"ESOK raya! Yeay!" jerit Adib selepas pulang daripada masjid. Dia melompat-lompat di dalam dukungan Syabil. Nasib budak kecil itu tidak seberapa berat. Boleh lebam tangannya jika Adib melompat seperti sekarang.
"Adib pergi main dengan yang lain. Ayah nak pergi bakar lemang dekat belakang." Syabil menurunkan Adib di sofa. Budak itu mengikut kata dan bermain dengan sepupu-sepupunya di situ. Lantas, Syabil ke belakang mengikut pintu dapur. Dia mahu membantu menghidupkan api untuk membakar lemang.
"Afif, pemetik api ada tak?" soalnya kepada Afif yang sedang sibuk meletakkan arang di bawah langgai.
"Kau ambil surat khabar atas meja tu lepastu pergi cucuh api dekat dapur gas."
"Okey," balas Syabil. Dia mengambil tiga helai surat khabar dan masuk ke dapur. Afifah yang sedang sibuk mengacau rendang didekati.
"Urmm, wanginya bau. Pandai bakal isteri saya ni masak," bisik Syabil. Kedudukan mereka yang terlalu rapat meyebabkan Afifah beranjak sedikit ke belakang untuk memberi ruang kepada Syabil.
"Awak nak buat apa dengan surat khabar tu?" soal Afifah. Dia melihat Syabil yang sedang menggulung ketiga-ketiga helai kertas itu dengan perasaan tertanya-tanya.
"Ohh, ni saya nak cucuh api. Untuk bakar lemang," jawabnya.
Mak long dan mak ngah yang melangkah masuk ke dapur memandang mereka berdua dari belakang. Mereka menyembunyikan senyum sebelum salah seorang daripada mereka bersuara, "Amboi! Dating dekat dapur ya? Tak menyempat betul bakal pengantin ni."
Usikan daripada mak ngah disambut dengan gelak tawa Hajah Aminah dan Seroja yang baru masuk ke dapur.
"Abang Seroja tu, memang dah tak boleh nak sabar. Kalau mak ngah nak tahu, Afif kata abang selalu termenung dekat pejabat. Tengah angaukan kak long," usik Seroja pula.
Semua yang berada di situ ketawa kecuali Afifah dan Syabil. Merah muka mereka berdua menahan malu.
Adiknya itu memang nak kena. Selalu mengusiknya tak kira tempat dan masa.
"Mana adalah. Memandai saja Seroja ni," dalih Syabil.
"Ya lah tu."
"Bil, mana apinya?" Afif muncul di muka pintu dapur belakang. Dia memandang sahabatnya itu dengan muka menyampah.
"Kau tengah bercinta rupanya! Patutlah lama sangat dekat sini. Pak long dah cari kau dekat belakang tu," ujar Afif. Dia pun tidak melepaskan peluang untuk mengusik mereka.
"Eh, kau! Sabarlah." Syabil cepat-cepat mencucuh hujung surat khabar dengan api dapur dan berlalu pergi. Sengaja dia menghalakan api itu kepada Afif. Tunggu masa yang tepat sahaja dia mahu membalas dendam terhadap Afif dan Seroja.
Selepas Syabil dan Afif menghilang dari dapur, Seroja mendekati Afifah. Dia sengaja mahu menempel dengan kakak iparnya itu. Eh, bakal kakak ipar!
"Kak long masak rendang daging ke?" soal Seroja.
"Haah. Kenapa? Seroja nak rendang ayam ke?" tanya Afifah kembali. Tahun lepas dia sudah memasak rendang ayam. Tahun ini, dia mahu menukar selera pula.
Seroja tersengih. Lalu, dia mengangguk. "Tapi, rendang daging pun Seroja makan. Kalau terasa nak makan rendang ayam, nanti Seroja suruhlah Afif belikan."
"Lah, kenapa tak bagitahu kak long awal-awal? Boleh kak long buatkan." Afifah memandang adik iparnya dengan pandangan serba salah. Sekiranya Seroja memberitahunya pagi tadi, sempat lagi dia singgah pasar pagi untuk membeli ayam.
"Hehehe, tekak ni baru terasa nak makan rendang ayam. Pagi tadi tak pun," ujar Seroja.
Afifah mengimbas adik iparnya itu dari atas hingga bawah. Pipi Seroja yang sedikit tembam berbanding dahulu dipandang. Dia kembali teringat bahawa Syabil ada memberitahunya yang akhir-akhir ini adik lelakinya sering muntah dan pening kepala. Kalaulah betul tekaannya, alhamdulillah. Dia akan mendapat anak buah tidak lama lagi.
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Acción"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...