BAB 33

962 52 1
                                    

"BUNGA... Bunga, kita dah sampai." Afif menggerakkan tangan Seroja berulang kali. Mahu membangunkan isterinya yang elok terlentok di atas bahunya. Beberapa saat kemudian, mata bundar itu perlahan-lahan terbuka.

Matanya ditonyoh perlahan. Tudung sarung Seroja yang senget, Afif betulkan. Beberapa helai anak rambut yang terkeluar, diselit masuk ke dalam tudung kembali.

"Mana Naufal dengan abang?" soal Seroja. Buka sahaja mata, mereka berdua sudah tiada di kerusi depan. Dia meninjau keadaan sekelilingnya. Sudah malam!

"Kita dah sampai Kedah ke?" tanya Seroja lagi. Matanya masih meliar melihat kawasan itu melalui cermin hadapan kereta.

Afif yang pening melihat isterinya sekejap ke kiri dan ke kanan, mencekup pipi tembam itu dengan geram. "Duduk diam-diam. Pening aku tengok."

"Ya, kita dah sampai Kedah. Syabil dengan Naufal dah masuk rumah dah pun. Jomlah kita turun. Nanti umi tercari-cari pula." Sempat diusap pipi gebu itu sebelum keluar dari kereta. Tangan yang sudah bersedia ingin mendukung Seroja, tiba-tiba ditahan.

"Ambil tongkat saya kat belakang. Saya boleh berjalan sendiri. Tak nak dukung. Nanti umi abah tengok. Kak Afifah dengan Arif pun ada sekali. Seganlah." Kepalanya digeleng berulang kali. Dia sudah tidak mampu menanggung malu ini, jikalau Afif membuat perkara yang sama seperti di rumah sewanya. Boleh terbakar mukanya nanti kerana terlalu merah menahan malu.

"Eleh, waktu dekat rumah tadi elok je. Siap minta aku dukungkan lagi," tutur Afif sebelum pergi ke bonet kereta untuk mengambil tongkat Seroja.

"Eh? Sejak bila?" Seroja cuba mengingat semula.

Afif diam. Soalan itu hanya dibiarkan begitu saja.

Tongkat yang sudah diambil, disandarkan di pintu. Lalu, Afif membantu Seroja untuk berdiri. Bahu isterinya dipegang erat supaya tidak terjatuh. Seroja meletakkan tongkat di bawah ketiaknya sebelum mula melangkah.

Afif setia di sisi kanan Seroja untuk menolongnya berjalan.

"Lah, dekat sini lagi rupanya. Abang, umi panggil makan dah tu. Masuk lekas." Arif yang baru saja keluar dari rumah, terus memanggil abangnya. Patutlah dia tidak nampak mereka berdua di dalam tadi. Baru keluar dari kereta rupanya.

"Ya, sat. Kakak hang ni tak boleh jalan laju-laju," balas Afif.

Rumah berkembar dua tingkat itu menarik perhatian Seroja. Halaman rumah tersebut agak luas. Di sebelah kanan terdapat satu pondok kecil dan juga meja batu. Pokok-pokok bunga berwarna-warni yang disusun di tembok rumah menyerikan lagi kediaman itu. Di sebelah kiri rumah pula, terdapat dua buah motosikal dan basikal.

Masuk sahaja ke dalam, matanya dihidangkan dengan keadaan ruang tamu yang tersusun cantik. Terdapat satu cermin sederhana besar yang dilekatkan pada dinding. Bahagian tengah ruang tamu pula menjadi kawasan televisyen dan perabot upholsteri yang dirapatkan pada dinding. Di sebelah almari televisyen, terdapat sebuah rak buku yang mempunyai pelbagai jenis bahan bacaan.

Adib yang ralit menonton kartun tadi, pantas meluru ke arah Seroja apabila mendengar bunyi orang memberi salam.

"Kak Ja!" jeritnya sambil memeluk kaki Seroja.

Seroja yang hampir jatuh itu, dipegang kuat oleh Afif.

"Auch." Seroja mendesis perlahan apabila tangan Adib terkena pada kaki kirinya. Afifah yang baru tiba ke ruang tamu, pantas menarik anak lelakinya itu.

"Adib, kenapa buat macam tu? Tak nampak ke kaki mak ngah sakit?" Marah Afifah kepada Adib. Anaknya itu memang tidak boleh dikawal perbuatannya. Ikut suka hatinya sahaja ketika membuat sesuatu.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Where stories live. Discover now