SIBUK. Itu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan keadaan mereka di rumah Haji Manaf dan Hajah Aminah ketika ini. Kalangan lelaki sedang memasang kanopi serta menyusun kerusi dan meja di perkarangan rumah yang luas itu. Kalangan wanita pula merewang di dapur untuk menyiapkan bahan-bahan masakan. Manakala, kanak-kanak berlari bertempiaran ke sana ke mari di luar.
Dia? Dia pula hanya mampu memasukkan jajan-jajan ke dalam beg kertas dan menyusun kotak-kotak bahulu di dalam sebuah bekas. Afif tidak membenarkan dia melakukan kerja-kerja yang berat. Umi pun begitu. Tidak bagi dia menolong di dapur. Padahal, memasak bukannya kerja yang berat sangat pun.
Dia berdiri dan membetulkan baju yang tersingkap sedikit. Seroja mengurut pinggangnya yang berasa lenguh. Lama juga di duduk bersila di bawah ini. Selesai menyusun cenderahati untuk tetamu di dalam satu bekas, dia mendekati Afifah yang sedang dipakaikan inai.
Seroja melutut di sebelah Afifah.
"Wah, cantiknya!" pujinya.
Afifah tersipu malu ketika dipuji Seroja. Merah padam wajahnya. Apalagi, Syabil tidak lepas-lepas memandangnya dari luar rumah. Boleh Afifah lihat, bakal suaminya itu sedang merenungnya dari perkarangan rumah sambil menyusun kerusi. Naik segan dia melihat Syabil. Afifah mengalihkan pandangan.
"Kak, dah siap. Tunggu dia kering dulu sampai warna dah jadi hijau gelap baru boleh basuh," pesan Nisya yang merupakan anak sulung mak long itu.
"Pandai Nisya pakaikan inai dekat orang. Kalau Kak Ja yang buat, mesti belemoih."
Kata-kata Seroja mengundang tawa daripada sepupu-sepupu Afif yang berada di situ. Terhibur mereka mendengar Seroja bertutur menggunakan loghat utara buat pertama kalinya.
"Biasa-biasa ja kak. Kalau pakaikan macam ni, senang ja. Tapi kalau nak suruh lukis, saya tarik diri dulu. Tangan tak berseni," jawab Nisya. Dia hanya merapikan inai daun itu pada hujung jari-jemari Afifah. Wanita itu hanya mahu memakai inai yang biasa-biasa sahaja. Tidak mahu tangannya dilukis.
"Boleh tak Nisya pakaikan inai untuk Kak Ja?" minta Seroja. Teringin pula dia melihat inai yang ditumbuk sendiri oleh Nisya itu.
Nisya mengangguk. Dia mendekati Seroja.
"Kak Ja nak pakai dekat hujung jari atau kuku saja?" soalnya.
"Letak dekat kuku je."
"Okey!"
Lebihan inai yang dibuat olehnya dimasukkan ke dalam plastik. Hujung plastik digunting kecil sebelum memaipkan ia pada kuku Seroja.
Cepat sahaja gadis itu memakaikan inai padanya. Tak sampai setengah jam sudah siap. Seroja mengucapkan terima kasih kepada Nisya sebelum bangun. Dia mahu berjalan keluar melihat suasana di hadapan rumah.
Afif dan Syabil yang sedang melepak sambil minum kopi didekatinya. Kuih-kuih yang dihidangkan di atas meja menarik minat Seroja. Dia melabuhkan duduk di sebelah Afif. Kedua-dua belah tangannya direhatkan di atas meja. Penat pula dia menahan jari-jemari itu daripada bersentuhan antara satu sama lain.
"Fifi, nak tu. Lepat pisang," kata Seroja sambil memandang Afif.
Tanpa banyak kata, Afif membuka daun pisang dan menyuap Seroja. Sambil berbincang dengan Syabil, tanganya turut bekerja untuk isterinya. Afif hanya menuruti semua permintaan mak buyung disebelahnya.
Bungkusan terakhir lepat pisang itu hanya dimakan separuh oleh Seroja. Kemudian, dia menggeleng tidak mahu. Afif yang perlu menghabiskan sisa makanannya itu.
"Nak air tak?" soal Afif.
"Nak air sirap tu." Tunjuk Seroja. Air sirap yang dibancuh di dalam jag kecil itu dituang ke dalam gelas plastik. Lantas, disua kepada Seroja.
YOU ARE READING
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Aksi"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...