“NAH! Kau pilih nak pakej yang mana... Aku belanja!” Laila mendabik dada sendiri.
Jane cebik bibir namun mata tetap membelek tawaran pakej yang disediakan di Rose’s Salon ini. Menyebut nama kedai ini membuatkan dia teringat akan sesuatu. Wajah Laila dipandang.
“Hari tu bukan ke kau kata kau nak kerja kat salon apa eh, bella... bella tu...” Jane cuba mengingat.
Senyuman Laila mengendur. “Salon Isabella.” Perlahan tetapi penuh kesayuan.
“Haa... Isabella tapi...” Melihat wajah Laila mendung membuatkan Jane tidak jadi bertanya.
“Kau dah pilih mana pakej yang kau nak?” gesa Laila saat dia kembali ceria.
“Errr... yang ni lah!” Jari Jane menunjuk ke pakej A yang mana senarainya adalah gunting, cuci rambut menggunakan serum dan tonik serta urut kepala.
“Serius?’ Laila meminta kepastian.
Jane hanya mengangguk lantas tersenyum tipis.
Beberapa ketika kemudian, di depan cermin itu, Jane mencuri memandang wajah Laila. Dalam kepala ligat dengan soalan mengapa Laila bertukar tempat kerja.
“Aku tahu aku cantik, tak payah pandang selalu!”
“Ceh!” cebik Jane namun mata masih tidak lepas memandang Laila sehinggalah pandangannya tertancap pada pergelangan tangan gadis itu tergambar beberapa garis.
“Ila!” Tidak semena-mena dia menjerit. Pergelangan tangan Laila dicapai.
“Kau toreh tangan kau?” Jane rasa nak meraung. Mengapa dia tidak pernah tahu bahawa sahabatnya menderita. Sibuk dengan masalah sendiri sampai lupa kepada Laila. Tuhan... kawan apa aku ini?
Laila teragak-agak. Cuba menarik tangannya namun pegangan Jane kemas. Tidak dapat tidak terpaksalah dibiarkan sebentar. Melihat mata ibu mengandung ini mula berair mulalah buat dia rasa serba salah.
“Ni terkena gunting ajelah!” Cuba menyorok sebu di dada. Hakikat sebenar tidak mampu diluah.
Namun, Jane tidak bodoh untuk meneka. “Aku kenal garis tu. Aku tahu sebab aku pernah nampak benda yang sama masa kat depot dulu. Lebih kurang macam ni. Jangan nak tipu aku Ila. Kau ada masalah kan?” Ingatan melemparnya pada waktu ketika dia melihat mangsa-mangsa pemerdagangan manusia mengelar tangan sendiri. Sama seperti Laila sekarang.
“A... Aku...” Tubir mata Laila bergenang.
Jane tidak menunggu lama. Rambutnya masih basah tetapi tubuh Laila dibawa duduk di sofa yang ada di situ.
Tangan Laila dielus kasih. Setitis air mata akhirnya tumpah di pipi tirus itu. “Kalau kau tak keberatan, boleh aku tahu?”
Wajah Laila yang labuh ke bawah didongakkan. Mata coklat gadis itu berair. Laila sedang dalam masalah besar tetapi dia tidak pernah tahu.
Laila menarik nafas dalam-dalam. “Aku kena jual dengan boyfriend aku sendiri...” luahnya akan rahsia yang ditanggung selama ini. Selepas beberapa bulan pulang ke tanah air, barulah kebenaran terungkap.
“Ya Allah... tergamak dia. Habis tu, dia kat mana sekarang?” Hati Jane menjentik geram. Terkujat dengan berita itu. Benarlah manusia itu penuh tipu daya. Menggunakan perasaan demi nafsu yang bermaharajela.
Tubuh Laila ditarik ke dalam pelukannya. Laila yang tabah, luluh pada hari ini. Remuk juga hatinya sebagai sahabat.
“Dia ada kat salon Isabella tu ke?” soal Jane lagi.
Pantas Laila mengangguk di belakang bahu Jane. “Salon tu dah tutup. Salon tu milik keluarga dia. Dia jual aku sebab nak bayar hutang pada ah-long. Aku tak tahu tapi lepas balik sini, barulah semua ni masuk akal. Menyesal aku kenal jantan tak guna tu!”
YOU ARE READING
| C🐧|TOGETHER
Любовные романы○BLURB○ Takdir yang tertulis tidak seharusnya dipersalahkan... Di usianya yang begitu muda, Jane meninggalkan keluarga jauh di kampung dan menjanjikan kebahagiaan harta. Gaji yang lumayan dan taraf hidup yang mewah sememangnya menarik minatnya untuk...