. Sejurus itu, dia mengibas-ngibas mukanya dengan kedua-dua belah tangan. ASP Afif tidak boleh tahu bahawa pipinya merah-merah kerana menahan malu.

"Aik, angin punya kuat macam ni pun panas ke?" Afif mengerutkan mukanya. Dia yang sedang memakai jaket kulit tebal ini pun masih merasa kesejukkan angin malam menerpa tubuhnya. Boleh pula Seroja kata panas.

Seroja yang mengenakan seluar slack, blaus labuh putih dan tudung bawal hitam ketika ini, dipandang dengan wajah tidak percaya. Bukannya tebal pun pakaian gadis itu.

"Ya ke kau panas? Atau... Sebenarnya kau tengah ma-"

Cepat-cepat Seroja mencelah.

"Tadi, ASP Afif kata nak beri jawapan pasal soalan saya kan? Jadi, apa jawapannya?" Seroja menukar topik perbualan mereka. Setia Seroja menunggu jawapan darinya. Tetapi, dia hanya senyum.

ASP Afif ini memang suka senyum 24 jam ke? Dari kereta sehingga ke sini, setiap soalan yang ditanya Seroja hanya dibalas dengan senyuman. Tahulah ada lesung pipit. Tapi, janganlah buat dia tertanya-tanya begini.

"Aku..."

"Teh 'o' panas dua, siap," kata pelayan tersebut sambil menggelengkan kepala.

Tak sakit leher ke setiap kali menghantar pesanan, kepala digelengkan? Hairan betul. Seroja kembali memandang ASP Afif. Dia masih menunggu jawapan daripada lelaki itu.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Where stories live. Discover now