KAKI dijengketkan sebelum perlahan-lahan merapati bidadari yang sedang fokus membuka balutan kotak-kotak di hadapannya. Dalam kiraan tiga, dia menerpa ke arahnya.
"Argh!" Mata spontan tertutup. Lalu, dibuka semula. Nafas ditarik perlahan dan Afif mengusap dadanya untuk meredakan degup jantung yang sedang kencang. Niatnya mahu mengejutkan Seroja. Tetapi, dia pula yang terkena. Kenapalah isterinya itu memakai bedak sejuk malam-malam begini? Terkejut mak!
"Hahaha! Itulah, nak kenakan orang lagi. Kan diri sendiri yang terkena," kata Seroja. Dia kembali ketawa.
"Ohh, dah pandai ya gelakkan orang? Meh sini."
Afif merangkak mendekati Seroja sebelum menggeletek perutnya. Seroja meronta-ronta menyuruhnya berhenti kerana tidak tahan menahan rasa geli. Namun Afif masih meneruskan aksinya itu sehingga kedua-duanya terbaring lemah di lantai bilik.
Kepala Seroja dilapikkan dengan lengannya. Dielus lembut kepala gadis itu.
"Seronoknya kalau tiap-tiap hari macam ni," tutur Seroja.
"Macam mana? Macam ni ke?" Afif kembali menggeletek Seroja sehingga terbangun semula dibuatnya. Seroja berdiri menjauhi Afif.
"Isy, tak naklah. Maksud saya, mesti seronok kalau tiap-tiap hari, jam, minit dan saat Fifi ada dengan saya. Lepas ni, mesti kita berdua sibuk kerja."
Afif pun turut berdiri. Dia memeluk Seroja dari belakang dan meletakkan dagunya di atas bahu isterinya.
"Siapa kata lepas ni aku takkan ada dengan Bunga tiap-tiap hari, jam, minit dan saat?" Afif memusingkan tubuh Seroja menghadapnya. Dia memegang kemas bahu bidadarinya itu.
Seroja membalas renungan redup Afif. Suaminya itu kelihatan serius.
"Aku akan selalu ada dengan Bunga, dekat sini." Tangan Seroja diletakkan di dadanya.
"Walaupun jasad aku tak selalu ada, kita berdua akan kekal terpatri di sini. Jadi, jangan cakap macam tu lagi. Janji?"
Bibir Seroja membentuk senyuman manis. Matanya sudah berkaca-kaca menahan tangis. Dia menjatuhkan kepalanya beberapa kali. "Janji!"
Seroja mendekatkan dirinya dengan Afif. Tangannya masih terletak kemas di dada lelaki itu. Telinga dirapatkan. Dia suka mendengar irama di dalam jasad ini. Irama yang menenangkan dirinya saat sedang gelisah.
Berkali-kali ubun-ubun Seroja diciumnya. Ciuman terakhir dilamakan sedikit. Matanya dipejam seketika.
'Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepadaMu kebaikan dirinya dan kebaikan yang Engkau tentukan atas dirinya. Dan aku berlindung kepadaMu dari keburukan isteriku dan keburukan yang Engkau tetapkan atas dirinya.' Afif meniup ubun-ubun Seroja setelah habis membaca doa itu di dalam hatinya.
Seroja mendongakkan kepala. Dagu direhatkan di atas dada Afif. Saja mahu melihat wajah kacak suaminya.
Afif menarik kedua-dua belah pipi bersaljinya itu. "Pergi basuh muka. Karang, orang lain pula terkejut tengok bini aku macam ni."
"Okey, saya pergi basuh muka dulu. Lepas tu, kita buka hadiah sama-sama tau!" tutur Seroja dengan nada teruja. Dia belum sempat membuka apa-apa sebentar tadi kerana diganggu oleh Afif.
"Kalau buka esok tak boleh ke? Nanti kita terlambat bangun lagi. Kan esok nak pergi rumah adik-beradik abah," ujar Afif. Boleh saja dia menemani gadis itu. Tapi nanti mereka terlajak subuh lagi.
Mulut Seroja memanjang ke hadapan. Dia baru teruja mahu melihat hadiah-hadiah yang berlonggok di sebelah katil mereka.
Afif tersenyum kecil. Mulut Seroja ditarik lembut. "Degil. Dah, pergi basuh muka dulu. Aku tunggu dekat sini."
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...