HARI kedua Jane di kampung, dia masih tidak menghidupkan telefon bimbitnya, risau jika hatinya lemah selepas melihat setiap pesanan dan panggilan daripada Daniel. Dia kalau boleh hendak mengelak daripada lelaki itu kerana kata-kata Hariz menyedarkannya kepada realiti.
Kingen terlalu bahaya untuk perniagaan Daniel. Mungkin benar kata Hariz, dia sepatutnya tidak kembali ke DH Beauty’s Holding demi kebaikan syarikat dan Daniel.
Setibanya di kampung, dia masih tidak berpeluang untuk menerangkan tujuan sebenar kepulangannya kali ini. Mak menyangka dia hanya pulang bercuti tetapi ada hal yang lebih dari itu. Keselamatan keluarganya namun jika dia membawa keluarga ke Kuala Lumpur, peratusan untuk bertemu muka dengan Daniel adalah tinggi. Dia seboleh-bolehnya hendak mengelakkan hal sedemikian berlaku walaupun dia sedar yang statusnya sebagai PA Daniel masih utuh.
Ke rumah Azlan juga sudah dijejak namun menurut jiran terdekat, seluruh keluarga lelaki itu sudah lama berpindah. Yang tinggal hanya rumah usang menanti roboh. Hati sedikit terkilan, kalaulah dia mengetahui lebih awal yang Azlan itu Kingen, pasti lebih mudah untuknya membuat laporan polis. Tetapi sekarang, bersama bukti yang samar-samar, dan keberadaan Kingen sendiri yang masih tidak diketahui, segala-galanya belum boleh dinoktahkan.
Tentang Helmi meninggal sudah heboh seluruh kampung. Keluarga Helmi juga ada datang ke rumahnya untuk memohon keampunan bagi pihak lelaki itu. Jane cekalkan hati. Dia hendak lupakan semuanya, hati dilembutkan untuk memaafkan walau hakikatnya cukup payah. Atas persetujuan keluarga juga, Helmi dikebumikan sahaja di Korea. Segala-galanya telah dipermudahkan.
“Ana, mana uban maknya? Lama benar kamu mencari? Mak tak rasa pun.”
Jane tersedar lalu tersengih bersalah. “Ada ni, tengah zoom pakai mata Ana ni mak. Uban mak nipis lepas tu pendek sangat. Susah nak cabut!” dalihnya.
“Hmmm... Ke kamu ada masalah, itu yang termenung jauh?” duga mak.
Jane menggeleng kepala walaupun mak tidak nampak. “Takdelah mak,” dalihnya lagi. Kali ini, dia lebih fokus pada kepala mak membuatkan wanita tua itu tidak lagi menyoal.
“Mak... Ana tanya sikit boleh?” soalnya berhati-hati.
“Apa dia?”
“Hmmm... betul ke arwah ayah meninggal sebab sakit jantung? Masa ayah takde, Ana kan dekat kem sekolah, jadi Ana tak tahu sangat.”
Puan Salina terdiam dan mula termenung jauh.
“Mak...” panggil Jane kerana menyangka mak mengambil masa yang terlalu lama untuk menjawab soalan.
Kedengaran mak mengeluh lemah. “Ayah kamu memang meninggal sakit jantung tapi meninggal dalam penjara.”
Mendengarkan itu, terus Jane membawa diri duduk di hadapan mak. “Meninggal dalam penjara? Kenapa ayah masuk penjara? Mak tak pernah cerita pun!”
“Masa tu tak nak kamu dibuli di sekolah sebab orang cakap ayah kamu tak bertanggungjawab. Sebab tu mak ambik keputusan pindah Terengganu.” Mak termenung sejenak mengingat peristiwa silam.
“Sebab apa ayah masuk penjara?” tanya Jane lagi kerana tidak berpuas hati. Dia rasa dia berhak tahu.
“Ayah kamu kena reman sebab dah langgar orang. Dia salah sebab dia lari sebelum ditangkap. Dia tak boleh terima kenyataan akhirnya terkena serangan jantung.”
Jane diam. Mula mengaitkan kesalahan ayahnya itu dengan dendam Kingen. Jika benar maka Kingen memang sangat-sangat berdendam pada keluarganya.
“Mak ingat siapa mangsa yang kena langgar tu?” soal Jane lagi.
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Romance○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...