“SAKINAH!” Rambut Jane direngut kasar sambil mata Helmi memandang garang ke arah insan yang diseru.
“Kau nak lari mana?!”
Dua orang konconya pula ligat mengejar Sakinah yang semakin jauh ke hadapan. Mereka perlu berusaha untuk menjejaki gadis malang itu sebelum dijumpai oleh orang awam.
Sakinah sedikit teragak-agak untuk meneruskan lariannya selepas melihat Jane sudah berada dalam genggaman Helmi. Nafas termengah-mengah dek keletihan melarikan diri daripada lelaki itu.
Cuba juga untuk memboloskan diri ke jalan terowong gelap yang terdapat di tengah-tengah jalan di hadapannya.
Dia berpaling ke belakang sebentar untuk melihat Jane. Sayu hatinya tatkala melihat gadis itu semakin terseksa dengan setiap tumbukan dan tamparan Helmi. Ingin sekali dia berpatah semula tetapi lantas ditahan laju oleh Jane.
“Lari Kinah! Lari! Jangan kisahkan aku!” Jane yang kelelahan dan kesakitan melarang.
Sakinah mengigit bibir melihat keadaan sahabatnya itu. Sungguh, dia tidak akan sanggup meninggalkan Jane.
“Kinah! Kau kena lari. Bagitahu mak aku yang aku sayang sangat padanya. Pergi Kinah. Aku tak maafkan kau kalau kau patah balik!” jerit Jane lagi sekuat tenaga. Dalam masa yang sama menahan kaki Helmi daripada terus bergerak. Memberi masa kepada Sakinah supaya dapat menyelamatkan diri dan meminta pertolongan.
Air mata Sakinah merembes laju. Ana! Aku janji. Jerit hatinya sayu. Larian diteruskan ke arah kawasan yang lebih gelap di dalam terowong. Dengan harapan lelaki itu tidak akan dapat mengesannya.
Luka di perut akibat ditikam oleh Helmi sebelum dia bertindak melarikan diri tadi ditekan kuat dengan baju yang dipakainya agar darah tidak banyak mengalir keluar. Dia kena kuat. Apa hendak jadi, jadilah! Yang penting aku dan Ana dapat balik! Bisik hatinya.
Kemarahan Helmi meledak dengan tindakan Sakinah dan sekatan oleh Jane itu. Dia nampak tujuan Sakinah ke terowong gelap itu. Tidak boleh dibiarkan. Lambat bertindak, musnah segala-galanya.
Arahan supaya berpecah diberi kepada kedua konconya. Mereka merancang agar salah seorang daripada mereka menunggu di pintu keluar terowong itu. Dengan itu, Sakinah tidak akan mampu lari lagi daripada mereka kerana sudah dikepung.
Seorang pengikutnya pula telah berganti tugas dengannya, iaitu menahan Jane daripada melarikan diri.
Keadaan Jane semakin lemah. Tubuh tertiarap lesu di atas tar sambil belakangnya ditahan oleh pengikut Helmi dengan kaki. Mata makin berbalam-balam. Nampak semakin samar ke arah terowong yang dilalui Sakinah. Dalam hati berdoa supaya Sakinah berjaya.
Helmi tidak mengejar Sakinah dengan berlari lagi. Disebabkan jarak terowong gelap itu lebih kurang 500 meter jauhnya ditambah dengan luka yang dialami Sakinah, dia yakin gadis itu tidak akan mampu melangkah sejauh itu.
Kereta pun jarang lalu lalang di kawasan itu. Sunyi dan gelap. Siapa yang berani muncul untuk bertindak sebagai penyelamat?
Kawasan mereka sekarang ini sememangnya sangat jauh daripada hiruk-pikuk kota. Helmi tersenyum sinis. Gadis itu harus dihapuskan agar rancangannya tidak hancur.
Sambil berjalan merapati jalan terowong itu dia memanggil-manggil nama Sakinah agar gadis itu menyerah diri.
“Sakinah! Kau memang cari pasal!” Bergema kuat suaranya kedengaran dalam terowong itu.
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...