JAM berbentuk kepala panda yang terlekat di dinding menunjukkan pukul 9:23 minit malam. Seroja mengemas meja belajarnya dengan rapi. Dia tidak boleh mengulang kaji dalam keadaan yang serabut. Jadi, dia menyusun semua buku yang berada di atas meja ke almari terlebih dahulu.
Buku latihan Matematik bersaiz A4 diambil. Seroja menyelak buku tersebut sehingga ke muka surat dua puluh tujuh yang belum dia siapkan. Ballpen berwarna biru jenama Faster ditarik keluar daripada kotak penselnya. Highlighter yang berwarna-warni turut diambil kerana dia perlu menanda kata kunci soalan supaya dapat menjawab soalan dengan senang.
Hampir satu jam setengah Seroja berperang dengan subjek yang paling dia lemah itu. Seroja meregangkan badannya ke kiri serta ke kanan untuk memperbaiki postur badan yang duduk terlalu lama. Beg sekolah yang berwarna hitam diambil sebelum semua buku dikeluarkan untuk mengemas buku subjek pada hari isnin minggu depan.
Sedang dia mengeluarkan buku-buku dari beg, sehelai kertas terjatuh di bawah mejanya. Seroja menundukkan kepala sedikit sebelum menarik keluar kertas tersebut. Isinya Seroja baca.
Oh, ini surat kebenaran untuk pergi kem jati diri minggu depan. Sebelum dia terlupa, baik dia pergi meminta kebenaran daripada Puan Nadira.
Ibunya pada waktu begini masih belum masuk bilik untuk tidur kerana menunggu ayah di buaian halaman rumah. Dato' Safwan selalu sibuk. Hari cuti pun dia bekerja sehingga ke lewat malam. Disebabkan itulah ibunya selalu tidur lewat. Terkadang ayahnya itu langsung tidak pulang. Kesian ibu selalu kesunyian.
Seroja menghampiri Puan Nadira yang sedang merenung jauh. Bahu ibunya disentuh. Puan Nadira terkejut dengan kehadiran anak bongsunya. Dadanya diusap perlahan.
"Astaghfirullahal'azim, Nirmala! Nak ibu mati cepat ke? Terkejut ibu."
"Hehe, sorrylah ibu. Mana Nirmala tahu yang ibu akan terkejut tadi," katanya sambil tersengih. Seroja kemudian turut duduk di buaian kayu bersebelahan Puan Nadira.
"Ibu tengah fikirkan tentang apa tadi? Jauh betul ibu termenung." Seroja memandang ibunya dari sisi. Raut wajah ibunya kelihatan seperti risaukan sesuatu. Kebelakangan ini, Seroja perasan ibunya itu seperti sembunyikan sesuatu daripadanya.
"Tak ada apalah, jangan risaukan ibu." Puan Nadira tersenyum memandang Seroja sambil mengusap lembut rambut Seroja yang tebal persis dirinya.
"Ini kenapa belum tidur lagi? Ada apa-apa nak cakap dekat ibu ke?" tanya Puan Nadira.
Seroja menyuakan surat kebenaran untuk ke kem jati diri kepada ibunya. Puan Nadira mengambil, lantas membaca isi yang termaktub pada kertas tersebut.
"Oh, surat kebenaran. Ibu benarkan, cuma nanti kamu tanya ayah dulu." Balas Puan Nadira.
Bagitahu ayahnya? Huh, dia sekolah di mana pun ayahnya tak pernah ambil tahu. Yang Dato' Safwan tahu, beri duit kepada ibu dan menyuruhnya melangsaikan yuran sekolah sendiri. Itu pun kadang-kadang tidak cukup. Nasib abang dan ibunya masih ada untuk mengambil tahu tentangnya. Siapa kata kalau kaya akan bahagia? Seroja rasa merana lagi adalah!
"Hm, baik ibu." Seroja hanya mengiakan pesanan ibunya. Nanti sajalah dia minta tandatangan abangnya. Syabil Niyaz sudah terbiasa menjadi warisnya jikalau Seroja menyertai apa-apa program.
"Pembelajaran kamu macam mana? Semuanya okay?" soalnya kepada Seroja yang akan menduduki ujian tidak lama lagi.
"Okey je, ibu. Cuma ada subjek yang Nirmala masih lemah." Seroja meletakkan kepalanya di atas bahu Puan Nadira. Bukan selalu dia boleh bermanja dengan ibu kesayangannya itu. Seroja yang berada di sekolah pada tahun akhir ini selalu mempunyai pelbagai aktiviti. Tak sempat nak bermanja. Hujung minggu pula ada gurunya yang melakukan kelas tambahan. Maklumlah, dah nak SPM.
"Tak apa, belajar pelan-pelan. Nanti insyaallah, Allah akan berikan kefahaman dekat anak ibu. Yang penting, jangan cepat putus asa. Kalau tak dapat keputusan yang Nirmala inginkan, ingat Allah la yang tetapkan segalanya. Kita sebagai hamba hanya perlu berusaha, selebihnya tawakkal dan redha." Puan Nadira sangat sayang akan anak gadisnya. Moga satu hari nanti anak ibu menjadi orang yang berjaya dan bahagia. Bukan macam ibu.
'Semoga Seroja dapat jadi seorang yang sabar seperti ibu' bisik Seroja seorang diri. Tubuh Puan Nadira dipeluk erat untuk mendapatkan sedikit kekuatan dalam berjuang mencari ilmu dan rahmat Allah.
Syabil yang turun ke dapur kerana haus, melihat 'drama' ibu dan adiknya dari jauh. Oh, bersembang tak ajak!
Syabil dengan selamba mendekati Seroja dan menolak tangannya yang memeluk Puan Nadira. Dia pula yang menggantikan tempat Seroja sebentar tadi. Seroja yang geram akan tindakan abangnya, terus menarik rambut lelaki tersebut.
"Auww, sakitlah dik!" Gilirannya pula yang menarik rambut kerinting yang mengembang milik adiknya. Seroja dan Syabil memang tak boleh bersua. Pasti ada saja perkara yang mereka gaduhkan. Puan Nadira yang melihat hanya mampu menggelengkan kepala dan tersenyum dengan karenah anak-anaknya. Sudah penat mahu menegur.
"Syabil, Nirmala sudah-sudahlah bergusti tu. Pergi masuk bilik, tidur. Lewat dah ni." Puan Nadira menegur mereka yang sudah seperti di gelanggang gusti. Kalau jiran-jiran nampak, buat malu sahaja.
Mereka terus berhenti apabila ditegur 'mem' besar rumah itu. Syabil dan Seroja menyalami Puan Nadira.
"Ibu pun jangan tidur lambat. Tak payah la tunggu ayah. Entah balik, entah tidak dia tu," pesan Syabil. Dia sudah lali dengan perangai Dato' Safwan yang suka tidak mengkhabarkan keberadaannya. Padahal, bukannya susah pun. Mesej sajalah ibu, balik ke tidak malam ni. Suka buat ibu tertunggu-tunggu.
Lalu, Syabil dan Seroja melangkah bersama-sama mendaki anak tangga untuk ke lantai atas. Seroja yang teringat tentang borang jati diri yang belum ditandatangan tadi, terus memanggil abangnya.
Tangan yang sudah memulas tombol pintu ditarik semula selepas diseru oleh Seroja.
"Abang, nah. Tolong tandatangan." Tanpa menyoal terlebih dahulu, terus Syabil menandatangani borang tersebut. Dia sudah tahu tentang program adiknya itu daripada Arif.
Kertas dipulangkan semula kepada Seroja.
"Abang, macam mana abang boleh kenal Arif, eh? Dan, sejak bila abang rapat dengan budak-budak yang seumur dengan adik?" tanya Seroja, musykil.
Err... Apa aku nak 'goreng' dekat adik aku ni. Syabil gelisah. Tidak tahu mahu memberi jawapan apa kepada adiknya.
"Ha, dia adik kawan abang sebenarnya. Laporan abang tertinggal dekat pejabat. Lepastu, abang minta tolong kawan abang untuk hantarkan ke rumah. Tapi, dia busy. Jadi sebab itulah dia suruh Arif tolong sampaikan dekat abang. Alang-alang tu, ibu jemput dia sarapan sekali dengan kita tadi." Syabil merespon dengan menggaru-garu keningnya yang tidak gatal.
Seroja mengimbas Syabil dari atas ke bawah. Kenapa abangnya sekarang ini nampak seperti gelisah saja? Pelik.
"Lagi satu, kenapa dia tak pakai cermin mata eh tadi? Ke sebenarnya abang tengah menipu adik tentang Arif?" tanya Seroja lagi.
"Biasalah tu, adik pun bukannya selalu pakai cermin mata pun kan?" Mengata orang saja adiknya ini, padahal dirinya pun sama. Dah tahu rabun, cermin mata tidak mahu dipakai. Ketika mengulangkaji di rumah saja yang dia nampak Seroja pakai. Tak pernah lagi adiknya itu pakai ke sekolah.
"Eh, mana boleh macam tu. Tadikan dia datang dengan motosikal, macam mana nak menunggang kalau tak pakai cermin mata?"
Ya Allah. Kenapalah adiknya ini banyak mulut malam-malam begini. Tak boleh ke kalau masuk saja ke dalam bilik dan tidur. Yang si Arif pun satu. Kenapa dalam banyak-banyak kelas, kelas adik aku juga kau nak masuk!
Malas mahu memeningkan kepala memikirkan jawapan, Syabil melangkah pergi membiarkan Seroja tertanya-tanya seorang diri di depan biliknya yang bertentangan dengan tangga itu.
"Ish, abang!" jerit Seroja, kegeraman. Kakinya dihentak-hentak sebelum masuk ke bilik tidur sendiri. Syabil suka menyakitkan hatinya, huh! Lebih baik dia tunaikan solat sunat sebelum tidur.
Jangan lupa vote!
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...